Friday, September 12, 2014

Hentikan terus projek ikan sturgeon - PAS Pahang

TEMERLOH: PAS Pahang mendesak Kerajaan Negeri Pahang menangguh atau menghentikan segera projek penternakan ikan sturgeon di Kuala Tahan, Jerantut sehingga diselesaikan pelbagai persoalan.

Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pahang Andansura Rabu dalam sidang medianya hari ini, berkata pelaksanaan projek yang diusahakan oleh Felda Global Venture Holding (FGV) bersama sebuah syarikat dari Korea Selatan itu tidak melalui prosedur yang sepatutnya iaitu proses penilaian impak alam sekitar (PDE).

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Beserah berkata, PAS bimbang projek tersebut bakal menyebabkan kemusnahan alam sekitar, ekosistem serta flora dan fauna di kawasan yang telahpun diwartakan sebagai Taman Negara dan Pusat Biodiversiti Negara itu.

“Bayangkan kedudukan tapak projek terlalu hampir dengan kawasan sensitif yang diwartakan sebagai Taman Negara iaitu pusat pelancongan utama negara. Jarak lokasi projek hanya kira-kira 40 meter daripada Sungai Tembeling

“Apa yang dibimbangkan ialah sisa buangan sama ada dalam bentuk pepejal ataupun cairan termasuk bakteria bawaan penyakit terlepas ke Sungai Tembeling iaitu sumber utama bekalan air bagi penduduk setempat,” ujarnya.

Menurut Andansura, sudah tentu ianya akan menyebabkan pencemaran kualiti air sungai sehingga menjejaskan kesihatan dan sumber ekonomi penduduk pesisir Sungai Tembeling.

Menurut laporan, kerja-kerja penebangan balak sedang berjalan di kawasan Sungai Tabung seluas 50 ekar selain daripada pembinaan jalan sementara ke tapak projek. Difahamkan, ia satu projek di bawah ECER.

Sebelum ini, projek berisiko ini turut mendapat bantahan Sahabat Alam (SAM), Persatuan Pencinta Alam (MNS) dan Persatuan Operator Pelancongan Taman Negara Pahang.

Andansura berkata, ikan sturgeon yang berasal dari luar negara itu telah dilarang dibawa masuk mengikut Akta Perikanan kerana habitatnya memakan ikan-ikan lain. Kebimbangan penduduk ialah jika ikan tersebut terlepas ke Sungai Tembeling dan Sungai Pahang.

“Kita juga khuatir, untuk membolehkan projek ini dilaksanakan maka kegiatan penebangan hutan kawasan tadahan. Ini akan menyebabkan proses hakisan tanah yang teruk, runtuhan dan banjir lumpur sehingga menyebabkan kemusnahan.

“Oleh yang demikian PAS Pahang merasakan wajar projek ini dihentikan kerana kesan kerosakan kepada alam sekitar yang akhirnya gagal dikawal.

“Akhirnya projek ini tidak memulangkan keuntungan hasil ekonomi kepada kerajaan negeri dan tidak meningkatkan taraf sosio ekonomi penduduk setempat.

Sementara itu pengerusi badan bertindak projek berkenaan Mohd Zakhwan Ahmad Badardin yang turut bersama dalam sidang media, berkata penduduk di Kuala Tahan pernah memohon tanah di kawasan projek untuk aktiviti pertanian. Namun tidak diluluskan oleh pejabat tanah atas alasan pemeliharaan alam sekitar.

“Tetapi kenapa dianugerahkan kepada FGV?,” soalnya.

Sementara itu Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) Pahang Yohanis Ahmad, berkata FGVH sepatutnya mengkaji balik projek berkenaan kerana tidak menampakkan keuntungan dan lari daripada matlamat asal.

“Warga Felda terdapat banyak masalah seperti masalah duit raya peneroka yang dinafikan, perumahan generasi kedua Felda dan geran peneroka yang masih belum dapat. FGVH sepatutnya menumpukan penyelesaian masalah tersebut daripada melabur dalam projek berisiko yang belum tentu mendapatkan keuntungan itu,” katanya.

CAPTION
Andansura (tengah) bersama (dari kiri) Syed Abdul Rahman, Zakhwan, Yohanis dan Youslydi menunjukkan poster ‘Yes to Kelah, no tu Sturgeon’


No comments:

Post a Comment