Wednesday, September 3, 2014

Tak patut Adun Semambu dilarang sambut merdeka - Tuan Ibrahim

KUANTAN: PAS Pahang melahirkan rasa dukacita dengan larangan Kerajaan Negeri Pahang terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semambu Lee Chean Chung daripada menghadiri perarakan hari kemerdekaan.

Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan tersebut tidak langsung menggambarkan sifat patriotisme dalam saat-saat negara menyambut hari ulang tahun kemerdekaan ke 57.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS mengulas isu Adun DAP itu yang dilarang menyertai sambutan Hari Merdeka peringkat negeri Pahang melalui panggilan telefon oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang terhadap Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu daripada PKR Lee Chean Chung dibatalkan ekoran penggantungannya daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) selama dua sesi.

Tuan Ibrahim berkata, sebenarnya isu penggantungan dewan bukan bermakna wakil rakyat tersebut tidak boleh hadir semua program.

“Bila dah digantung dia dilarang menghadiri sidang dewan kita fahamlah sebab itu hak dewan. Tapi apa hak untuk membatalkan Adun berkenaan menyertai perarakan sambutan kemerdekaan.

“Sepatutnya perkara itu tidak berlaku. dan bagi PAS di saat-saat menyambut kemerdekaan yang sering diuar-uarkan supaya mengenepikan nilai-nilai politik kepartian, kita bersama membangunkan negara ternyata ternyata gagal diterjemahkan oleh pemimpin kerajaan negeri ini.

“Sebab dia tetap ahli yang berhormat, dia masih dibayar elaun, dia masih ada hak sebagai Adun. Di luar dewan rakyat masih menganggapnya sebagai wakil rakyat dan rakyat di kawasannya masih datang menemuinya dan meminta pertolongan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyertai Hari Keluarga Badan Perhubungan dan Amilin PAS Pahang di sebuah resort pinggir Laut China Selatan di sini.

Tuan Ibrahim berkata, sepatutnya pemimpin kerajaan meminta maaf kepada beliau demi maruah kerana beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan sehingga dilarang menyertai sambutan merdeka yang sepatutnya diraikan oleh semua.

Sementara itu, kira-kira 200 orang menyertai hari keluarga sempena cuti hari merdeka 31 Ogos dan 1 September baru-baru ini. Mereka terdiri daripada anggota Badan Perhubungan (BPPNP) diketuai Pesuruhjaya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, kedua-dua timbalan Ustaz Yusof Embong dan Md Jusoh Darus hadir bersama keluarga masing-masing. Turut menyertai, petugas-petugas sepenuh masa dengan PAS seluruh negeri ini.

Tuan Ibrahim dalam ucapan penutup berkata program yang diadakan berjaya menjalin dan mengeratkan ukhuwah sesama peserta.

"Saya cadangkan hari keluarga seperti ini dimasukkan dalam kalender tahunan PAS Pahang kerana berjaya mengeratkan ukhuwah tanpa mengira kedudukan masing-masing dalam parti dan silaturahim sesama keluarga.

"Dengan program kekeluargaan seperti ini insyaallah dapat meningkatkan lagi ruh perjuangan buat bekalan masa hadapan," katanya sebelum bergegas ke Kuala Lumpur untuk menyertai satu program anjuran PAS Pusat.

~ Andansura menyerahkan potret Tuan Ibrahim yang dilukis oleh seorang ahli PAS Indera Mahkota.

No comments:

Post a Comment