Friday, October 3, 2014

Bersyukur Atau Protes: SAMM Jawab Kenyataan Menteri

Kenyataan Media
3 Oktober 2014


1. Kenyataan Menteri KPDNKK, YB Datuk Hassan Malek yang meminta rakyat bersyukur dengan kenaikan harga bahan bakar dilihat begitu menghiris perasaan rakyat. Sama ada Menteri ini tidak sengaja mengeluarkan kenyataan itu atau sememangnya tidak mempunyai tahap pemikiran seorang pemimpin.

2. Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) melihat pihak kerajaan tidak mempunyai alasan yang releven untuk kenaikan harga bahan bakar yang menjadi kunci kenaikan kos sara hidup. Ketika ini harga minyak pasaran dunia merundum ke aras paling rendah dalam tempoh 3 tahun. Mengapa kerajaan tergamak menaikkan harga minyak domestik?

3. Kata-kata untuk menjimatkan perbelanjaan negara, pembangunan luar bandar, menaiktaraf sistem pengangkutan awam, menambah kadar BR1M dan sebagainya hanyalah satu penyedap halwa telinga sahaja.

4. Imbas kembali, zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi sewaktu kenaikan harga bahan bakar mencecah 78 sen seliter, yang ketika itu harga minyak global mencanak tinggi. Maka lebihan pendapatan dari kenaikan itu kononnya digunapakai untuk menaik-taraf pengangkutan awam. Apa hasilnya? Hanya lambakan bas-bas Rapid yang tersadai menjadi besi buruk kerana urustadbir yang penuh ketirisan.

5. September 2013, Perdana Menteri YAB Dato' Seri Najib Razak umum kenaikan harga bahan bakar RON95 dan Diesel untuk menjimatkan perbelanjaan negara. Sama juga alasannya ketika ini. Namun, siapakah yang boros dan tidak amanah dalam mengurus perbelanjaan? Rakyat atau Kerajaan? Banyak kelompongan dalam pengurusan perbendaharaan negara yang tidak diatasi sehingga kini.

6. Alasan menteri kononnya kenaikan harga bahan bakar kali ini didorong oleh langkah untuk mencegah penyeludupan. SAMM melihat sepatutnya pihak kerajaan pertingkat operasi di pintu sempadan untuk mencegah penyeludupan. Bukan menghukum rakyat di atas kebocoran sempadan. Semua lorong-lorong tikus laluan penyeludup perlu dipantau rapi yang melibatkan pelbagai agensi. Atau apakah agensi-agensi terbabit di pintu sempadan telah gagal sama sekali sehingga Kerajaan Persekutuan terpaksa mengambil langkah menaikkan harga bahan bakar?

7. Sekali lagi, Kerajaan Persekutuan menggunakan hujah kononnya harga bahan bakar kita antara yang termurah. SAMM berpandangan tidak patut jika ingin dibandingkan dengan negara "net importer" lain kerana hakikatnya kita adalah negara "net exporter" petroleum. Rakyat juga sering dimomokkan dengan ungkapan sumber minyak negara semakin habis sedangkan penemuan-penemuan telaga minyak baru sering sahaja dirahsiakan daripada pengetahuan khalayak umum.

8. Adalah tidak adil juga jika kita membandingkan harga bahan bakar di antara negara kita dan negara jiran dengan menggunakan matawang kita. Umum mengetahui bagaimana nilai matawang kita yang semakin rendah berbanding matawang negara jiran. Tambahan lagi, kita juga harus melihat Pendapatan Per Kapita negara tersebut berbanding dengan kita. Dengan kuasa beli mereka yang besar walaupun harga minyak mereka tinggi, ia tidak akan mengganggu keadaan taraf hidup rakyat mereka.

Apa pun hujahnya, kenaikan harga bahan bakar ini menunjukkan kegagalan dahsyat Perdana Menteri dan Kabinetnya dalam menjaga amanah menguruskan perbendaharaan negara. Lantas, mengambil jalan mudah menaikkan harga bahan bakar bagi membendung defisit yang semakin membesar.

Untuk kesekian kalinya, rakyat Malaysia harus membayar harga yang mahal diatas siri kelemahan dan kegagalan Perdana Menteri dan kabinetnya mengurustadbir negara. Maka rakyat harus protes, bukan bersyukur membabi-buta.

Ahmad Anwar Asyraf
Pengarah Badan Penyelidik SAMM
Solidariti Anak Muda Malaysia

No comments:

Post a Comment