Tuesday, August 15, 2017
ANTARA CITA-CITA DAN ANGAN-ANGAN 'PAS TERAJU PAHANG' - siri 2
Cita-cita adalah sesuatu yang berada dilubuk hati lalu diiringi dengan usaha, tawakkal dan sentiasa berdoa kepada Allah swt agar matlamat perjuangan yang dicitakan akan mencapai kejayaan. Yakin dengan datangnya nusrah dari Allah swt setelah berusaha semampu apa yang boleh dilakukan.
PAS adalah parti yang tak pernah jemu berjuang, Istiqamah dengan prinsipnya, usaha dakwahnya tak pernah berhenti. Ia menjadi baja yang menyuburkan akar perjuangannya, kerana itulah pohonnya sentiasa menghulurkan ranting dan daun-daun yang semakin rendang, kian ramai yang berteduh dibawahnya.
Inilah perjalanan sebuah cita-cita Islam, sifatnya sangat menuntut kepada keyakinan, yakin dengan janji Allah dan yakin dengan kebenarannya, yakin dengan masa depan perjuangannya, yakin bahawa Allah pasti memberikan kemenangan samada didunia atau akhirat ataupun kedua-duanya sekali.
Pernah bersembang dengan Allahyarham Ustaz Jamahir Idris mantan Pesuruhjaya PAS Pahang tahun 70an, beliau bercerita di zamannya ketika beliau berceramah di Kuala Lipis, dengan perjalanan yang jauh, berceramah didalam kebun getah, lampu gasolin, pembesar suara menggunakan bateri dan yang hadir hanyalah tiga orang.
Namun beliau dan seangkatan dengannya tidak pernah luntur semangat perjuangannya, tidak pernah jemu menyebarkan dakwah, tiada henti memberikan kefahaman terhadap perjuangan PAS. Malah terus istiqamah sehingga beliau meninggal beberapa tahun lalu, kini kami menikmati manisan buahan tanamannya. PAS kini tidak lagi asing seperti dahulu, bendera PAS berkibar dimana sahaja pelusuk tanah air termasuk di Sabah dan Sarawak.
Titik peluh perjuangan mereka yang membasahi bumi, menyuburkan perjuangan PAS termasuk di Negeri Pahang, Istiqamahnya para amilin terdahulu menyuburkan perjuangan hari ini, Istiqamahnya para amilin kini, InsyaAllah akan membuahkan hasil kepada pejuangan dimasa mendatang. Inilah keyakinan kami. Kami meniti jalan perjuangan ini dengan penuh keyakinan bahawa "Istiqamah Pasti Akan Menang".
URAJ
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment