Friday, April 23, 2010

Kisah “Tuan Muda” gamatkan Pahang

Minggu lalu negeri Pahang dikejut dan digamatkan dengan isu seorang pelajar pintar menyamar sebagai “Tuan Muda” iaitu mengaku anak angkat kepada Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Bukan setakat menyamar, remaja berusia 17 tahun berasal dari Bera itu juga berjaya memperdaya seorang Exco kerajaan negeri Pahang dan Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kecil sehingga keduanya mengiringinya melawat Kem PLKN Cahaya Gemilang, Cherating, Kuantan.


Isu ini menarik kerana perkara seumpama ini tidak pernah terjadi sebelum ini. Justeru pada pandangan umum, pelajar berkenaan bukan sahaja pintar bahkan berani. Siapa yang berani mengaku anak raja jika dia bukan seorang berani?

Ceritanya bermula apabila remaja yang mendapat keputusan 9 A dalam peperiksaan SPM 2009 itu menghantar surat rasmi palsu atas nama Tengku Puan Pahang ke Kem PLKN Cahaya Gemilang memaklumkan beliau mengadakan lawatan ke kem berkenaan.

Berikutan surat berkenaan, Ketua Pengarah JLKN sendiri datang ke Pahang mengiringi beliau yang memakai baju PLKN dengan tertera nama "Tuan Muda" dan dia juga menjalankan satu acara pengurniaan pingat kepada peserta-peserta PLKN. Remaja berkenaan turut melakukan lawatan ke rumah Orang Kelainan Upaya (OKU) berhampiran Kem PLKN Kampung Hijrah yang turut dihadiri seorang ahli Exco kerajaan negeri Pahang.

Rahsia bekas pelajar Sekolah Menengah Bandar 32, Bera itu terbongkar apabila kawannya yang kebetulan turut menjalani latihan di kem PLKN tersebut telah mendedahkan identiti sebenar remaja berkenaan.

Sementara itu Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar juga mengakui baginda tidak mengenali remaja berkenaan. Tetapi berkata, remaja itu pernah menulis surat kepada baginda kira-kira sebulan lalu, mengatakan bahawa dia adalah anak angkat baginda dan bertemu semasa Tengku Puan Pahang melawat mangsa banjir tetapi baginda mengabaikan surat tersebut kerana tidak mengenalinya.

Polis menahan remaja berkenaan ketika berada di rumah keluarga angkatnya di Pekan dan disiasat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan setelah menerima aduan daripada Istana Pahang yang dianggap mencemarkan institusi berkenaan.

Kes seperti ini ada yang menganggapnya sebagai melucukan. Namun persoalan yang timbul di kalangan orang ramai ialah bagaimana Exco sendiri boleh tertipu. Sedangkan kepala surat yang digunakan remaja itu bukannya kepala surat istana sebaliknya menggunakan lambang Kerajaan Negeri (gading bersilang).

Kepada setengah pihak ini timbul kerana kelemahan protokol sendiri. Tengku Puan Pahang sendiri mempertikaikan apa yang berlaku dan berpendapat prosedur yang betul ialah apabila menerima surat sedemikian JLKN sepatutnya terlebih dahulu merujuk kepada istana.

Komander di kem PLKN berkenaan dikatakan telahpun dipecat di atas kelemahan pusat itu.

Namun cara penyelesaian yang dilakukan oleh Tengku Abdullah amat terpuji kerana tidak memanjangkan polemik dengan meminta remaja berkenaan memohon maaf, berbuat akujanji dan mendapatkan rawatan kaunseling.

Pelajar tersebut juga dikatakan ditawarkan menyambung pelajaran di sebuah pusat matrikulasi.

Caption:
Gambar “Tuan Muda” yang sempat dirakam


No comments:

Post a Comment