Friday, April 9, 2010

Jambatan Kuala Krau pacu pembangunan Pahang Tengah

TEMERLOH: Dengan siapnya jambatan Kuala Krau yang merentasi Sungai Pahang menghubungkan laluan Temerloh-Jerantut dan Rumpun Makmur ke Jengka, pertumbuhan ekonomi terutama melibatkan kampung-kampung tradisional yang terpinggir selama ini dijangka berkembang pantas.

Siap sepenuhnya pada Februari lalu dengan nama Jambatan Sultan Ahmad Shah, jambatan sepanjang 490 meter dan lebar 13.9 meter bernilai RM61 juta itu juga dapat memberi kemudahan perhubungan kepada lebih 100,000 penduduk di kawasan terlibat.

Jambatan ini memendekkan perjalanan orang ramai untuk berurusan di daerah-daerah Temerloh, Jerantut atau Maran. Umpamanya perjalanan antara Kuala Krau ke Bandar Jengka sebelum ini terpaksa melalui bandar Temerloh atau Jerantut yang memakan masa sehingga sejam setengah sebelum ini, kini cuma 20 minit. Begitu juga jarak dan masa perjalanan dari Jerantut ke Jengka serta Temerloh ke Jengka dapat disingkatkan.

Jambatan baru ini juga menjadi pilihan pengguna-pengguna dari daerah-daerah di Pahang Barat untuk ke ibu negeri Pahang kerana dapat menjimatkan masa perjalanan.

Kuala Krau merupakan sebuah pekan dalam daerah Temerloh yang bersempadan dengan Jerantut. Di sekeliling bandar kecil itu terdapat dua buah rancangan Felda, dua buah estet besar dan tanah rancangan Felcra selain kampung-kampung tradisional di kedua-dua tebing Sungai Pahang.

Selama ini penduduk-penduduk kampung tradisional di seberang pekan itu terpaksa berulang-alik mencari keperluan, pelajar-pelajar ke sekolah dan urusan-urusan lain menggunakan bot penambang yang bukan sahaja menghadkan pergerakan bahkan mengambil masa yang lama serta terdedah kepada bahaya terutamanya pada musim tengkujuh.

Dengan siapnya jambatan baru ini pekan Kuala Krau sendiri yang merupakan penghubung ke Bandar Jengka dan 25 buah rancangan Felda dijangka akan mengalami kesibukan. Stesen keretapi di pekan ini yang dulunya agak malap, dijangka akan rancak kembali dengan pengguna yang ramai dari Jengka termasuk pelajar-pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jengka.

Sektor pelancongan juga dijangka berkembang kerana jika Taman Negara ada di Jerantut, di Jengka pula terdapat banyak kawasan yang menjadi tempat tumpuan dan rekreasi seperti Hutan Lipur Gunung Senyum serta pusat perkelahan air terjun Lubuk Yu dan Lubuk Jed.

Penduduk Kuala Krau, Suhaimi Yadin berkata pekan Kuala Krau akan jadi maju dan sibik sebagai bandar penghubung tetapi kedaan jalannya yang sempit dan bangunan yang tidak tersusun seperti yang ada sekarang akan menimbulkan banyak masalah.

“Saya nampak kerajaan seolah-olah tidak ada perancangan, sepatutnya pembinaan jambatan baru itu sudah diketahui lama tetapi kenapa pra-sarana dan kemudahan di sini tak disediakan lebih awal. Umpamanya bank Cuma ada satu iaitu Agro Bank dan tidak ada sebarang klinik swasta. Sedangkan di sini ada dua rancangan Felda, Felcra dan dua estet besar”.

“Dengan siapnya jambatan ini kebanyakan penduduk kini mengambil kesempatan untuk berurusan ke Bandar Jengka daripada bandar Temerloh kerana perjalanan hanya 20 minit berbanding lebih setengah jam. Lagi pun di Temerloh sudah sangat sibuk, parkir berbayar atau kena saman, berbanding Jengka parkir percuma dan terdapat semua jenis bank dan banyak pusat membeli-belah”.

“Jadi nampaknya bila jambatan siap kebanyakan penduduk memilih untuk melabur di daerah lain iaitu ke Jengka dalam daerah Maran atau Jerantut. Inilah yang saya kata kerajaan kurang perancangan, sepatutnya dengan kepesatan pembangunan ini kerajaan sudah berfikir untuk mewujudkan daerah baru,” tegasnya.

Kuala Krau juga merupakan salah satu daripada 14 buah parlimen di negeri Pahang. Kawasan Parlimen Kuala Krau meliputi bandar Kuala Krau dan sepanjang Sungai Pahang, Kerdau di Temerloh serta keseluruhan Jengka.

Bagi penduduk kampung tradisional seberang Kuala Krau, Ahmad Nafiri Toazi, dengan siapnya jambatan baru pertumbuhan ekonomi dan taraf kehidupan penduduk akan meningkat serta segala kegiatan kemasyarakatan dua seberang yang terpisah sebelum ini akan menjadi mudah.

“Saya fikir tanah-tanah kampung yang dulunya tidak dipandang sangat, dengan siapnya jambatan baru ini nilai harganya mulai melonjak kerana banyak tawaran. Apa yang kita harapkan penduduk kampung bertindak matang dan tidak gopoh menghadapi suasana ini,” katanya.

Seorang lagi penduduk kampung, Zukri Mohd Saleh, merasa gembira kerana kampung yang dulunya terpencil kini terdedah kepada dunia luar. Namun begitu beliau khuatir permasalahan gejala sosial seperti lumba haram pula akan berleluasa jika tidak dibendung.

“Kampung Rumpun Makmur ini dulunya dianggap ulu kerana berada di hujung laluan jalan ke Gunung Senyum dan perhubungan utama dengan bot ke Kuala Krau. Sekarang ini dah maju apabila siap jambatan. Cuma masalahnya saya dengar sudah ada muda-mudi yang lepak atas jambatan jauh malam dan sekarang sudah ada remaja merempit dan lumba haram setiap malam,” katanya.

Bagi penduduk Jengka Aris Fezul Ismail, dengan siapnya jambatan Kuala Krau kini tumpuan ke Bandar Jengka bertambah kerana kemudahan yang ada sedangkan jalan ke situ sempit dan perlu diperbesarkan.

“Jalan sepanjang wilayah Jengka ini sempit dan hampir setiap hari berlaku kemalangan. Dengan siapnya jambatan Kuala Krau sudah tentu jalan bertambah sibuk. Jadi kita harap kerajaan segerakan pembesaran jalan sebagaimana yang sudah lama dijanjikan”.

“Selain daripada itu eloklah kerajaan juga mulai berfikir Jengka ini dinaiktaraf sebagai daerah baru apatah lagi di sini merupakan kawasan orang Melayu hampir seratus peratus dan di kelilingi Tanah Rancangan Felda paling luas di negara ini, pejabat Felda Wilayah selain sudah ada pusat pengajian tinggi”.

“Sekarang ini Bandar Jengka di bawah Majlis Daerah Maran dan saya lihat banyak masalah kebersihan dan keceriaan tak selesai terutama selepas ditinggalkan oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (LKWJ). Jika diwujudkan majlis daerah yang baru saya fikir kawasan sekitar lebih pantas membangun kerana pusat pentadbiran berada di sini,” katanya.

Gambar:
- Pekan Kuala Krau yang kelihatan sempit dan tidak teraturCaption:
– Jambatan Kuala Krau

No comments:

Post a Comment