Wednesday, April 28, 2010

Rasuah berleluasa, undi BN hanya naik 5 % di Felda

Presiden Persatuan Anak-Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman berkata, rasuah secara terang-terangan telah dilakukan oleh jentera Umno/BN di empat kawasan Felda dalam Hulu Selangor terutama pada malam akhir sebelum mengundi.

Bagaimanapun menurut Mazlan, hasil yang diperolehi calon BN tidak sepadan dengan usaha habis-habisan mereka kerana penurunan undi Pakatan Rakyat (PR) hanya sekitar lima peratus di kawasan Felda dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor berbanding Pilihan Raya Umum (2008).

Jelasnya, ini bermakna meskipun ditekan dan disogok, menunjukkan masyarakat peneroka Felda sudah cerdik dan berani berubah.

Ini berbeza dengan penurunan undi sehingga 12 peratus di kawasan perkampungan Melayu pinggir bandar di Dewan Undangan Negeri (Dun) Batang Kali dan Kuala Kubu Baharu yang menunjukkan entiti ini lebih mudah dimanipulasi Umno berbanding peneroka Felda.

“Berdasarkan laporan yang saya terima, pada malam terakhir jentera BN telah mengagihkan wang tunai secara besar-besaran dan seorang peneroka mendapat antara RM200 ke RM2,000. Ini berlaku di Felda Suharto, Gedangsa, Sungai Tengi dan Sungai Buaya”.

“Sebelum itu rasuah terang-terangan telah dimulakan oleh Perdana Menteri semasa memberi wang sebanyak RM1 ribu di Felda Sungai Buaya dan akan melangsaikan baki RM49,000 lagi selepas BN menang”.

“Itu rasuahlah namanya, kenapa tak beri RM50,000 terus di luar musim PRK bagi menangani masalah peneroka yang ditipu? Kenapa Tak bayar juga kepada peneroka-peneroka Felda Cahaya Baru yang juga menghadapi masalah yang sama?,” soal Mazlan.

Beliau berucap demikian dalam majlis dialog dengan peneroka di Felda Jengka 23, dekat sini baru-baru ini.

Mazlan yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata, malahan undi yang diperolehi BN dalam Dun Hulu Bernam yang melibatkan kawasan Felda hanya meningkat 400 undi dari PRU 2008. Undi diperolehi Allahyarham Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad ialah 40.56 peratus manakala bagi Datuk Zaid Ibrahim dalam PRK baru-baru ini ialah 35.67 peratus.

“Bayangkan dengan rasuah yang terang-terangan dan man to man marking oleh Umno pun peneroka masih berani memilih calon Pakatan, ini bermakna usaha jentera PAS memberi tumpuan di kawasan Felda berbaloi, ” katanya.

Dalam pada itu Mazlan berkata pihaknya sedang mengumpul bukti dan saksi rasuah yang dilakukan Umno bagi membantu petisyen yang dibuat oleh Zaid Ibrahim.


Mazlan (tengah) sedang berucap dalam majlis dialog

No comments:

Post a Comment