Sunday, April 11, 2010

Ustaz Sahak Bakar kata dia buang wang rasuah Datuk Norza


TEMERLOH: Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Temerloh, Ishak Mat Bakar memberitahu Mahkamah Sesyen Jumaat lalu, bahawa beliau telah membuang sampul surat berisi wang yang diterimanya pada majlis yang turut dihadiri bekas Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Datuk Mohamad Norza Zakaria, yang sedang dibicarakan bagi pertuduhan rasuah.

Penyelia Kanan Pendidikan Islam, Pejabat Pelajaran Daerah Temerloh, itu berkata beliau bertindak demikian selepas berasa ragu dan bimbang mengenai punca wang yang diperolehinya daripada majlis di rumah Naib Ketua Umno Temerloh Mohammad Anuar Yunus pada 20 Jan tahun lepas yang turut dihadiri Mohamad Norza.

Ishak, 53, saksi ke-15 pihak pendakwaan berkata beliau telah mencampak keluar sampul surat berisi wang itu dari keretanya ketika dalam perjalanan pulang ke rumah daripada majlis itu yang beliau dijemput untuk membacakan doa selamat kerana Mohammad Anuar akan menunaikan umrah.

Kepada soalan Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris kenapa beliau bertindak demikian, katanya ia disebabkan panggilan telefon yang diterimanya daripada seorang anggota polis cawangan khas yang hanya dikenali sebagai Latif bertanyakan sama ada dia menerima sesuatu pada majlis itu.

Selain itu, ia juga merupakan kali pertama beliau menerima wang ketika menghadiri sesuatu majlis, kata Ishak yang juga anggota Jawatankuasa Umno Bahagian Temerloh.

Ishak memberikan keterangan pada perbicaraan Mohamad Norza, 43, yang juga bekas anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno dituduh memberi suapan RM1,500 kepada Khadri Musa menerusi ejennya Halimi Kamaruzzaman untuk diagihkan kepada perwakilan sebagai dorongan untuk mengundinya memenangi jawatan MT pada Perhimpunan Agung UMNO Mac tahun lepas.

Beliau juga menghadapi satu lagi pertuduhan memberi suapan RM1,900 kepada Mohammad Anuar Yunus menerusi Halimi bagi tujuan sama.

Kedua-dua pertuduhan itu didakwa dilakukan pada pukul 6.30 petang, 20 Jan tahun lepas di No. 38, Pinggiran Tasik, Taman Bandar Temerloh, di sini.

Halimi, 47, dari Bandar Indera Mahkota, Kuantan pula didakwa atas dua tuduhan memberikan suapan itu kepada Khadri dan Mohammad Anuar bagi pihak Mohamad Norza pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Ishak berkata beliau menerima sampul surat tersebut daripada rakannya, Norinda Othman, 49, seorang pegawai tadbir di Majlis Daerah Temerloh.
Saiful: Apa yang ustaz syak?

Ishak: Saya cuma rasa tidak selamat terima duit itu.

Saiful: Adakah ustaz rasa duit itu satu najis?

Ishak: Mungkin.

Sementara itu, ketika ditanya peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Mohamad Norza mengenai pemberian wang itu yang mungkin sebagai satu "tanda berkat" kepada pembaca doa seperti yang diamalkan di kebanyakan negeri, Ishak tidak menafikannya.

Muhammad Shafee: Sama ada duit ini diberikan untuk tujuan itu (tanda berkat) atau duit minyak, ada tidak kemungkinan antara dua tujuan ini?

Ishak: Ada.

Muhammad Shafee: Kalau untuk tujuan sedemikian, maka ia bukan duit haram?

Ishak: Ya.

Ditanya sama ada beliau bertindak mencampak wang tersebut kerana was-was selepas menerima panggilan daripada anggota polis terbabit, Ishak mengiyakannya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Azuar Che Yusof bersambung 12 Mei.

No comments:

Post a Comment