Friday, April 30, 2010

Orang Asli tuntut pewartaan tanah rizab

TEMERLOH: Kelewatan Kerajaan Negeri Pahang mewartakan rizab Orang Asli didakwa menyebabkan pelbagai kerumitan dan pertelingkahan terus menerus antara agensi kerajaan dengan entiti itu di negeri ini hingga berlanjutan ke mahkamah.

Sehingga kini kes-kes mahkamah melibatkan perbalahan antara Orang Asli dengan pihak kerajaan berkaitan isu tanah difahamkan berlaku di seluruh daerah negeri ini.


Terbaru, sekumpulan Orang Asli dari Kuala Krau, Temerloh melahirkan rasa kecewa apabila pejabat Renjer Hutan Mentakab telah menghantar surat larangan menceroboh atau meneroka hutan simpan yang mereka anggap selama ini kawasan mereka.

Dalam sidang media yang diadakan di pejabat PAS Pahang baru, mereka mendakwa surat larangan menceroboh atau meneroka Hutan Simpan Krau oleh Pegawai Hutan Daerah Temerloh itu telah dihantar Kepada Ketua Batin Kampung Penderas, Nun bin Jak pada 12 April lalu.

Antara lain surat tersebut menegaskan pihak Jabatan Hutan akan mengambil tindakan tegas iaitu mengikut Seksyen 32 Akta Perhutanan Negara 1984 yang antara lain melarang pendudukan atau menjalankan aktiviti dalam kawasan hutan simpanan kekal.

Seksyen itu menyebut seseorang penceroboh apabila disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara atau kedua-duanya sekali. Amaran tersebut amat merisaukan mereka.

Sedangkan bagi Orang Asli suku Jahut di situ, menurut jurucakap kumpulan mereka, Shafie Deris, telah menganggap kawasan tersebut merupakan tempat mencari makan dengan berburu, mengusahakan pertanian dan kawasan rayau masyarakat mereka sejak turun temurun lagi.

“Kehidupan orang Asli amat berkait rapat dengan hutan kerana itu tempat cari makan. Mereka tidak mencuri, kita nak beritahu, kita cabar Jabatan Hutan ambil tindakan kepada tauke-tauke besar yang mencuri kayu balak. Kenapa tauke-tauke besar tidak dikenakan tindakan?”.

“Kenapa Orang Asli yang dijadikan mangsa? Kita harap Jabatan Hutan jangan jadi alat untuk tindas rakyat miskin. Yang berlaku kawasan bersebelahan yang bergeran ditebang balak oleh orang tertentu, kenapa tiada apa-apa tindakan?”.

“Inilah masalahnya bila kawasan Orang Asli tidak diwartakan. Tapi bukan salah kami bila tidak dirizabkan. Kenapa susah sangat... Selangor dan Perak dah diwartakan rizab Orang Asli,” tegasnya penuh emosi.

Menurut Shafie, kelemahan kerajaan negeri ialah melengah-lengahkan pewartaan rizab Orang Asli sedangkan pada setiap kali mesyuarat Batin-Batin pihak kerajaan sering kali berjanji berbuat demikian.

Turut hadir dalam siding media berkenaan ialah Timbalan Pengerusi Biro Hal Ehwal Orang Asal Parti Keadilan Rakyat Negeri Pahang, Yusri Ahon

“Seelok-eloknya kerajaan negeri segera wartakan tanah rizab Orang Asli, dan selepas tempoh tersebut baru-barulah dilot-lotkan sebagaimana yang dinikmati oleh warganegara yang lain. Kita percaya ini saja jalan yang boleh menyelesaikan pertikaian antara kita yang sudah berlanjutan lama ini.”

“Apa yang nak dikhuatirkan sebab dasar pemberimilikan tanah kepada Orang Asli termaktub dalam Seksyen 76 Kanun Tanah Negara 1965. Juga boleh dirujuk Tanah Rizab Orang Asli di bawah Seksyen 7 Akta Orang Asli 1954 (Akta 134). Jadi kelemahan yang ada sekarang jelas kelembapan pihak kerajaan, “ katanya.

Di Malaysia hanya di daerah Temerloh yang mempunyai petempatan Masyarakat Jahut dan Kuala Krau adalah lokasi utamanya.

Petempatan masyarakat Orang Asli suku Jahut Kuala Krau terletak di Kampung Terboi, Kampung Pian, Kampung Galung, Kampung Lubuk Wong, Kampung Pasu, Kampung Penderas, Kampung Paya Mendoi dan Kampung Seboi.

Perkampungan tersebut terletak di Lembah Sungai Krau, bersebelahan Hutan Simpan Krau yang meliputi kawasan berbukit bukau. Lembah Krau terletak di bahagian tengah Semenanjung Malaysia. Puncak tertinggi adalah Gunung Benom iaitu 2,108 meter dari aras laut yang terletak di bahagian Barat Laut.

Sementara itu Yusri Ahon yang turut berucap, berkata perjuangan Orang Asli menuntut tanah adalah menuntut hak mereka sendiri.

“Nasib kami kaum Orang Asli ialah kaum yang termiskin di Negara ini. Kaum lain boleh mengatakan mereka susah, tetapi kesusahan mereka tidak serupa dengan kesusahan kami. Kebanyakan orang kami belum mempunyai keperluan asas termasuk tanah”.

“Tidak ada seinci pun bumi Pahang ini dimiliki oleh Orang Asli. Kaum-kaum lain yang miskin kadang-kadang masih memiliki seekar dua tanah kampong kalau pun tidak ada tanah kebun. Tetapi Orang Asli tidak. Tanah yang kami duduk tidak ada geran, kebun yang kami buat, bukan milik kami. Kami dikatakan mempunyai tanah rezab itu tidak diwartakan”.

“Hari demi hari, kami hanya menengok sahaja hutan-hutan disekeliling kami ditebang, dan dijadikan ladang atau estet oleh FELDA, FELCRA dan estet-estet swasta. Kayu balak dari hutan-hutan sekeliling kami ditebang menjadi balak, tapi yang kami dapat hanyalah habuk-habuk dan debu-debu”.

Menurut Yusri, kaumnya mahukan tanah untuk kampung kami, tanah ladang dan penghidupan kami. Justeru mereka mahu hutan-hutan sekeliling mereka dikekalkan untuk meneruskan cara dan budaya hidup kami.

“Kami mahukan agar Rezab Orang Asli bukan sahaja dikekalkan sekadar pada nama, tapi mestilah diwartakan dan tidak boleh diceroboh,” ujarnya.


Gambar:
Wakil Orang Asli bergambar bersama peguam dan pimpinan PAS




No comments:

Post a Comment