MARAN: Satu usul berkaitan isu tanah yang dibentangkan dalam Mesyuarat Agung PAS kawasan Maran 17 April lalu di Lanting, Chenor wajar diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa kerana merupakan permasalahan menyeluruh penduduk negeri ini.
Usul yang dibawa oleh Ahli Jawatankuasa Kawasan Haji Mohd Nor Keria itu berbunyi: “Mendesak Kerajaan Negeri Pahang meluluskan permohonan tanah kepada rakyat luar bandar dalam masa tiga tahun.”
Mohd Nor ketika berucap membawa usul tersebut turut memberi contoh satu permohonan secara berkelompok yang diusahakan 200 penduduk Kampung Batu 13, di Hulu Gumbai, Chenor sejak daripada tahun 1970-an sehingga kini masih belum diluluskan. Tetapi dijanjikan dengan penyelesaian pada tiap-tiap kali pilihan raya.
Tambah Mohd Nor, dialog dengan Timbalan Menteri Besar yang juga Adun Chenor Datuk Tan Aminuddin Ishak sudah diadakan pada 2005 yang memberi jaminan masalah tanah tersebut akan diluluskan. Hasil daripada dialog tersebut penduduk telah membuat permohonan rasmi dan membayar RM300 bagi setiap lot iaitu seluas tiga ekar seorang.
Pada 2006 diadakan pula dialog dengan Felcra, juga tidak berhasil. Akhirnya pada 2007 penduduk menyerahkan memorandum kepada Pegawai Daerah Maran, namun keputusannya tetap belum ada.
“Kita membawa usul ini untuk kepentingan rakyat kerana tanah tersebut sudah dijayakan sejak sekian lama tetapi belum dapat geran. Apa maknanya menyebut slogan rakyat diutamakan, jika wujud birokrasi melampau atau mungkin pertimbangan politik sehingga terlalu lambat untuk meluluskannya.”
“Sepatutnya kerajaan kena sedar bahawa di situlah tempat orang kampung memperoleh pendapatan. Kita hairan, jika sekiranya pihak kerajaan mempercepatkan proses kelulusan, kerajaan juga yang dapat menambah hasil melalui premium dan cukai tanah,” hujahnya.
Apa yang disuarakan oleh Mohd Nor itu merupakan fenomena dan dilema biasa rakyat negeri ini. Cerita tentang pemohon tanah terpaksa menunggu bertahun-tahun sehingga memakan tempoh dua atau tiga generasi bukan lagi cerita baru. Bahkan acap kali didedahkan oleh media tempatan.
Pahang, meskipun merupakan negeri terluas di Semenanjung dan banyak tanah terbiar, namun isu pemilikan atau kelulusan permohonan tanah masih merupakan isu besar. Bayangkan, ada kes rakyat telah meneroka dan memajukan tanah sekian lama sehingga 30 ke 40 tahun, tiada penyelesaian dibuat atau permohonan ditolak tanpa alasan dan sebagainya.
Rata-rata membuat bandingan, apabila melibatkan tauke-tauke besar sama ada dalam bidang pertanian, pembalakan, perumahan dan industri, dikatakan begitu pantas pula mendapat kelulusan. Satu lagi apabila musim pilihan raya tiba, banyak kes-kes permohonan tanah yang sekian lama tertunggak dan terbengkalai dengan tiba-tiba dapat diselesaikan dan tokoh-tokoh tertentu berlumba-lumba menyerahkan surat hak milik tanah.
Semua ini sudah menjadi rungutan ramai terutama bagi pemohon yang bukan tauke besar dan tidak mengenali tokoh politik. Justeru semua ini memerlukan perubahan dalam sistem dan mungkin sikap pegawai terlibat sendiri agar permasalahan yang berpanjangan selama setengah abad dapat dirungkai sesuai dengan usia kemerdekaan negara.
Bekas pegawai di pejabat tanah Syed Ali Badaruddin meletakkan birokrasi sebagai antara punca kelewatan kelulusan tanah. Menurutnya, prosedur biasa yang terpaksa dilalui ialah mula-mula kena beli pelan, lepas itu kena isi borang, lepas itu akuan surat sumpah. Apabila permohonan tidak berlapis, bukan rizab dan bukan pula kawasan bakal dimajukan kerajan barulah Jawatankuasa Penyelesaian Tanah Daerah (JKPD) yang lazimnya dipengerusikan oleh Pegawai Daerah menyokong dan seterusnya dimajukan ke Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri.
“Dari situ PTG akan membawa ke mesyuarat Exco dan jika diluluskan permohonan akan dihantar semula ke PTG untuk pengesahan (endorsement). Dari situ akan diturunkan ke pejabat tanah daerah untuk dikutip premium”.
“Prosedur seumpama itu biasanya memakan masa sehingga 12 tahun untuk lulus. Beliau meletakkan birokrasi sebagai punca berlaku kelewatan dalam sesuatu kelulusan pemohonan tanah iaitu terpaksa melepasi tidak kurang “20 meja” untuk diluluskan”.
Tambah beliau, proses kelulusan boleh dipercepatkan jika pihak berkuasa negeri menggunapakai Seksyen 12 Kanun Tanah Negara iaitu pihak berkuasa negeri menurunkan kuasa kepada wakilnya.
“Setakat ini permohonan tanah hanya diluluskan Menteri Besar melalui mesyuarat bersama Exconya. Sebenarnya proses kelulusan boleh dipercepatkan jika Seksyen 12 digunapakai iaitu mewakilkan kepada pegawai tertentu jika pertimbangan hanya atas alasan dan sebab-sebab teknikal”.
Hal ehwal tanah terletak sepenuhnya di bawah bidangkuasa negeri. Pengurusan yang cekap sudah tentu dapat melipatgandakan hasil negeri. Jika terlalu lambat hanya kerana karenah birokrasi, bagaimana kerajaan mahu memenuhi keperluan rakyat dan desakan pembangunan setempat.
Mungkin tidak semua pemohon tahu tentang status tanah dan di mana tanah yang boleh dimohon. Oleh yang demikian dirasakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang sepatutnya bertindak proaktif iaitu memohon dulu tapak tanah untuk penempatan dan kemudiannya diagih-agihkan kepada rakyat yang memerlukan.
Mungkin idea ini terlalu ideal, tetapi tidak salah dipraktikkan demi memenuhi slogan ‘rakyat didahulukan’.
Barangkali tidak ramai yang sedar bahawa tanah mempunyai kaitan dengan kemiskinan dan kepentingan nilai sebidang tanah dapat diukur daripada kenyataan seorang ahli ekonomi Peru Hernando De Soto iaitu “Lambang kemiskinan seseorang ialah apabila tidak memiliki tanah dan begitu jugalah dengan ukuran kepada sesebuah masyarakat”.
Pengamalan peraturan tanah di negara ini diambil daripada sistem Torrens, Australia. Bagi peguam Ahmad Nizam Hamid, tanggungjawab kerajaan sepatutnya memudahkan proses pemilikan tanah kepada rakyat khususnya yang masih belum memiliki tanah.
“Dalam sistem sekarang terlalu banyak karenah birokrasi yang terpaksa ditempuh sehingga menjadi lembab. Antaranya tiada akses kepada kemudahan dan di peringkat bawah pula pemberian tanah kadangkala berdasarkan kepentingan politik menyebabkan berlaku ketidakadilan,” jelasnya.
Caption:
Haji Mohd Nor sedang berucap
No comments:
Post a Comment