Friday, April 30, 2010
Dr M kata gitu... Pak Lah kata gini, duit rakyat habis
Mula-mula mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa penggantinya, Tun Abdullah Ahmad Badawi telah menyerahkan kepada Brunei dua blok pengeluaran minyak luar pantai, sebelum bersara awal tahun lalu sehingga Malaysia kerugian dalam bentuk perolehan berjumlah AS$100 bilion (RM320 bilion)..
Kemudian Abdullah membalas balik, beliau telah menandatangani perjanjian persempadanan laut dan darat dengan Brunei pada Mac 2009 di mana pertindihan dua medan eksplorasi menjadi milik Brunei selepas ia diluluskan Kabinet Malaysia sebulan sebelum itu.
Siapa benar siapa salah? Belum pasti.... yang pasti rakyat negara inilah yang kerugian dan kehilangan wang.
Kita percaya kes ini mungkin untuk beberapa hari lagi akan meledak dalam media alternatif, namun pasti selepas itu seperti lazimnya isu yang melibatkan kerugian negara ini kemudiannya akan senyap dan berlalu begitu saja.
Akhirnya siapakah yang rugi?
Sebelum ini seorang wartawan Eropah telah menulis sebuah buku (yang diharamkan memasuki negara ini) telah menyiarkan beberapa fakta yang tidak pernah disangkal, bahawa Malaysia dalam tempoh masa 22 tahun pemerintahan Dr Mahathir telah kehilangan ratusan juta atau menjangkau ribuan juta.
Dr Mahathir tidak menafikannya, sebaliknya mendakwa pada zaman Abdullah kehilangan wang lebih besar daripada itu lagi. Kedua-duanya tidak menyangkal.
Pernahkah dilakukan sebarang penyiasatan?
Akhirnya siapakah yang rugi?
Beginilah nasib rakyat Malaysia, yang kaya sumber negaranya namun hasilnya pupus dan dibazirkan begitu sahaja. Selain kroni, rakyat hidup kais pagi makan pagi atau sekurang-kurang dihimpit kos kehidupan yang tinggi. Sedangkan wang yang sepatutnya boleh melegakan mereka sedikit dicurahkan tak tahu hala tanpa keredhaan mereka.
Kita percaya, PM yang ada pada masa inipun tidak kurang borosnya, walaupun pastinya dengan pelbagai alasan.
Namun kesnya seperti kes kedua mantan PM tadi, berteriak dan bertengkaunglah, hasilnya pasti akan lenyap begitu saja bersama deruan angin yang berlalu. Cakap dan congkehlah apa saja, begitulah dan terus begitu.
Justeru itu, jika sayangkan negara, khazanah dan rakyatnya, kita mahu rakyat sedar bahawa, selagi BN memerintah negara ini hasil mahsul amanah rakyat akan digunakan sesuka hati pemimpin mereka, laksana harta faraid peninggalan ibu bapa mereka layaknya.
Lalu kita mahu rakyat segera membuat keputusan, bertindak dan seterusnya menggantikan pemerintahan yang ada ini, sekurang-kurangnya pada pilihan raya umum akan datang.
Itupun jika rakyat mahu dan sayangkan harta, isi bumi dan khazanah bumi milik mereka ini tidak lagi dipergunakan semahunya, di luar batas-batas amanah!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment