KUANTAN: Pahang akan memberi tumpuan terhadap tujuh strategi pengukuhan ekonomi negeri selaras dengan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Model Ekonomi Baru (MEB) yang dilaksanakan.
Tujuh pengukuhan ekonomi itu adalah jaringan dan kemudahsampaian, pembesaran kapasiti utiliti, pemantapan modal insan, peningkatan nilai tambah sektor produktif, pelebaran jaringan sosial, peningkatan kualiti hidup dan pemantapan pelaburan swasta.
Tengku Mahkota, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, antara tumpuan yang perlu diberikan perhatian adalah projek mesra rakyat bagi menjana ekonomi serta projek berdasarkan nilai wang berteraskan kepada tujuh strategi pengukuhan ekonomi negeri.
“Dalam usaha meningkatkan jaringan kemudahsampaian di negeri ini , projek naik taraf jalan utama sedang dalam peringkat awal pelaksanaan yang menghubungkan Kampung Relong (Lipis) ke Simpang Pelangai (Bentong) jalan Sungai Lembing ke Jerantut, jalan Benta-Jerantut-Maran dan beberapa jalan lagi yang bakal dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia ke 10 (RMK-10).
“Selain itu untuk menambah nilai sektor produktif, usaha sedang dijalankan bagi membangunkan kawasan perindustrian mengikut kluster seperti industri maritim, minyak dan gas di :Tanjung Agas, Pekan yang dijangka menyediakan peluang pekerjaan sebanyak 30,000 dalam tempoh 10 tahun di samping peruntukan untuk prasarana berjumlah RM150 juta dan pertimbangan RM350 juta lagi di bawah RMK-10,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika membacakan perutusan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah pada Istiadat Perbukaan sempena Persidangan Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pahang yang ke-12 di Wisma Sri Pahang, di sini semalam.
Tengku Abdullah bertitah, untuk pembesaran kapasiti utiliti, baginda yakin pelaksanaan projek naik taraf bekalan air melalui pembinaan loji air Pancing, loji Ganchong di Pekan, dan projek menaik taraf loji air di Pelangai dan Mempaga akan dapat memberi manfaat kepada rakyat.
Baginda juga sukacita dengan kesungguhan kerajaan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi yang berjaya meningkatkan kapasiti telekomunikasi dan teknologi maklumat di negeri ini yang menunjukkan peningkatan kadar penembusan internet dari 12 peratus pada Ogos 2009 kepada 18 peratus pada Mac tahun ini dan disasarkan meningkat pada kadar 30 peratus menjelang akhir tahun ini.
No comments:
Post a Comment