Tuesday, April 13, 2010

Dua usul PAS Temerloh dijangka gamatkan muktamar tahun ini

PAS Temerloh mendahului kawasan-kawasan lain di negeri Pahang membuka gelanggang mesyuarat agungnya Sabtu lalu, dengan membahaskan usul menarik untuk dibawa ke Muktamar Agung PAS Pusat tahun ini.

Dua usul oleh jawatankuasa PAS Kawasan yang menarik perhatian banyak pihak itu ialah “mendesak kerajaan-kerajaan negeri yang dikuasai PAS mewujudkan jawatankuasa Hisbah (Ombudsman)”.

Manakala usul kedua pula ialah “mendesak PAS Pusat agar tidak melantik Pengerusi Jawatankuasa Disiplin parti daripada kalangan ahli jawatankuasa PAS Pusat.


Apa yang menariknya ialah usul tersebut datang daripada jawatankuasanya dan dibahaskan dengan panas tetapi bernas dan matang oleh para perwakilan.

Ahli jawatankuasa PAS Kawasan Amiruslan Manaf ketika mengetengahkan usul mendesak kerajaan PAS menubuhkan Hisbah, rasionalnya supaya menjadi pemantau dan pemandu kepada wakil-wakil rakyat, pemimpin dan kakitangan kerajaan daripada penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa.

Amiruslan berhujah, umum melihat bahawa berleluasanya permasalahan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa yang diamalkan dalam pentadbiran kerajaan BN telah membawa porak peranda kepada negara.

“Kebobrokan inilah antara penyebab kejatuhan BN di beberapa negeri dalam PRU lalu. Kerajaan Selangor pimpinan PKR sudahpun mewujudkan SELCAT dan Kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP dengan badan pemantaunya iaitu Penang CAT (Competency, Accountablity, Tranparency) bagi memperlihatkan ketelusan pentadbiran Pakatan Rakyat. Namun PAS dilihat masih belum mewujudkan badan seumpama itu”.

“Oleh yang demikian, keperluan untuk menubuhkan institusi Hisbah atau Ombudsman ini sudah tentu ke arah pemerintahan yang amanah dan telus kerajaan. Sekali gus, dapat mempertingkatkan maruah Islam dan PAS sendiri di mata umum,” ujarnya.

Jika diteliti idea ini dalam konteks memperjuangkan politik baru bagi pentadbiran yang telus dan adil, sudah tentu memerlukan suatu mekanisme khas yang dapat berperanan bukan sahaja memantau pentadbiran negeri bahkan untuk mempastikan pentadbiran dijalankan dengan adil, saksama, cekap, telus dan jauh daripada rasuah. Mekanisme ini harus di intitusikan sebagai sebahagian daripada jentera kerajaan itu sendiri yang bersifat neutral dan mempunyai kuasa-kuasa perlu.

Sudah pasti Hisbah yang jika dilaksanakan bukan sahaja dapat memantau dan memastikan pentadbiran agar segala elemen yang tidak sihat seperti amalan rasuah, kronisme, ketirisan dalam kerajaan BN selama ini dapat dihapuskan, malah ketidakcekapan dan birokrasi dalam pengurusan juga mampu

Kerajaan PAS Terengganu pernah cadang Hisbah

Jika masih diingati, institusi Hisbah ini pernah diketengahkan dalam Kerajaan PAS Terengganu pimpinan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sewaktu memerintah negeri itu selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 1999. Pada waktu itu Hisbah diperkenalkan sebagai wahana kecekapan dalam pentadbiran serta sarana melawan rasuah.

Jawatankuasa Hisbah Trengganu ketika itu di terajui oleh bekas Hakim Kanan Mahkamah Sesyen dan juga bekas Penasihat Undang-undang Kerajaan Negeri Kelantan, Allahyarham Idris Othman. Namun setelah kembalinya beliau ke rahmatullah dan kerajaan Terengganu jatuh ke tangan BN, inisiatif yang diambil oleh Kerajaan PAS Terengganu itu meskipun baik namun gagal diimplementasi dan gagal dilihat hasilnya.

Jika dalam pentadbiran Khilafah Islam terdahulu wujud badan Hisbah atau Al-Muhtasib, di negara-negara moden kini ada badan pemantau dipanggil Ombudsman.

Al-Muhtasib bertindak sebagai institusi seruan untuk menegakkan amar makruf dan menghalang perbuatan mungkar. Ianya mencakupi kesemua aspek kehidupan yang bukan sahaja berputar sekitar manusia malah menyantuni ternakan dan persekitaran selain mempastikan kebajikan dan keadilan terhadap rakyat serta negara dapat di pertahankan. Falsafah di sebalik Hisbah ini tentunya sebagai pemantau kepada pemerintah agar tidak tergelincir dari landasan disamping mempertahankan hak warganegara dan yang lebih utama untuk membina 'negara yang baik dan mendapat keredaan dari Allah.'

Falsafah dan modus operandi Hisbah ini kemudiannya turut dijadikan ciri penting pentadbiran moden.Di Negara-negara Barat ianya di kenali sebagai Ombudsman. Di kebanyakan negara seperti United Kingdom, Australia, Albania, Pakistan dan beberapa negara lain Ombudsman telah di jadikan institusi penting kerajaan untuk mengujudkan 'check and balance' dan ketelusan.

Negara Taiwan umpamanya mengujudkan institusi yang di kenali sebagai Control Yuan; Control Yuan dianggap sebagai cabang khas kerajaan di bawah prinsip perlembagaan Taiwan-Three Principles Of The People.

Berdasarkan kepada iklim politik dan keperluan negara pada masa ini yang diiktiraf tinggi indeks rasuahnya, melembagakan intitusi Hisbah ini merupakan suatu keperluan yang amat penting. Dengan pendekatan profesional dan bebas, Hisbah dapat berperanan untuk mengekang korupsi, melahirkan pentadbiran yang telus dan berhemat sehingga memberikan manfaat yang besar kepada rakyat.

Usul pinda Fasal 82 Perlembagaan PAS

Usul kedua pula lebih menarik dan panas dibahaskan. Usul asalnya berbunyi:

“Mendesak PAS Pusat agar tidak melantik Pengerusi Jawatankuasa Disiplin parti daripada kalangan ahli jawatankuasa PAS Pusat sebaliknya hendaklah dilantik di kalangan ahli pas yang profesional, veteran dan berkelayakan. Ini demi untuk menjaga kewibawaan dan kredibiliti badan itu sendiri agar tidak dilihat berkepentingan. Serentak dengan itu kekangan perlembagaan parti hendaklah dipinda bagi merealisasikan kehendak di atas”.

“Dengan ini pindaan perlembagaan perlu dilakukan pada Fasal 82 Para 4. Ini bagi memenuhi tuntutan Fasal 86 Para (1), (2) dan (3) Perlembagaan PAS”.

Pembentang mengetengahkan latar belakang usul tersebut bahawa jawatankuasa disiplin merupakan tempat rujuk terakhir kepada mana-mana parti dalam menangani permasalahan disiplin, salah laku dan etika ahli-ahlinya. Panel yang berwibawa dan tidak berkepentingan lazimnya dilihat utuh dan mendapat penghormatan daripada ahli-ahlinya.

Kebetulan PAS memiliki tokoh-tokoh hebat dalam pelbagai bidang seperti bekas Ketua Hakim Negara, peguam tersohor, ulamak berkaliber serta veteran yang tidak berada dalam saf kepimpinan parti.

Seorang ahli jawatankuasa, Hasanuddin Salim yang bangun menyokong berkata usul tersebut amat relevan dan sudah disebut-sebut merata tempat dan beliau bangga Temerloh dapat menjadi pengusul terawal.


Kata beliau, rasional kepada usul ini dapat dilihat berdasarkan senario yang terjadi selepas keputusan oleh Jawatankuasa Disiplin PAS terhadap Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hassan Ali dan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad.

“Kebetulan pengerusinya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man adalah dari Pahang. Apa yang dibimbangi ialah keputusan tersebut memberi kesan negatif kepada beliau bila membuat keputusan yang tidak digemari oleh satu-satu pihak. Betul atau tidak itu persoalan kedua, masalahnya persepsi. Masalah persepsi inilah sedikit sebanyak boleh menjejaskan masa depan beliau iaitu menjadi mangsa kepada keputusan yang tidak digemari sedangkan beliau mempunyai masa depan untuk meningkat ka tangga hierarki parti yang lebih tinggi”.

“Justeru untuk mengelakkan prasangka sedemikian parti mesti menyediakan kawalan lebih awal iaitu melantik orang lain yang tidak berkepentingan iaitu tidak bertanding dalam kepimpinan tertinggi parti. PAS mempunyai tokoh-tokoh hebat yang mampu menanggung jawatan tersebut dan boleh mengelakkan sebarang kontroversi,” katanya.

Tampaknya Temerloh mempunyai idea terkehadapan dalam dua usul yang dibawa.

“Jika usul seumpama ini boleh dibahaskan begitu menarik di peringkat kawasan, saya yakin nanti bila dibahaskan di Muktamar Agung PAS Pusat sudah tentu lebih menarik lagi,” kata seorang perwakilan.


Gambar:
Amiruslan sedang membentangkan usul


No comments:

Post a Comment