Tuesday, April 6, 2010

Ahli Parlimen Indera Mahkota Saman Utusan RM29 Juta - Tahniah Azan!

Akhirnya Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail (semalam) memfailkan saman fitnah berjumlah RM29 juta terhadap seorang editor dan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad.

Tahniah Azan, pemfitnah dan pencacai Umno itu tidak sepatutnya dibiarkan gah menongkat langit terus-terusan. Sebab ia secara jelas merosakkan minda anak bangsa dan boleh menghuru-harakan seisi tanah air ini.

Azan yang hadir bersama peguam yang mewakilinya, A. Vasudevan memfailkan saman itu di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuantan menerusi tetuan Vasudevan A & Co. Beliau menamakan editor akhbar Utusan Zulkiflee Bakar sebagai defendan pertama dan syarikat akhbar itu, defendan kedua.

Dalam penyata tuntutannya, Azan mendakwa Zulkiflee telah menulis satu artikel dalam akhbar Utusan pada 6 Mac lalu yang berunsur fitnah terhadap beliau. Di mana dalam artikel yang berserta dengan gambar itu mengatakan bahawa beliau telah keluar dari PKR dan telah meletakkan gambarnya bersama dengan ahli-ahli politik lain yang telah keluar dari PKR sebelum itu.

Tambahnya, defendan kedua pula telah mencetak dan menerbitkan satu laporan susulan pada ruang ralat dalam suratkhabar Utusan Malaysia pada 8 Mac lalu yang menyatakan Azan tidak keluar dari PKR tetapi telah meletak semua jawatan dalam PKR termasuk Timbalan Pengerusi Perhubungan Negeri dan Pengerusi Biro Keahlian Negeri.

Dakwanya lagi, kedua-dua cetakan dalam akhbar pada 6 Mac dan 8 Mac itu boleh menjatuhkan air muka serta maruahnya.

Pada 26 Mac lalu, beliau telah membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan.

Beliau menuntut ganti rugi RM29 juta terhadap kedua-dua defendan, satu injunksi terhadap defendan pertama daripada membuat apa-apa laporan dan/atau penulisan lain yang berunsur fitnah terhadapnya dan injunksi terhadap defendan kedua daripada mencetak apa-apa laporan berunsur fitnah.

Azan juga menuntut faedah 8 peratus setahun ke atas jumlah ganti rugi RM29 juta dari tarikh saman itu difailkan.

Sekali lagi tahniah, Azan.

Sesiapa sahaja yang membaca buku Memoir Perjuangan Said Zahari, akan mengetahui bahawa betapa pejuang itu terpaksa berhempas pulas menghalang Utusan Melayu pada tahun 1950-an daripada dikuasai Umno.

Beliau yang ketika itu sebagai pengarang di Kuala Lumpur, telah melancarkan mogok bersama kakitangan yang lain. Malangnya, beliau kemudiannya dahan di bawah Akta keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama 17 tahun atas tuduhan aktivis subversif tanpa pernah dibuktikan.

Hari ini, ternyata tindakan Said Zahari itu benar. Apabila Utusan dikuasai Umno, nilai kewartawanannya telah tergadai di mana kepentingan penyiarannya, terutama di muka hadapannya, banyak mengambil kira untuk faedah Umno. Dan kadang-kadang provokasi.

Azan bukanlah orang pertama menyaman Utusan, malah terlampau ramai, terutamanya pemimpin parti bukan di kalangan pemimpin parti bukan BN yang menyaman dan telah menang. Antaranya termasuklah, Almarhum Ustaz Fadzil, Tuan Guru Nik Aziz, Tuan Guru Ustaz Hadi, Anwar Ibrahim, Mahfuz Omar dan ramai lagi.

Ketika era reformasi di mana beberapa media pro-Umno diboikot dahulu, kumpulan-kumpulan syarikat berkenaan banyak yang hampir gulung tikar kerana jualannya merosot dan hanya mampu bernafas dengan iklan.

Dengan fitnah yang kian menggila kini, ada baiknya road show boikot media pemfitnah ini digiatkan semula. Kumpulan korporat Utusan mungkin tidak akan gulung tikar kerana hanya road show boikot ini, namun cukuplah ia sebagai pengajaran!

No comments:

Post a Comment