Saturday, April 24, 2010

Mamak India mulai bersuara tentang hak

BENTONG: Walaupun masyarakat India Muslim merupakan kaum minoriti iaitu 2.6 peratus kepada jumlah keseluruhan penduduk negara ini, tetapi sumbangan mereka terhadap pembangunan negara tidak boleh dinafikan.

Namun begitu, dalam arus pembangunan serba mencabar pada waktu ini, masyarakat India Muslim masih mencari-cari haluan dan menuntut hak mereka untuk mendapat pembelaan sewajarnya.

Presiden Kongres Indian Muslim Malaysia (Kimma), Datuk Syed Ibrahim Kader berkata, terdapat pelbagai masalah masih membelenggu masalah India Muslim termasuk pendidikan, keperluan sosial dan kebajikan, pembangunan ekonomi dan status warganegara.

Menurutnya, dari segi pendidikan, masyarakat India Muslim masih tidak mempunyai kuota khusus terutama dalam kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) mahupun pinjaman pendidikan dari pelbagai agensi.

“Pada masa kini, banyak pelajar India Muslim seakan-akan terpinggir kerana ada agensi pendidikan yang enggan memberikan pinjaman kerana berhubung kait dengan status kewarganegaraan.

“Dalam hal ini, pelajar yang mempunyai potensi untuk berjaya tidak dapat membangunkan diri dan ia memberikan kerugian bukan sahaja kepada masyarakat India Muslim tetapi juga negara,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Bersama Presiden Kimma Kebangsaan anjuran Bersama Kimma Lurah Bilut dan Badan Perhubungan Kimma Negeri bertempat di Felda Lurah Bilut dekat sini.



No comments:

Post a Comment