Friday, April 16, 2010

Hapuskan PRK – Tuan Ibrahim

TEMERLOH: Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa pihak kerajaan mengkaji untuk dihapuskan Pilihan Raya Kecil (PRK) demi faktor ekonomi, keselamatan dan untuk membendung aktiviti rasuah sebaliknya digantikan dengan mekanisme lain.

Menurut Pesuruhjaya PAS Pahang itu, dengan siri PRK yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum (PRU), wang dan masa yang sepatutnya ditumpukan kepada agenda pembangunan menjadi terganggu akibat tekanan politik berterusan.

Tambah beliau, sedangkan perlembagaan boleh dipinda seperti menghapus pilihan raya tempatan seperti yang pernah wujud dahulu.

“Walaupun proses demokrasi itu baik tetapi tidak semestinya tidak boleh diubah mengikut keadaan. Cuba bayangkan banyak wang dihabiskan dan petugas parti pula keletihan. Saya diberitahu kos bagi 20 PRK boleh menampung satu PRU”.

“Jadi wang dan masa yang sepatutnya ditumpukan kepada agenda pembangunan selama lima tahun selepas PRU sebagaimana dipilih rakyat menjadi terganggu, sedangkan ada mekanisme lain boleh difikirkan”.

“Selain daripada itu wujud ketegangan kepada pengundi dan tekanan melampau kepada penduduk setempat akibat gara-gara kempen parti yang bertanding. Rasuah menjadi subur, tengok PRK Hulu Selangor ini, belum apa-apa lagi saya diberitahu sudah berlaku rasuah kepada pengundi termasuk janji bernilai puluhan juta ringgit”.

Tuan Ibrahim sebaliknya mencadangkan jika berlaku kekosongan kerusi akibat kematian penyandangnya atau meletak jawatan, terus digantikan saja dengan orang lain yang dipilih daripada kalangan parti yang menang pada PRU di kawasan berkenaan.

Tuan Ibrahim melontarkan idea demikian semasa menyampaikan ucapan penangguhan selaku Yang Di-Pertua PAS Kawasan sempena Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Kuala Krau, 10 April lalu di Darul Hikmah, Kerdau.

Mesyuarat tersebut dirasmikan oleh Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub dan dihadiri kira-kira 200 perwakilan dan pemerhati.

Berucap lanjut Tuan Ibrahim menambah, akibat PRK kerajaan yang dipilih rakyat yang sepatutnya diberi peluang, menerima tekanan akibat kempen-kempen yang tidak seimbang.

“Berlaku di negeri-negeri Pakatan seperti Selangor, setelah menang mendapat mandat rakyat tetapi menerima tekanan berterusan dan jika banyak PRK risikonya sesebuah kerajaan boleh tumbang,” ujarnya.

Tambahnya, di negara-negara maju pun tidak mengamalkan sistem PRK ini dan sudah sampai masanya kerajaan mengkaji semula setelah negara ini lebih setengah abad merdeka demi kesejahteraan semua.

Mengenai wakil rakyat yang melompat Tuan Ibrahim mencadangkan digubal peraturan supaya kerusi yang disandang secara automatik kosongkan bagi memberi keadilan kepada pengundi.

“Bayangkan puluhan ribu yang mengundi, tetapi bila wakil rakyat melompat boleh menyebabkan jatuh sebuah kerajaan sedangkan pengundi yang memilih untuk sebuah kerajaan demi kesejahteraan mereka tak dapat apa-apa”.

“Pengundi yang pilih nak menangkan calon, bila dia melompat boleh jatuh sebuah kerajaan. Ini berlaku Kerajaan Perak tahun lalu dan Terengganu pada satu masa dulu akibat wakil rakyat melompat. Pengundi yang memenangkan wakil rakyat itu tiada kuasa apa-apa, ini tidak adil”.

“Apabila dibenarkan melompat parti ini, wakil-wakil rakyat sangat terdedah kepada rasuah terutama daripada pemerintah. Ketika PAS hanya memiliki majoriti satu kerusi di Kelantan pada PRU sebelum ini, tawaran rasuah kepada Adun-Adun PAS sangat banyak”.

“Jadi dalam sistem negara kita yang banyak rasuah ini, PRK dan lompat parti amat menyusahkan rakyat”.

No comments:

Post a Comment