Wednesday, April 28, 2010

Pendapatan Pahang bertambah, tapi sikit – MB

KUANTAN: Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob pada Selasa (27 April) telah menafikan dakwaan Syed Hamid Syed Mohamed (PAS-Kuala Semantan) dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang bahawa pendapatan kerajaan negeri tidak meningkat.

Adnan Yang menjawab soalan bertulis Syed Hamid, sebaliknya berkata, pendapatan kerajaan negeri meningkat dari tahun ke tahun walaupun hanya dalam jumlah yang kecil.


Tambah Adnan, hasil pendapatan negeri Pahang pada tahun lepas adalah sebanyak RM492.1 juta berbanding pada tahun sebelumnya iaitu RM481.8 juta manakala hasil pada 2007 adalah RM441 juta.

Beliau bagaimanapun mengakui bajet negeri Pahang sejak 10 tahun lepas adalah defisit.

"Ini ternyata sejak 10 tahun lepas kerajaan negeri terus mengamalkan bajet defisit dengan tidak mengurangkan peruntukan pembangunan khususnya pembagunan demi kepentingan rakyat," katanya ketika menjawab.

Adnan berkata kerajaan negeri boleh melaksanakan bajet berimbang tetapi dengan mengurangkan peruntukan untuk pembangunan.

Menurutnya, pihaknya juga sanggup menanggung kesusahan dengan mengurangkan peruntukan mengurus dan perbelanjaan keraian bagi memastikan tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat tidak terabai.

Persidangan Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pahang yang ke 12 berjalan pada minggu kedua di Wisma Sri Pahang, di sini.

Sementara itu, Adnan berkata sejumlah 155 kertas siasatan dibuka oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Pahang berhubung kes salahguna kuasa atau rasuah sejak tiga tahun lalu di negeri ini.

Beliau berkata kertas siasatan yang dibuka pada tahun lepas adalah 27, tahun 2008 sebanyak 59 manakala pada 2007 sebanyak 69.

"Jumlah tangkapan oleh SPRM bagi tiga tahun berkenaan adalah 50 orang iaitu 21 orang pada tahun lepas diikuti 17 orang pada tahun 2008 dan 12 orang pada tahun sebelumnya," katanya ketika menjawab soalan Chang Hong Seong (BN-Teruntum).

Menurutnya, jumlah kes yang dituduh oleh SPRM Pahang di mahkamah bagi tiga tahun tersebut pula sebanyak 23 kes iaitu 11 kes pada 2009, tujuh kes pada 2008 dan lima kes pada 2007.

No comments:

Post a Comment