Sebaik sahaja selesai Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, menteri besar yang mula-mula mengangkat sumpah ialah Datuk Seri Azizan Abdul Razak bagi negeri Kedah Darul Aman dan diikuti dengan. Sehari selepas itu anggota-anggota Exco pula mengangkat sumpah. Ini menggambarkan peralihan berjalan dengan licin dan lancar.
Selepas itu negeri Kedah Darul Aman, kelihatannya benar-benar aman apabila tidak banyak dihiglight isu-isu pentadbirannya oleh media arus perdana seperti negeri-negeri Pakatan Rakyat yang lain seperti Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan Perak sebelum ini yang dikatakan sering ditimbulkan provokasi dan kontroversi bagi menggambarkan berlaku ketidakstabilan.
Jika berasaskan laporan media, tidak banyak yang diketahui perkembangan di Kedah. Baru-baru ini Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pertanian dan Industri Asas Tani, Bioteknologi, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga negeri Kedah Datuk Ir. Amiruddin Hamzah telah berkunjung ke Bera. Adun Anak Bukit yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu hadir bagi merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Bera.
Pahang Selamat mengambil kesempatan menemubual beliau selepas berceramah di markas Darul Ikhwan, Mengkarak.
Berbanding negeri-negeri PR lain, Kedah nampaknya tidak terlalu menonjol sama ada isu-isu kontroversi mahupun perkembangan positif yang berlaku. Boleh Datuk gambarkan pemerintahan PR Kedah selepas dua tahun ini?
YAB Menteri Besar Datuk Seri Ustaz Azizan mengambil pendekatan ‘non confrontational’ atau tidak berkonfrontasi sebaliknya memilih jalan damai, penyelesaian dan pelarasan setakat mana yang kita boleh lakukan. Banyak juga provokasi yang cuba dibawa. Antaranya mereka peringkat awal dulu timbulkan kontroversi dengan menyuruh murid-murid tadika Kemas untuk keluar dari Dewan-Dewan Orang ramai dan jaja cerita kononnya kerajaan negeri yang arahkan berpindah.
Macam cerita mula-mula PAS memerintah di Terengganu dulu?
Ya... macam di Terengganu itu. Tapi Ustaz Azizan ini bijak dan berhikmah, dia turun sendiri ke tadika-tadika Kemas itu bahkan tanya apa lagi yang tak cukup kerana kerajaan negeri nak bagi! Jadi hasutan-hasutan itu tak menjadilah.
Pernah juga berlaku mereka adakan demonstrasi untuk kes-kes bayaran perumahan rakyat yang tertunggak sehingga RM23 juta, lalu kita serahkan kes mereka kepada pihak bank untuk mengendalikannya untuk urusan pembayaran. Pada mulanya ada pihak Umno yang berdemonstrasi membantah. Tetapi Ustaz Azizan panggil mereka dan beritahu “... ada 23,000 lagi permohonan untuk perumahan rakyat, jadi kalau kamu bayar boleh dimanfaatkan untuk membangunkan perumahan untuk orang lain pula”. Alhamdulillah, akhirnya mereka faham dan kutipan meningkat setiap minggu. Pendek katanya kontoversi itu kurang kerana pendekatan kerajaan negeri bukan ‘berlawan’ untuk mereka timbulkan tekanan kepada kerajaan negeri.
Tapi Datuk rasa adakah usaha untuk menumbangkan kerajaan Pakatan Kedah dengan ‘membeli’ Adunnya. Dulu bekas Adun Bukit Selambau, V. Arumugam terpaksa meletakkan jawatan Kemudian Adun Lunas, Mohammad Radzhi Salleh mengisytiharkan sebagai Adun Bebas. Jadi adakah usaha-usaha ini masih berlaku?
Ya. Usaha-usaha itu memang ada dan tidak pernah berhenti kerana Kerajaan Pakatan Kedah hanya memiliki kelebihan lima kerusi, kita ada 16 PAS, 5 PKR dan 1 DAP. Bila Adun Lunas menyertai Bebas kita cuma ada kelebihan empat kerusi, tetapi dengan penggantungan Adun Kota Siputeh baru-baru ini kita kembali mempunyai majoriti lima kerusi. Tetapi sebagaimana saya katakan tadi, usaha untuk menjatuhkan Kerajaan Pakatan Kedah masih belum berakhir.
Datuk rasa setakat ini sejauh mana prestasi dan pencapaian kerajaan dan jika diukur berapa peratus agaknya perancangan atau janji-janji Kerajaan Pakatan Kedah kepada rakyat telah terlaksana?
Sebenarnya PAS Kedah telah serahkan kepada Dewan Pemuda (DPP) untuk memantau prestasi, menilai pencapaian kerajaan dan janji-janji dalam manifesto kita yang lepas, yang kita namakan “Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua' dan kini jadi motto kerajaan. Hasil daripada kajian dan tinjauan yang dibuat oleh DPP yang kita kata sebagai watch dog bagi pihak parti, mereka memberitahu sudah hampir 80 peratus janji manifesto dipenuhi, sama ada sudah terlaksana atau dalam proses dengan makna sudah bermula. Itu angka yang diberi hasil penelitian rapat DPP. Manakala baki yang belum dapat dilaksanakan itu mungkin kerana terdapat kekangan-kekangan dari segi peraturan yang ada sehingga terpaksa ditangguhkan.
Barangkali dari kaca mata orang luar, tidak banyak yang diketahui tentang sebarang reformasi dan pembaharuan yang telah dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Kedah setelah mengambil alih tampuk pentadbiran daripada BN. Boleh Datuk perjelaskan sedikit sebanyak?
Banyak pembaharuan yang tidak diketengahkan. Contohnya negeri Kedah sejak dulu telah memperuntukkan seluas 2,340 hektar kawasan balak untuk ditebang setahun. Tetapi kerajaan negeri hanya dapat hasil cukainya sebanyak RM8 juta setahun. Kenapa? Kerana premium yang dikenakan hanya antara RM500 per hektar. Apabila kita ambil alih pemerintahan kita amalkan dasar tender terbuka dan hasilnya kita peroleh premium sebanyak RM16,000 ke RM19,000 per hektar dan jumlah hasil keseluruhan pembalakan ialah RM38 juta. Ini dicatatkan oleh Ketua Audit Negara dengan memuji kerajaan Kedah sekarang yang berjaya meningkatkan hasil sebanyak 205 peratus. Caj air kita yang kedua termurah di negara ini selepas Pulau Pinang iaitu 40 sen per meter padu. Pulau Pinang 36 sen. Pada 2009 Kedah menduduki tempat keempat tertinggi menerima pelaburan iaitu selepas Sarawak, Johor dan Selangor. Bagi kami dengan usia semuda ini, kami anggap satu pencapaian yang membanggakan.
Datuk sendiri sebagai exco berkaitan industri dan pelaburan, bagaimana dengan perkembangan ekonomi Kedah pada pandangan Datuk?
Penyumbang utama KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) Kedah yang pertama sektor perkhidmatan yang besar dalam itu sektor pelancongan. Keduanya industri dalam sektor pembuatan, Dan yang ketiga sektor pertanian. Alhamdulillah, isu kilang-kilang ditutup dan pekerja-pekerja hilang pekerjaan tidak timbul bahkan negeri Kedah mendapat pelaburan baru iaitu bernilai RM1.853 bilion. Tahun lepas kita berada pada kedudukan keempat dalam negara. Hi-Tech saja bakal menyediakan lebih 1,000 peluang pekerjaan baru dan yang lain-lain lagi saya kira mencapai sehingga 2,000 peluang yang sama. Jadi saya kira ini pencapaian yang sangat baik berbanding dengan negeri-negeri lain dalam keadaan iklim pelaburan yang masih tidak menentu sekarang ini. Yang Amat Berhormat Menteri Besar sekarang minta diberi tumpuan kepada sektor pertanian, kerana negeri Kedah merupakan negeri berasaskan pertanian. Sektor ini juga dalam portfolio saya dan sasaran kita ialah supaya semua rakyat dapat mengambil bahagian. Kita memperkenalkan cara ‘market driven’ di mana kita tentukan dulu pasarannya baru kita minta rakyat mengusahanya. Sebab selalu yang berlaku ialah rakyat diminta mengusahakan sesuatu projek, tetapi bila pasaran tidak ditentukan dulu akhirnya berlaku lambakan, jadi ini sudah tentu merugikan.
SULIHH antara pelaburan besar yang diperkatakan bakal memberi kesan positif kepada ekonomi negeri Kedah, namun ada laporan projek tersebut masih belum dapat dilaksanakan, boleh jelaskan?
SULIHH ialah projek loji penapisan minyak, Hab Hidrokarbon Sungai Limau SULIHH ialah Hab Hidrokarbon Sungai Limau iaitu projek berkaitan dengan industri utama di Kedah membabitkan kawasan seluas 1,000 hektar dengan jangkaan pelaburan keseluruhan RM50 bilion dan kerajaan negeri dijangka menjana pendapatan RM300 juta setahun di samping menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. Walaupun telah ditandatangani perjanjian antara pemaju projek oleh Merapoh Resources Corporation (Merapoh) dan Hijaz Refinery Sdn Bhd (Hijaz) dengan funder, dua pelabur dari China dan Korea masih terdapat permasalahan yang kita tidak dapat membantu. Pelabur dari China itu akan terbabit dalam kerja penambakan laut sepanjang lapan kilometer dari daratan, manakala syarikat Korea pula terbabit dalam pembinaan loji penapisan minyak. Tapi apa-apapun kita harap ia dapat segera diselesaikan sebab bagi saya semua perancangan adalah on track, krisis kewangan dunia tidak akan menjejaskan perancangan projek ini.
Mengenai ketelusan dalam pentadbiran yang menjadi satu perkara yang sering diberi perhatian ke atas negeri Pakatan. Kalau di Selangor mereka ada Selcat dan P.Pinang mereka memperkenalkan CAT, di Kedah pula apa makanisme yang digunapakai untuk mengelakkan berlakunya penyelewengan atau salah laku pemimpin?
Amalan setakat ini jika berlaku salah laku dalam pengurusan mana anak-anak syarikat kerajaan negeri (SEDC) kita, YAB Menteri besar mengarahkan ditubuh pasukan menyiasat dan tentukan tindakan selanjutnya. Jadi kita pergi ‘case by case’.
Kenapa belum ada satu makanisme khusus, misalnya Hisbah, iaitu satu pendekatan atau idea PAS dalam memastikan amanah rakyat tidak akan dikhianati sekiranya diberi peluang memerintah, tambahan pula PR Kedah diterajui oleh PAS ketika ini sebagai parti yang paling mendominasi, jadi kenapa Hisbah ini belum dipraktiskan?
Itu sepatutnya dijawap oleh YAB Menteri Besar.
Kedah dan Pahang ini sedikit sebanyak ada persamaannya seperti negeri pertanian, majoriti Melayu dan negeri perdana menteri. Jadi bagaimana datuk berpendapat supaya pahang boleh mengikut jejak kemenangan Kedah pada PRU akan datang.
Kalau untuk itu saya berpendapat pertingkatkan kekuatan dengan tambah bilangan ahli dan cawangan. Banyakkan program, tetapi berbentuk memasyarakatkan PAS, bukan beredar di sekitar kelompok kita supaya PAS ini menjadi parti inklusif bukan eksklusif. Sebagaimana yang diperjelaskan oleh pimpinan, bahawa cabaran bagi PAS pada masa akan datang ialah bagaimana menambahkan sokongan orang Melayu seperti 1999. Jadi isu-isu Melayu inilah yang kita kena perjelaskan dalam program-program umum. Umpamanya pengkhinatan Umno terhadap Melayu. Saya bagi contoh tanah rizab Melayu. Selepas merdeka tanah rizab Melayu berkeluasan 3 juta hektar tetapi pada 1995 cuma tinggal 1.7 juta hektar saja iaitu tergadai sebanyak 44 peratus. Ini pengkhianatan, tetapi sejauh mana orang Melayu tahu? Begitu juga dengan bilangan kerusi parlimen Melayu yang terhapus akibat persempadanan semula kawasan pilihan raya 2003 dan kini Cuma ada 54 peratus kerusi dikuasai orang Melayu. Tapi apakah orang Melayu di luar sana sedar? Adakah jentera penerangan PAS menguasai dan menjelaskan isu-isu tersebut?
No comments:
Post a Comment