Wednesday, April 7, 2010

Bil air: Kerajaan Pahang bohong!

MARAN: Kerajaan Negeri Pahang didakwa terus mengelirukan pengguna-pengguna di negeri ini apabila mencatatkan 'Subsidi Kerajaan Negeri' pada bil dikeluarkan Jabatan Bekalan Air (JBA).

Menurut seorang pengguna Ramli Abdul Rahman, walhal subsidi yang dicatatkan itu tidak wujud dan bayaran yang dikenakan pada bil adalah mengikut penggunaan.

Beliau yang berasal dari Kampung Awah dekat sini berkata, beliau hanya menyedari perkara tersebut apabila diberitahu oleh kawannya bahawa kadar bayaran air untuk 'Rumahtangga' bagi rakyat negeri ini adalah RM1.35 untuk satu meter padu (M 3) iaitu setaraf dengan caj kolam renang.

“Pada mulanya saya tidak percaya tetapi setelah melihat bil yang diterima pada bulan ini menunjukkan kebenaran dakwaan kawan saya. Mengikut bil bulan April 2010 saya telah mengunakan sebanyak 23 Meter padu (M 3)dan perlu membuat bayaran 23 darab RM1.35 menjadikan jumlah yang patut saya bayar bayar adalah RM31.05”.

“Tetapi... kononnya atas kebaikan Kerajaan Negeri Pahang saya telah diberikan subsidi kerajaan negeri berjumlah RM20.44 menjadikan jumlah yang saya kena bayar ialah RM10.61”.

“Tetapi bila dilihat pada kadar bayaran air pada sebelah belakang bil, menunjukkan kadar RM10.61 yang saya kena bayar itu ialah caj sebenar,” jelasnya.

Menurut kadar - kadar bayaran air yang tercatat di belakang bil JBA, kategori 'Rumahtangga' pengunaan daripada 0 - 18 m3 kadar bayarannya ialah RM0.37 per meter padu manakala bagi pengunaan 18.1 - 45 m3 kadar bayarannya ialah RM0.79.

Bagi jumlah pengunaan sebanyak 23 meter padu sebagaimana dikenakan kepada Ramli menurut bil, pengiraannya ialah 18m3 pertama 18 m3 x RM 0.37 = RM6.66. Lebihan 18m3 pertama 5 m3 x RM0.79 = RM 3.95 dan jumlah sebenar ialah RM10.61.

”Jadi jumlah RM10.61 yang dikenakan memang jumlah yang sepatutnya saya bayar tanpa subsidi kerajaan negeri pun. Jadi mengapa dicatat jumlah patut bayar adalah RM31.05?” soalnya.

Bagi Ramli, perkara ini patut diperbetulkan jika tidak orang akan menganggap kerajaan Pahang cuba memperbodohkan rakyat.

Difahamkan, Kerajaan Negeri Pahang telah mencatatkan subsidi yang tidak wujud pada bil itu sejak tahun lalu dan pernah mendapat bantahan pengguna.



No comments:

Post a Comment