Friday, April 2, 2010

25000 peneroka Felda seluruh negara tagih pulang wang Tabung Tanam Semula

Oleh SUHAIMI SAID

Presiden Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman, mendedahkan bahawa Felda masih gagal membayar kembali wang dari Tabung Tanam Semula kepada 25,000 orang peneroka Felda sejumlah RM17,000.00 bagi setiap peneroka.

Pendedahan tersebut dibuat oleh Mazlan semasa berucap di Mesyuarat Agung Parti Keadilan Rakyat Cabang Kuala Krau pada 27hb Mac 2010 di Felda Jenderak Utara, Kuala Krau.

Mazlan menyatakan bahawa seramai 25000 orang peneroka Felda telah memilih untuk menanam secara bersendirian dan tidak melalui Felda atau anak syarikat Felda, Syarikat Felda Technoplant.

Peneroka-peneroka tersebut telah mencarum kepada Tabung Tanam Semula dan wang dari Tabung itu yang terkumpul untuk setiap peneroka adalah RM17,000.00.

Wang itu adalah caruman peneroka-peneroka dan bukan wang Felda. Tetapi apabila peneroka-peneroka menjalankan tanaman secara bersendirian, Felda enggan mengembalikan wang mereka.

Tuntutan demi tuntutan melalui rundingan dengan Felda telah gagal dan Felda masih gagal dan enggan mengembalikan wang tersebut kepada peneroka-peneroka.

Menurut satu sumber dari kalangan pegawai-pegawai atasan, Felda sudah tidak mempunyai wang untuk mengembalikan wang dari Tabung Tanam Semula itu kepada peneroka-peneroka kerana Felda telah berbelanja begitu boros didalam 10 tahun yang lampau.

Mengikut satu sumber, ramai dari Pengarah-Pengarah Felda Wilayah telah mendesak Felda membayar balik kepada peneroka-peneroka kerana mereka tidak tertahan lagi berhadapan dengan peneroka-peneroka yang sentiasa mengatakan "pegawai-pegawai Felda makan duit haram untuk anak bini mereka" dan peneroka-peneroka "tidak halalkan duit mereka dimakan secara haram oleh pegawai-pegawai Felda".

Ada diantara pegawai-pegawai Felda itu juga berpegang dengan ajaran Islam dan tahu diantara halal dan haram, dan mereka tidak mahu Felda terus menzalimi peneroka-peneroka, kata Mazlan.

Mazlan mendedahkan bahawa Felda terlalu boros dengan membelanjakan wang yang disatukan. Felda mahu membina Bangunan Baru untuk Felda dengan kos yang begitu tinggi iaitu RM700 juta sedangkan Felda tidak ada keperluan untuk berbuat demikian kerana Bangunan Felda yang sedia ada sudah lebih dari mencucukupi untuk semua kegunaannya.

Kajian yang dibuat pula membayangkan bahawa Bangunan baru itu tidak menelan kos melebihi RM500 juta dan kenapa kosnya naik hingga melebihi RM700 juta, tanya Mazlan.

Mazlan juga menyatakan bahawa pendapatan Felda Holdings tidak sepadan dengan jumlah keluasan ladang dan perniagaannya serta anak-anak syarikatnya dengan hanya mengutip keuntungan sekadar RM1billion jika berbanding dengan Sime Darby yang mempunyai keutungan yang jauh lebih tinggi sedangkan Felda tidak mengeluarkan perbelanjaan untuk menjayakan ladang peneroka-peneroka kerana semua kos pembangunan didalam rancangan Felda ditanggung oleh peneroka-peneroka termasuk membeli anak-anak sawit dan getah, menanam, membaja, meracun dan sebagainya. Ketirisan ini perlu dikaji dan diambil tindakan, desak Mazlan.

Mazlan juga mendedahkan bahawa peneroka-peneroka yang menanam semula melalui Felda dibebankan dengan hutang yang sangat besar. Katanya, pada tahun kelima selepas tanam semula oleh Felda, peneroka-peneroka menerima elaun sara hidup sebanyak RM1200.00 sebulan, tetapi menanggung hutang sehingga diantara RM62,000.00 hingga RM80,000.00 dan ditambah dengan pinjaman perumahan, peneroka-peneroka itu berhutang hingga RM100,000 hingga RM120,000.00 sedang kesemua mereka itu sudah tua dan sudah tentu tidak ada kesempatan untuk melangsaikan hutang masing-masing.

Felda telah memasukkan "caveat" keatas tanah peneroka-peneroka. Dan apabila peneroka-peneroka meninggal dunia dan tidak mampu lagi untuk membayar hutang yang begitu besar, apakah akan berlaku keatas tanah mereka? Adakah tanah-tanah itu akan dilelong? Atau adakah tanah-tanah itu akan menjadi hakmilik Felda? Tanya Mazlan.

Isu takungan air yang melibat Felda Lembah Klau, Raub, Pahang tidak terlepas dari pendedahan Mazlan. Felda LBJ di Negeri Sembilan dibayar pampasan sebanyak RM1.2 juta tetapi di Felda Lembah Klau hanya sekadar RM400,000.00 sahaja. Peneroka-peneroka Lembah Klau tidak berpuas hati kerana mereka hilang tanah ladang tempat mereka mendapatkan rezeki. Dengan pampasan yang kecil itu mereka terpaksa mencari perlindungan seperti rumah dan sebagainya dan kini ramai peneroka-peneroka Felda Lembah Klau tidak mempunyai mata pencarian yang tetap.

Mazlan menjemput peneroka-peneroka seluruh Negara untuk menghadiri satu Konvensyen Peneroka Felda Kebangsaan yang akan diadakan di Felda Sungai Tengi, Hulu Selangor pada bulan April 2010 yang akan dirasmikan oleh YAB Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor. Konvensyen selama 2 hari itu akan menghimpunkan seramai 5000 orang peneroka dari seluruh Negara dan beliau yakin Konvensyen itu akan menjadi yang terbesar yang pernah dianjurkan untuk peneroka-peneroka Felda.

No comments:

Post a Comment