Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika menyampaikan ucapan penangguhan semasa Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Kuala Krau, minggu lalu (10 April) di Darul Hikmah, Kerdau, Temerloh telah menarik perhatian ramai apabila melontarkan dua idea berkaitan proses demokrasi di Malaysia.
Pertama, Pesuruhjaya PAS Pahang itu menggesa agar pihak kerajaan mengkaji untuk menghapuskan Pilihan Raya Kecil (PRK) demi faktor ekonomi dan kewangan, keselamatan dan tekanan kepada petugas dan penduduk serta bagi membendung aktiviti rasuah dan janji palsu. Sebaliknya jika berlaku kekosongan atau kematian wajar diisi oleh parti yang menang dengan wakil lain.
Kedua, Tuan Ibrahim mencadangkan digubal peraturan supaya kerusi yang disandang oleh wakil rakyat yang melompat parti secara automatik dikosongkan dan parti yang menang menggantikannya dengan wakil lain.
Idea Tuan Ibrahim yang pertama itu amat menarik di atas hujah-hujah yang diberikannya, tetapi mungkin perlu diperbahaskan lagi dengan lebih mendalam pada medium yang lebih besar. Namun ideanya yang kedua berkaitan wakil rakyat “katak”, itu wajar diberi perhatian segera dan mendesak.
Lontaran idea ini menjadi signifikan kerana fenomena melompat parti kini menjadi kritikal dan sudah semacam trend apabila berlaku sesuatu yang tidak memuaskan hati individu berkaitan. Terbaru Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bakar Arang, Tan Wei Shu meninggalkan PKR. Sebelum ini segugus wakil rakyat yang bermasalah (individu) juga berbuat demikian seperti wakil Bayan Baru, Bagan Serai, Nibong Tebal, Lunas dan Pelabuhan Klang.
Tahun lalu, tiga wakil rakyat yang melompat di Perak telah menyebabkan jatuhnya sebuah kerajaan yang dipilih rakyat.
Berbalik kepada idea Tuan Ibrahim, beliau berhujah, puluhan ribu yang mengundi, tetapi bila wakil rakyat melompat boleh menyebabkan jatuh sebuah kerajaan sedangkan pengundi yang memilih untuk sebuah kerajaan demi kesejahteraan mereka, tidak memperoleh apa-apa.
“Pengundi yang pilih nak menangkan calon, bila dia melompat boleh jatuh sebuah kerajaan. Ini berlaku kepada Kerajaan Pakatan Perak tahun lalu dan Terengganu pada satu masa dulu akibat wakil rakyat melompat. Pengundi yang memenangkan wakil rakyat itu tiada kuasa apa-apa, ini tidak adil”.
“Apabila dibenarkan melompat parti ini, wakil-wakil rakyat sangat terdedah kepada rasuah terutama daripada pemerintah. Ketika PAS hanya memiliki majoriti satu kerusi di Kelantan pada PRU sebelum ini, tawaran rasuah kepada Adun-Adun PAS sangat banyak”.
“Jadi dalam sistem negara kita yang banyak rasuah ini, lompat parti sesuka hati oleh wakil rakyat amat menyusahkan rakyat,” ujarnya.
Barangkali sesiapa sahaja yang waras amat bersetuju dengan Tuan Ibrahim kerana ia satu penghinaan kepada rakyat dan pengundi. Dalam sistem demokrasi berpilihan raya rakyat memiliki hak individu ‘satu undi satu suara’ bagi menentukan pemerintahan. Tatkala wakil rakyat yang menang dengan meraih undi belasan, malah puluhan ribu undi rakyat tiba-tiba berpaling, ini secara jelas tidak menghormati kuasa rakyat.
Secara jelasnya, wakil rakyat yang melompat itu akhirnya menjadi individu yang “sangat berkuasa” sehingga membelakangkan amanah dan mandat puluhan ribu rakyat yang mengundi tadi. Ini sudah tentu tidak adil, khianat dan pencabulan secara terang-terangan.
Apa yang dikhuatirkan, suatu hari rakyat akan fed-up dengan politik dan dan pilihan raya, sehingga mungkin akan mengambil ‘jalan lain’ untuk menukar penguasa.
Selain daripada itu, tindakan wakil rakyat yang bersifat kepentingan individu itu sudah tentu amat menyusahkan kerajaan, sama ada daripada BN mahupun Pakatan Rakyat kerana perancangan dan pembangunan yang diatur selama ini melibatkan tempat masing-masing tergugat.
Bahayanya jika dibiarkan berterusan fenomena ini, ialah amat terdedah kepada merebaknya budaya rasuah. Akhirnya kerusi yang dimenangi melalui undi rakyat boleh menjadi ‘demand’ dan ‘bargain’ hanya atas kepentingan individu tadi.
Sepatah kata Datuk Husam Musa dalam ceramahnya di Pahang sedikit masa lalu, “... jika dulu Umno dan BN merasuah rakyat untuk berkuasa, sekarang mereka boleh merasuah wakil rakyat untuk merampas kuasa,” katanya. Ini yang amat kita gerunkan.
Dengan demikian bagi mengelakkan keadaan lebih parah, langkah pencegahan amatlah perlu. Pilihannya tidak banyak, iaitu sama ada membiarkan budaya lompat parti berterusan tanpa kawalan dan berlakunya akibat-akibat yang disebutkan di atas tadi, atau bertindak sesuatu lalu mencegah sebelum membarah.
Justeru lontaran idea Tuan Ibrahim dirasakan benar-benar relevan, sekurang-kurangnya buat masa ini.
No comments:
Post a Comment