Friday, August 20, 2010

Mazlan saman RM20 juta demi maruah

TEMERLOH: “Saya saman demi maruah sebagai seorang warga negara Malaysia yang diaibkan. Sebagai seorang rakyat, saya tuntut hak saya. Ini soal maruah. Saya ditangkap, digari dan dilokap macam penjenayah... keluar dalam televisyen dan akhbar.

“Ini juga memberi aib dan kesan rasa terhina kepada keluarga dan anak-anak saya apabila ke sekolah ditanya dengan sinis oleh orang ramai...,” luah Mazlan Aliman dalam nada sebak dan menghamburkan air mata.

Presiden Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda (Anak) itu berkata demikian dalam sidang media sejurus memfailkan saman berjumlah RM20 juta di Mahkamah Tinggi di sini pada 16 Ogos lalu.

Mazlan melalui peguamnya Wan Rohimi Wan Daud telah menamakan empat pihak sebagai defendan iaitu Pengurus Felda Lembah Klau Awang Sulong, Felda, Inspektor Mohd Azran Rahmat (pegawai polis yang menangkapnya) dan Kerajaan Malaysia.

Menurut fakta kes, pada 9 Mac lalu kira-kira jam 4.15 Mazlan ketika sedang berdialog di rumah peneroka Hamidun Yeop Isa telah dikepung oleh 30 orang polis bantuan Felda dan diugut secara biadab oleh pegawai-pegawai Felda.



Mazlan kemudian telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub. Namun terdapat satu lagi laporan oleh pengurus rancangan Felda Lembah Klau yang menyebabkan beliau kemudiannya ditahan, direman dan terpaksa merengkok selama dua hari di lokap IPD tersebut.

“Saya hadir ke Rancangan Felda Lembah Klau untuk memenuhi satu undangan dialog dan perbincangan dengan peneroka berkaitan dengan masalah-masalah dialami mereka termasuk aduan daripada seorang anak peneroka, bapanya berusia 70 tahun telah dilokap selama tiga hari kerana didakwa menceroboh ketika masuk ke ladangnya sendiri.

“Sejurus tiba di di situ, saya telah mendapati pintu gerbang utama telah diadakan sekatan jalan raya oleh polis bantuan. Saya mendapat tahu kemudiannya bahawa sekatan jalan raya tersebut adalah untuk menghalang saya dan orang ramai yang ingin mengikuti dialog berkenaan.

“Saya juga diberitahu semua premis tidak dibenarkan untuk bertemu anak-anak peneroka di situ. Poster ditampal sejak dari pintu gerbang memberitahu saya datang untuk memecah belah. Kemudian Haji Hamidun mempelawa saya bersembahyang di rumahnya.”

Jelas Mazlan, beliau kemudian bersetuju mengadakan majlis dialog di situ dengan dihadiri kira-kira 20 orang. Selepas setengah jam, beliau melihat satu demi satu kereta polis bantuan Felda sampai dan kawasan rumah dikepung oleh polis bantuan yang bersenjata pump gun.

“Pengurus Felda memberitahu saya telah mengadakan perhimpunan haramin dan mahu menangkap. Saya beritahu bahawa saya tidak patut ditangkap kerana hanya datang mendengar masalah peneroka sambil memberi taklimat dalam rumah kenalan tanpa menggunakan pembesar suara,” katanya.

Mazlan kemudian telah membuat laporan polis mengatakan rasa terhina kerana diperlakukan seperti penjenayah. Rupa-rupanya pengurus Felda tersebut turut membuat laporan polis dan Mazlan kemudiannya ditahan di balai polis berkenaan.

Beliau kemudian telah direman sehari oleh Mahkamah Magistret Raub sehingga 11 Mac setelah ditahan di Balai Polis Raub pada tengah malam. Mazlan disiasat dibawah Seksyen 441 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 6 bulan atau denda tidak melebihi RM3,000.00.

Beliau bagaimanapun tidak pernah didakwa di mahkamah.

Sementara itu peguam Wan Rohimi berkata, saman tersebut difailkan kerana terdapat penyalahgunaan kuasa serta konspirasi yang jelas antara pengurus Felda dengan polis bagi menangkap dan menggari Mazlan pada 9 Mac lalu di Felda Lembah Klau.

Tambahnya, saman tersebut merupakan saman malu bagi menebus kejahatan pihak yang mengaibkan Mazlan sehingga menggambarkan beliau sebagai seorang penjenayah, penceroboh, tidak menghormati undang-undang dan seorang yang tidak bermaruah.

“Kami tegaskan bahawa kawasan tempat Mazlan berdialog adalah premis persendirian yang sah dan defendan pertama (Awang Sulong) tidak berhak untuk melarang. Oleh yang demikian laporan polis beliau terhadap plaintif (Mazlan) tidak berasas dan berniat jahat.

“Justeru jelas sekali tangkapan dan tahanan yang dibuat oleh defendan ketiga (Inspektor Mohd Azran Rahmat) berdasarkan laporan polis defendan pertama, merupakan penahanan yang salah dan tidak sah.

“Defendan ketiga juga telah mengemukakan asas siasatan yang salah, palsu dan menyembunyikan fakta sebenar daripada Mahkamah Majistret Raub bagi memperolehi reman terhadap plaintif,” ujarnya.

Menurut Wan Rohimi, sewaktu prosiding permohonan reman, defendan ketiga telah memaklumkan bahawa kononnya plaintif telah melakukan satu kesalahan pencerobohan jenayah (criminal trespass) di bawah Seksyen 441 Kanun Keseksaan 1976 (Akta 574) yang jika sabit boleh dihukum di bawah Seksyen 447 kanun yang sama.

“Ini bohong sama sekali, berniat jahat serta ada konspirasi dengan defendan ketiga kerana plaintif tidak melakukan jenayah atau pencerobohan tetapi berdialog di situ atas undangan dan mendapat persetujuan tuan tanah,” jelasnya.

Wan Rohimi berkata, kesemua defendan diberi tempoh antara 8 hingga 12 hari untuk menjawap selepas menerima writ saman tersebut.


Caption:

1. Mazlan dan Wan Rohimi meneliti writ saman sebelum didaftarkan di Mahkamah Tinggi Temerloh

2. Wan Rohimi, Mazlan, Suhaimi dan Nizam semasa sidang media


No comments:

Post a Comment