Thursday, August 19, 2010

4,000 peneroka dari Pahang akan saman Felda

TEMERLOH: Dianggarkan 4,000 peneroka dari seluruh Pahang akan menyaman Felda sebelum hujung tahun ini atas pelbagai isu dan kesalahan.

Pengerusi Lajnah tanah dan Peneroka PAS Pusat Mazlan Aliman, berkata antara sebab saman difailkan adalah berkaitan salah laku Felda dalam urusan kadar perahan kilang sawit, wang tabung tanam semula (TTS) dan isu peneroka yang keluar daripada Felda Techno Plants.

“Pada peringkat ini kita sedang menggerakkan usaha mengumpul pelbagai maklumat bagi persediaan ke arah memfailkan saman tersebut setelah segala usaha perundingan ditutup.”

"Langkah ini diambil supaya Felda tidak berani lagi mengambil kesempatan dan menindas para peneroka pada masa akan datang," katanya selepas mempengerusikan pertemuan antara Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) dengan Sekretariat Felda PAS Pahang di pejabat BPPNP di sini.

Mazlan yang juga Presiden Anak berkata, pada masa ini peneroka-peneroka di Kelantan, Johor dan yang terbaru Negeri Sembilan telah melakukan tindakan yang serupa.

“Jadi lojiknya negeri Pahang yang memiliki hampir 40 % keluasan Felda di negara ini, sudah sepatutnya bertindak,” tambahnya.

Dua minggu lalu seramai 766 peneroka dari tanah rancangan Serting dan Raja Alias telah memfailkan tuntutan saman bernilai RM200 juta di Mahkamah Tinggi Seremban dengan menamakan Felda dan anak syarikat, Felda Palm Industries Sdn Bhd atas dakwaan penipuan dan pecah amanah.

Dalam kes berkenaan, kadar perahan gred (KPG) yang dibayar oleh Felda adalah pada purata 18.9% berbanding 22%, kadar yang dicadangkan oleh MPOB (Lembaga Minyak Sawit Malaysia).

Sivarasa berkata, dalam bulan Mac dan Julai, para peneroka menghantar sampel secara rambang hasil buah kepala sawit mereka kepada dua bilik makmal bebas untuk menilai KPG sebenar.

Keputusan dari kedua-dua makmal itu menunjukkan kadar perahan menghasilkan 24% dan 25.5%. Ini menunjukkan perbezaan sebanyak 6%-6.5% dari kadar yang digunakan oleh Felda Industries.

Peneroka-peneroka berkenaan mempunyai dokumen yang menunjukkan 84 peneroka dari tanah rancangan Serting Hilir 5 telah menghasilkan 9,515 tan hasil minyak sawit dalam 2008. Ini bermakna setiap peneroka telah mengeluarkan purata 113 tan untuk tahun tersebut.

Para peneroka dibayar purata RM560 setan dan dengan menggunakan kadar 6%, Felda telah menyebabkan kerugian sebanyak RM178 setan. Ini bermakna setiap peneroka menanggung kerugian sebanyak RM20,000 dalam tahun 2008.

Ini bermakna, Felda telah menyebabkan kerugian hampir RM200 juta kepada 766 peneroka dalam tempuh 15 tahun lalu.

Para peneroka menuntut lain-lain kerugian kerana mereka beranggapan badan berkanun yang ditubuhkan itu yang sepatutnya memelihara kebajikan mereka sebaliknya menggunakan kuasanya untuk menindas mereka dengan penipuan dan pecah amanah.

Kes ini hampir sama dengan kes Kemahang di Kelantan di mana akhirnya, mahkamah mengarahkan Felda membayar RM11 juta kepada para peneroka.



No comments:

Post a Comment