Friday, August 13, 2010

Petani Cina dua beranak dapat pampasan atas kecuaian PTG

TEMERLOH: Setelah kerugian kerana sebahagian tanah mereka dimiliki pihak lain akibat kecuaian Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang dan Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Raub, akhirnya petani dua beranak berjaya mendapatkan pampasan sebanyak RM113,055.

Keputusan tersebut diperolehi Lee Tiek Choon, 61, dan Lee Kok Seng, 32, dari Raub setelah Mahkamah Tinggi di sini pada 5 Ogos lalu memerintahkan PTG Pahang dan PTD Raub membayar ganti rugi kerana cuai sehingga menyebabkan dua petani berkenaan kehilangan dua ekar tanah mereka.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Akhtar Tahir memerintahkan kedua-dua defendan itu membayar ganti rugi susut nilai tanah bernilai RM80,655, ganti rugi am RM15,000, kos ukur dan sukat tanah RM7,400 serta kos guaman RM 10,000 yang kesemuanya berjumlah RM113,055.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Plaintif Lee Teik Choon berkata pada tahun 1988 beliau bersama anaknya Lee Kok Seng berkongsi dengan lima orang rakan membeli sebidang tanah yang luasnya sekitar 9 ekar di Lot QT35 yang terletak di Sungai Klau, Raub.

Menurutnya, semasa membeli daripada pemilik tanah mereka sudah menyedari pada tahun 1974 kerajaan telah mengambil alih seekar tanah yang terletak di tengah tanah mereka untuk pembinaan jalan.

“Jadi baki keluasan yang sebenarnya cuma tinggal lebih kurang 8 ekar. Iaitu, sekeping keluasannya 2 ekar dan sekeping lagi keluasannya 6 ekar. Selepas pembelian tanah QT35, saya pernah menulis surat kepada PTG supaya meminta disegerakan kerja pembahagian tanah dan mengeluarkan dua keping geran yang berlainan memandangkan tanah tersebut telah di bahagikan kepada dua keping tanah selepas pengambilalihan tanah yang dibuat pada tahun 1974.

“Pada tahun 2004, seorang lelaki Cina dari kampung bersebelahan datang ke saya dan mendakwa dialah pemilik baru dua ekar (HSM10720) yang saya sedang usahakan. Dia menawarkan RM11,000 kepada saya sebagai wang ganti rugi untuk kos penanaman sawit dan limau kasturi.

“Tetapi saya enggan menerima tawarannya,” katanya.

Apa yang mengejutkan Lee, semasa membuat carian rasmi di PTG mengenai butiran geran baru yang diberi kepada pemilik baru ialah kedudukan asal geran tersebut bukannya dari Sungai Klau, tetapi daripada kampung bersebelahan.

Kerana tidak berpuas hati, Lee telah berjumpa dengan pegawai PTG untuk menuntut balik dua ekar tanah yang sudah terlepas kepada pihak lain.

Menurut Lee, jawapan daripada pegawai PTG mendukacitakan kerana pihak PTG pada 2001 telah meluluskan sekeping tanah kepada Lee (HSM35 LOT10241), di mana kerajaan menggabungkan dua ekar yang terletak dua buah rumah setinggan dengan enam ekar tanah yang sedia ada. Jadi keluasan tanah Lee tetap tidak berubah.

“Walaupun keluasan tanah masih kekal 8 ekar berdasarkan kepada kertas geran,tetapi, pada hakikinya dua ekar yang didiami rumah setinggan bersempadan dengan tebing sungai sering dihakis oleh sungai. Pada 2006 saya telah membuat sukatan semula dan didapati bahawa sebahagian tanah telah dihakis oleh sungai.

“Jadi, keluasannya menjadi semakin berkurangan selepas berlakunya kebanjiran pada setiap tahun dan nilainya memang rendah kerana jauh dari jalan utama di mana bangunan kedai tidak sesuai dibina.”

Setelah menganggap PTG tidak menjalankan tugasnya dengan penuh tanggungjawab dan mungkin berlakunya penyalahgunaan kuasa, pada tahun 2004 dan 2006 Lee membawa kes ini ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (dulu BPR) daerah Raub dan Putrajaya.

Tetapi malangnya sehingga 2007 BPR masih tidak mengambil tindakan untuk mendakwa sesiapapun. Setelah itu, Lee terpaksa mengambil tindakan terakhir dengan menfailkan saman terhadap PTG daerah dan negeri.

Lee diwakili oleh peguam Ong Chee Keng dari syarikat Lim Khey Hoong & Partners.

Gambar:
(Dari kiri) Lee Tiek Choon, Lee Kok Seng, peguam Ong Chee Keng dan Ketua Publisiti DAP Pahang Lee Kok Yeep.

No comments:

Post a Comment