Wednesday, August 4, 2010

Dalam kursus kerajaan pun diterap politik perkauman

Rupa-rupanya agenda politik perkauman ini tidak terhad kepada propaganda dan kempen daripada Umno saja, tetapi juga telah menular ke dalam seminar-seminar dan kursus anjuran jabatan kerajaan.

Salah satu daripadanya ialah kursus naik pangkat. Di situlah diambil kesempatan oleh ejen-ejen dalam kerajaan Barisan Nasional untuk menerapkan budaya politik perkauman sempit bagi mempengaruhi peserta.

Seorang sahabat yang baru dinaikkan pangkat daripada N 11 ke N 17 memberitahu, ketika menghadiri Kursus Peralihan di Hotel Seri Malaysia Temerloh baru-baru ini, yang sertai 50 kakitangan kerajaan, agenda politik perkauman sempit ini diambil kesempatan oleh seorang penceramah.

Katanya, dalam kursus yang dikendalikan oleh Bahagian Keselamatan, pegawai tersebut mengambil kesempatan memburuk-burukkan Pakatan Rakyat termasuk menghentam “Nizar adalah boneka DAP”.

Menurut sahabat itu lagi, pada kursus selama tiga hari itu, pegawai berkenaan bercakap pada hari ketiga, iaitu pada hari Jumaat banyaklah dibangkitkan semangat perkauman Melayu yang akhirnya menjurus kepada menyokong Umno.

Barangkali pegawai berkenaan mahu menerapkan nilai-nilai kemelayuan dalam diri pegawai-pegawai yang baru naik pangkat itu, namun jika diperhatikan, jika natijahnya lahir perasaan benci terhadap etnik lain, tidakkah ia juga bercanggah dengan satu lagi dasar kerajaan iaitu 1 Malaysia?

Jadi, akhirnya bukan semangat yang diperolehi peserta-peserta kursus, tetapi yang wujud ialah kekeliruan demi kekeliruan yang sebenarnya tidak menguntungkan sesiapa!




No comments:

Post a Comment