Thursday, August 26, 2010

Pertelagahan Umno-MCA ulangi Operasi Lalang 1987?


TEMERLOH: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad berkata pertelagahan Umno dan MCA dalam perangkap politik perkauman pada masa ini boleh mengulangi peristiwa pada 1987 yang membawa kepada Operasi Lalang.

“Saya nampak suasana masa ini mirip-mirip seperti senario 1987 di mana pertelagahan (Timbalan Perdana Menteri Tan Sri) Muhyiddin dengan (Presiden MCA Datuk Seri Chua) Soi Lek mengingatkan kita pada tahun itu apabila Najib dan Lee Kim Sai cabar mencabar dalam isu perkauman.

“Tetapi akhirnya berlaku Operasi Lalang di mana pemimpin pembangkang seperti Mohd Sabu dan Lim Guan Eng yang disumbatkan ke dalam ISA,” katanya.

Beliau berkata demikian kelmarin ketika berceramah di Kampung Bangau Tanjung dekat sini. Turut berceramah YDP Kawasan Ustaz Abd Rahim Latif dan Ketua Urusan Ulamak Kawasan Ustaz Arifin Abdullah.

Dr Dzul selanjutnya memberitahu, Pilihan Raya Umum (PRU) 8 Mac 2008 merupakan satu lanskap politik baru yang Umno cukup gerun dan takut.

Katanya, apabila rakyat mendapat maklumat mereka akan berubah.

“Akhirnya terasa kematangan politik rakyat. Kalau kita mampu urus politik baru ini, kita boleh kuasai iaitu ketika majoriti rakyat telah sampai maklumat.”

“Kemenangan pada PRU yang akan datang ialah terpulang kepada kepimpinan PR memaklumatkan rakyat. Inilah peranan media alternatif, kalau kita bijak mengurus perubahan.”

Dr Dzul turut menyatakan kadar pelaburan luar negara (FDI) pada masa ini berada pada paras yang amat teruk di mana sebanyak RM23 bilion yang keluar tetapi hanya RM4 bilon yang masuk.

“Ini menyebabkan negara ini telah terkebelakang daripada Filipina dan Myanmar dan hanya setaraf dengan Timor Leste. Ini menyebabkan negara kita terperangkap dalam pendapatan rendah.

“Antara sebabnya ialah 4.3 juta tenaga buruh asing terutama dalam industri pembinaan dan perladangan. Kerajaan hari ini tidak ada kaedah untuk melonjakkan pendapatan rakyat. Sebab itu persoalan pekerja asing mesti ditangani,” ujarnya.

Mengenai isu pasir yang melibatkan Kerajaan Pakatan Selangor, Dr Dzul berkata beliau tidak bimbang kerana ia hanya dipolitikkan.

“Selepas kita mengambil alih kerajaan Selangor, kita buat untung. Jika kerajaan BN dulu bagi setiap 3,000 tan pasir kerajaan hanya dapat kutip RM5 juta. Sedangkan Kerajaan PR sekarang bagi jumlah yang sama, kita boleh dapat hasil sebanyak RM18 juta melalui syarikat KKSB.

“Dalam masa yang sama berjuta-juta ringgit nilai pasir di Johor yang mengalir ke Singapura setiap hari terus dibiarkan, kenapa didiamkan?,” soal Dr Dzul.

Mengenai suara-suara sumbang yang mengatakan DAP perkudakan PAS tidak benar langsung kerana berdasarkan persefahaman yang ditandatangani tahun lalu itu DAP sanggup berkorban untuk bersetuju dengan tiga tonggak perlembagaan iaitu Islam sebagai agama rasmi, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kedaulatan raja-raja.

Dr Dzul bergambar bersama Ustaz Rahim, YB Syed Hamid dan Ustaz Arifin



No comments:

Post a Comment