Saturday, August 7, 2010

Cukuplah Orang Asli jadi alat menangkan BN


TEMERLOH: Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, Antara lain DSWA menyebut, Orang Asli sudah lama dijadikan bahan untuk memenangkan BN dalam pilihan raya umum (PRU) termasuk menyogok mereka dengan janji dan kebendaan.

Namun begitu, katanya, etnik tersebut tidak dihiraukan lagi apabila berlalu PRU.

“Buktinya, setelah 52 tahun merdeka, keadaan hidup, penempatan, pendidikan, kesihatan dan ekonomi Orang Asli masih jauh ketinggalan dan tidak terbela.

“Bahkan tanah adat dan kawasan rayau mereka tidak digazet dan semakin banyak tanah dan hutan kawasan mereka yang diceroboh sehingga menyukarkan Orang Asli mencari makan, meskipun mereka merupakan penyokong tegar Umno/BN selama ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Himpunan Orang Asal PKR Pahang Zon Tengah, hari ini (7 Ogos) di Sekolah Rendah Al-Mukmin, dekat sini.

Turut berucap Pengerusi PKR Pahang Datuk Fauzi Abdul Rahman.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Semantan Syed Hamid Syed Mohamad, Adun Triang Leong Ngah Ngah, Timbalan Pengerusi PKR Pahang Mohd Noor Jaafar, Yang Di Pertua PAS Kawasan Temerloh Abdul Rahim Abdul Latif, Pengerusi Lajnah Orang Asal PKR Pusat Suhaimi Said, Pengerusi Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia (POASM) Yusri Ahon serta pemimpin PKR dan pemimpin-pemimpin masyarakat Orang Asli Zon Tengah.

Wan Azizah berkata, baru-baru ini Orang Asli di Selangor berjaya mendapatkan pampasan melalui mahkamah daripada Kerajaan Malaysia sebanyak RM16 juta setelah tanah yang mereka miliki turun temurun telah 16 tahun digunakan menjadi lebuh raya.

“Itupun setelah Selangor dikuasai oleh Kerajaan Pakatan Rakyat (PR),”katanya.

Walau bagaimanapun, isteri Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim itu yakin dengan perkembangan terakhir, Orang Asli akan berubah daripada menyokong BN kepada menyokong PR.

“Jika Orang Asli yang selama ini dikaitkan begitu liat untuk berubah pun daripada menyokong BN boleh menukar anjakan politik mereka kepada PR, saya penuh yakin bangsa-bangsa lain termasuk orang Melayu pun pasti akan menurut langkah yang sama.”


Sementara itu dalam himpunan dihadiri kira-kira 250 Orang Asli dari Parlimen Bera, Jerantut, Maran, Kuala Krau dan Temerloh itu, tiga kertas kerja telah dibentangkan. Masing-masing oleh Yusri Ahon, Bob Manolan dan Tijah Yop Chopeh.

Ketua Cabang PKR Temerloh yang juga panel guaman PKR Pusat Ahmad Nizam Hamid telah menyampaikan ucapan penutup.

No comments:

Post a Comment