TEMERLOH: Pakatan Rak�yat (PR) Pahang menyifatkan tindakan Presiden Persatuan Anak-anak Peneroka Felda (Anak), Mazlan Aliman memfailkan writ saman RM20 juta terhadap empat pihak adalah satu keputusan tepat.
Pengerusi Biro Felda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pusat, Suhaimi Said berkata, tindakan itu dilihat tepat kerana jika tindakan undang-undang tidak diambil, Felda akan terus menghalang Anak untuk memasuki mana-mana tanah rancangan lain selepas ini.
Menurutnya, tindakan pihak terbabit menangkap Mazlan dalam isu itu adalah tidak wajar dan disifatkan sebagai kurang ajar.
Kelmarin, Mazlan memfailkan writ saman terhadap defendan pertama, Pengurus Felda Lembah Klau Sungai Ruan, Awang Sulong dan defendan kedua, Lembaga Tanah Kemajuan Persekutuan (Felda).
Turut tersenarai ialah defendan ketiga, Pegawai Polis berpangkat Inspektor, Mohd Azran Rahmat dan Kerajaan Persekutuan Malaysia sebagai defendan keempat.
Penasihat Undang-undang PR Pahang, Ahmad Nizam Hamid berkata, PR mengalu-alukan tindakan undang-undang itu bagi membuktikan kebenaran dalam kes berkenaan.
Menurutnya, tindakan itu satu respons berani yang menunjukkan PR tidak takut pada sesiapa, sekalipun yang menjadi alat kepada pihak tertentu.
Sementara itu, menceritakan kejadian yang berlaku pada 9 Mac lalu hingga membawa kepada tindakan saman itu, Mazlan berkata, dirinya dijemput pada hari itu untuk menghadiri sesi dialog dan perbincangan bersama peneroka Felda Lembah Klau, Raub, di rumah seorang penduduk.
Katanya, selepas 30 minit sesi dialog itu berlangsung, terdapat kira-kira 30 polis bantuan Felda, Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk defendan kedua mengepung rumah tersebut.
Menurutnya, dia kemudian menamatkan sesi dialog itu dan turun dari rumah berkenaan, namun diserbu defendan pertama bersama beberapa polis bantuan Felda dan defendan kedua.
“Tindakan provokasi, kepungan, kehadiran beramai-ramai polis bantuan Felda, PDRM, pegawai dan kakitangan defendan kedua diketuai defendan pertama telah mengakibatkan malu, aib dan penghinaan terhadap diri saya,” katanya.
Dalam pada itu, peguam Mazlan, Wan Rohimi Daud dalam kenyataannya berkata, pada jam 10.30 pagi pada 10 Mac 2010, defendan ketiga telah memohon perintah reman daripada Mahkamah Majistret Raub dengan mendakwa plaintif melakukan kesalahan ‘pencerobohan jenayah’ di bawah Seksyen 441 Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun katanya, plaintif tidak melakukan sebarang kesalahan di bawah seksyen itu kerana sesi dialog dan perbincangan yang dilakukan di rumah tersebut adalah atas jemputan tuan rumah, Hamidun Yeop Isa dan bukannya pencerobohan.
“Ini adalah konspirasi defendan pertama, kedua, dan ketiga. Ketiga-tiga defendan membuat laporan dengan mengandungi maklumat palsu untuk menahan plaintif,” katanya.
~ Sinar Harian
No comments:
Post a Comment