Makin hari rakyat di negara ini semakin terhimpit kehidupannya! Demikianlah rumusan yang dapat dibuat terhadap keluhan-keluhan rakyat berikutan melambungnya harga barang sedangkan pendapatan rakyat tidak meningkat.
Segala-galanya bermula dengan tindakan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang menaikkan harga lima jenis barang termasuk minyak, gula dan gas pertengahan bulan lalu yang ternyata mengakibatkan melambungnya harga barangan kegunaan harian pada paras yang luar biasa ketika ini.
Sekali gus, ia sudah tentu memberi kesan besar kepada pengguna, iaitu rakyat terutama apabila terpaksa berbelanja lebih dalam bulan Ramadhan ini dan dijangka makin teruk menjelang hari raya nanti disebabkan harga barang dijangka meningkat lagi kerana permintaan.
Apa yang dirasakan perit ialah barangan keperluan naik mendadak sedangkan pendapatan rakyat tidak meningkat. Oleh kerana barangan tersebut tidak dapat tidak mesti dibeli kerana keperluan, golongan pengguna tidak ada pilihan dan seterusnya mereka terus tertindas dan teraniaya.
Rungut mereka, keadaan ini bersalahan sama sekali dengan slogan ‘rakyat didahulukan’ sebagaimana yang dimomok-mokkan selama ini. Ia juga bertentangan dengan manifesto BN sendiri yang kononnya mengagendakan ‘tradisi membela rakyat’.
Antara barang runcit dan keperluan harian yang mendadak naik ialah bawang putih, bawang merah, lada kering, ikan bilis, ikan sardin, telur dan ubi kentang yang meningkat dari 30 ke 80 peratus.
Barang-barang keluaran Nestle juga dikatakan meningkat seperti Milo. Manakala harga ayam pula dikatakan melambung sehingga 200 peratus.
Ini sudah dapat dijangkakan kerana apabila harga minyak dinaikkan oleh kerajaan BN, ia bermakna kos pengangkutan semua jenis barang meningkat tanpa dapat dielakkan. Teorinya senang, apabila setiap kos meningkat, kos tersebut akan dikembalikan kepada pengguna.
Namun begitu golongan peniaga tidak boleh dipersalahkan dengan kenaikan yang amat membebankan pengguna ini kerana mereka juga terpaksa mendapatkan barangan pada harga yang lebih tinggi daripada biasa sehingga terpaksa mengeluarkan modal yang lebih besar.
Lagipun peniaga tidak boleh dipersalahkan seratus peratus dengan kenaikan harga barangan kerana mereka perlu meneruskan kehidupan melalui perniagaan. Bagaimana kerajaan mahu membanteras peniaga daripada menaikkan harga sedangkan kerajaan juga menaikkan harga barangan sesuka hati melalui subsidi rakyat.
Seorang peniaga runcit, Mohd Nor Salleh, ketika ditemui Selamatkan Pahang berkata kebanyakan barangan tersebut naik mendadak selepas kerajaan menaikkan harga minyak, gula dan gas bulan lalu.
“Dulu saya beli ubi kentang daripada pemborong sekilo dengan harga RM2, sekarang dah naik RM2.80. Bagi lada kering pula dulu seguni RM9.50 sekarang dah naik RM12. Telur gred A pula dulu harga satu sarang kos RM8.50 sekarang dah RM10.
“Peruncit seperti saya ini tiada pilihan, apabila beli dengan kos yang lebih tinggi dan keluarkan modal lebih saya terpaksa menjualnya pula dengan lebih mahal daripada biasa. Mana-mana peniaga pun macam itu, tidak ada yang mahu rugi atau pilihannya terpaksa tutup kedai.”
Mohd Nor berpendapat kenaikan mendadak harga barangan pada masa ini disebabkan kegagalan kerajaan sendiri bertindak mengawal di samping kesalahan memotong subsiri rakyat.
“Kerajaan mungkin boleh menetapkan harga siling pada barang kawalan. Tetapi tidak ada siapa dapat mengawal kenaikan harga barangan yang lain. Bagi saya di sinilah kegagalan kerajaan,” katanya.
Berniaga bukan lagi kerjaya pilihan
Seorang peniaga restoran, Jefri Ramli, 41, yang paling terasa sejak kenaikan barang ialah peniaga makanan sepertinya. Katanya, modal dikeluarkan lebih besar sehingga kos menjadi tinggi sedangkan untung sedikit. Ini ditambah lagi dengan terpaksa menjelas pelbagai jenis cukai yang dikenakan seperti cukai majlis, premis dan lain-lain.
“Sekarang ini peniaga seperti kami terpaksa memadai dengan keuntungan kecil, sebab kalau dinaikkan harga makanan kemampuan membeli orang ramai jadi terhad dan perniagaan kami pun terjejas. Kalau dulu orang kata jika nak kaya kena beniaga sebab 9 per 10 rezeki melalui perniagaan. Tapi saya rasa sekarang kenyataan itu boleh dinilai semula.”
“Masalahnya harga minyak terlampau kerap naik menyebabkan harga barang melambung. Sejak 2009 saya pasti keuntungan merosot 30 ke 40 peratus akibat kos yang tinggi sedangkan harga makanan kami tak naikkan.
“Saya fikir kerajaan kena buat sesuatu bagi mengawal harga barang kerana setakat ini kerajaan jelas gagal,” katanya.
Seorang pengguna Sidi Maarof, 48, berkata kenaikan harga barangan keperluan pada masa ini amat membebankan golongan bekerja sendiri sepertinya kerana pendapatan tidak meningkat selaras dengan kenaikan harga barang.
“Orang bekerja sendiri macam saya ini paling terasa bebanan dengan kenaikan harga barang sebab pendapatan kami tak bertambah. Sekarang ini teruk, lebih-lebih lagi dalam bulan puasa dan untuk menghadapi hari raya ini.
“Jika kenaikan harga barang ini disebabkan pemotongan subsidi oleh kerajaan, jadi ini jelas salah kerajaan yang membelakangkan konsep yang diciptanya sendiri iaitu rakyat didahulukan,” tegasnya.
Kakitangan kerajaan Zulkafley Abdul Hamid, 45, berkata semua pihak terkesan dengan peningkatan mendadak harga barangan sekarang kerana tidak ada bonus yang diberi.
“Kos kehidupan rakyat sekarang ini semakin meningkat dan banyak peruntukan harian terpaksa dipotong demi untuk survival keluarga. Saya rasa keadaan ini menyebabkan kehidupan makin tidak selesa.
“Saya fikir jika peningkatan harga barang disebabkan pemotongan subsidi, maka kembalikanlah subsidi itu kerana ia merupakan hak rakyat.”
Kerajaan gagal kawal harga
Sementara itu Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar PAS Pahang Ramli Abdul Rahman berpendapat, bebanan yang dihadapi rakyat sekarang kesalahannya terletak kepada kerajaan kerana kegagalan mengawal harga barangan.
Katanya, kesalahan bukan masalah peniaga sebab terpaksa menaikkan harga kerana mereka telah mengambil pada harga yang sudah tinggi daripada pemborong.
“Saya nampak dua sebab yang menyebabkan kenaikan harga barang. Pertama monopoli pemborong utama yang tiada persaingan dan kedua pengurangan subsidi oleh kerajaan.
“Kenaikan harga ini berikutan pengurangan subsidi seperti dicadangkan Datuk Seri Idris Jala ketika membentangkan cadangan rasionalisasi subsidi pada Hari Terbuka Makmal Rasionalisasi Subsidi Mei lalu.
“Sepatutnya subsidi tidak boleh dikurangkan kerana kerajaan telah mengenakan tidak kurang tiga kali cukai bagi setiap barangan daripada pengimport, hinggalah kepada pengilang, pemborong dan pengguna. Ini jelas kerajaan menunjukkan kegagalan dalam pengawalan harga barang keperluan,” jelasnya.
Ramli berkata, janji pemotongan subsidi oleh Perdana Menteri dulu ialah bagi penjimatan perbelanjaan untuk digunakan pembangunan negara yang akhirnya memberi faedah kepada rakyat.
Katanya, implikasi pemotongan subsidi jelas tidak memberi faedah kepada rakyat sebaliknya ‘mencekik’ leher rakyat kerana akibatnya ialah melambungnya harga barang.
Seorang pengguna lagi yang enggan diperkenalkan namanya, menganggap kenaikan harga barang jelas merupakan kegagalan menteri yang menjaga hal ehwal pengguna sendiri iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Jelasnya, jika seorang menteri yang lengkap dengan jentera pemantau dan pasukan penguatkuasa pun masih gagal menangani harga barangan yang melambung, apakah yang didapat diharap lagi oleh rakyat sebagai pengguna?
“Saya nampak menteri ini hanya suka bersilat dengan rakyat. Contohnya bila gula tiada di pasaran dia akan kata elok takde gula supaya tak kena kencing manis. Bila gula naik harga dia kata pulak itu pun lebih murah berbanding Thailand, Flipina dan macam-macam lagi. Begitulah juga dengan barang-barang lain.
“Jadi kerja menteri ini nak bersilat dengan rakyat saja... bukannya nak menyebelahi rakyat yang sentiasa dalam penindasan akibat sistem ekonomi kapitalis yang diamalkan di negara ini,” hujahnya.
Beliau berkata, lojiknya menteri pengguna sepatutnya membela hak pengguna, bukannya membuli pengguna.
No comments:
Post a Comment