Oleh SUHAIMI SAID
Ia bermula dengan perisytiharan 1Malaysia. Orang Cina yang bernaung di bawah MCA berfahaman bahawa 1Malaysia adalah satu konsep bahawa wujud persamaan di antara semua kaum di Malaysia. 1Malaysia adalah suatu sistem merit. Maka tidaklah lagi sesuatu kaum itu mempunyai sesuatu kelebihan dari kaum yang lain. Dan tentulah dengan wujudnya 1Malaysia ini memberikan nafas kelegaan kepada MCA untuk mempengaruhi kaum Cina menyokong parti itu yang kini sudah ditolak oleh majoriti kaum itu.
Maka diatas premis itu, Dr Chua Soi Lek membuat komen yang menekankan kesamaan semasa memberi ucapan di Kongres Ekonomi Cina yang diadakan oleh MCA Sabtu lalu.
Di Kongres itu, Dr Chua menyatakan bahawa parti itu telah memperjuangkan bahawa bumiputra diberikan keutamaan harga didalam sektor-sektor tertentu dengan ekonomi dilembutkan didalam tender terbuka.
Katanya, untuk membolehkan bumiputrabersaing diatas basis yang adil, MCA mencadangkan agar 30% ekuiti bumiputra dikurangkan beransur-ansur dengan pengenalan harga keutamaan yang baru.
Setelah Muhyiddin Yassin membuat teguran yang keras kepada Soi Lek, Presiden MCA itu berkata bahawa perubahan itu perlu bagi MCA jika ia mahu menjadi relevan untuk perjuangan kaum Cina, dan beliau tidak akan menarik balik cadangannya itu. Didalam kenyataannya yang lain beliau menyatakan bahawa MCA tidak mempertikaikan Hak Keistimewaan Orang Melayu.
Muhyiddin telah meletakkan satu fron bahawa kenyataan Soi Lek itu sebagai mempersoalkan kepentingan Orang Melayu dengan menyatakan bahawa mana-mana parti boleh memperjuangkan hak dan kepentingan kaum masing-masing tetapi tidak mempersoalkan kedudukan Orang Melayu.
Kalau dikaji dari segi bahasa kedua-dua Soi Lek dan Muhyiddin cuba menggunakan bahasa yang sangat berhati-hati, tetapi semua orang faham bahawa kedua-duanya bermain dari segi politik perkauman. Soi Lek meletakkan isu 30% ekuiti orang Melayu dikurangkan dengan bahasa yang sangat lembut dan Muhyiddin memberi amaran agar hak Orang Melayu tidak disentuh dengan bahasa yang juga lembut. Dan didalam kelembutan masing-masing itu, kedua-duanya bermain dengan politik perkauman yang sangat tajam.
Lembut atau pun tidak, PERKASA sebuah NGO yang terkenal dengan sikap kerasnya membaca apa yang dinyatakan oleh Soi Lek itu sebagai mempersoalkan Hak Keistimewaan Orang Melayu dan melalui Setiausaha Agungnya Syed Hassan Syed Ali telah membuat laporan Polis jam 2.00 petang semalam di Balai Polis Dang Wangi.
Didalam laporan itu, Perkasa menyatakan bahawa Soi Lek mempersoalkan sistem kuota yang diberikan kepada Bumiputra dan menganggap kenyataan Soi Lek sebagai kenyataan yang tidak bertanggungjawab menyebabkan kemarahan dan keresahan dikalangan orang awam.
Beliau meminta supaya Soi Lek disiasat dibawah Akta Hasutan.
Bunga-bunga perkauman akan berbuah jika politik perkauman tidak dibendung dari sekarang. Tetapi siapakah yang akan membendung sentimen perkauman ini? UMNO? UMNO tidak mampu berbuat demikian kerana sentimen perkauman sebegini diharapkan dapat menyatukan Orang Melayu dibawah UMNO. MCA? MCA sudah kehilangan taringnya dikalangan Orang Cina dan berharap sentimen ini dapat diteruskan bagi menarik Orang Cina menyokong MCA. PERKASA? Sentimen Melayu adalah dasarnya dan Perkasa tidak akan dan tidak boleh wujud melainkan memainkan sentimen Melayu.
Kita telah menyaksikan Insiden 13 Mei yang jahat dan keji. Walaupun 13 Mei dimainkan oleh politikus-politikus perkauman tetapi yang menjadi mangsanya adalah orang awam biasa dan pemimpin-pemimpin politik yang menentang perkauman.
Kita tidak mahu pisang berbuah dua kali.
Malaysia adalah sebuah Negara yang multi-rasial. Politik perkauman adalah politik yang berbahaya yang boleh menyebabkan keharmonian kaum pecah dan boleh menyebabkan pecahnya perpaduan kaum dalam bentuk yang sangat merugikan negara. UMNO, MCA dan MIC adalah 3 buah parti politik yang ditegakkan diatas dasar kaum. Parti-parti seumpama ini sudah ketinggalan zaman, dan politik yang mereka bawakan adalah politik yang jijik dan mundur.
Walaupun mereka bergabung diperingkat Barisan Nasional tetapi mereka mencari pengaruh dikalangan kaum masing-masing dengan mengusik isu perkauman dan berpolitik secara negatif.
Rakyat menuntut supaya parti-parti berasaskan kaum ini membubarkan parti mereka atau meminda Perlembagaan masing-masing dengan menjadikan dasar mereka sebagai dasar yang terbuka, luas dan boleh diterima dan disertai oleh semua kaum.
PAS telah memberikan contoh yang terbaik. Walaupun asalnya parti itu dianggotai oleh orang-orang Islam sahaja tanpa mengira kaum, tetapi kini parti itu menjadikan Kelab Penyokong PAS yang disertai oleh semua kaum yang bukan Islam, sebagai satu Dewan didalam PAS dan mereka itu diberikan hak berpolitik dan menyertai pertandingan didalam parti serta bertanding didalam Pilihanraya.
UMNO menjadi semakin mundur dan kini tampak seolah-olah ia mahu membuktikan bahawa ia lebih perkauman dari pertubuhan-pertubuhan NGO yang sarat dengan sentimen perkauman, dan trend yang dibawakan oleh UMNO juga MCA adalah trend yang sangat berbahaya dan kekacauan kaum boleh tercetus hasil dari politik perkauman yang mereka bawa!
No comments:
Post a Comment