Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Yang Berhormat Permatang Pauh. Saya minta laluan sedikit. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya ingin mendapat penjelasan daripada Yang Berhormat Permatang Pauh berkenaan isu FELDA. Seperti yang telah dibangkitkan oleh Yang Berhormat Kuala Krau semalam di mana kita semua sama-sama mendengar Yang Berhormat Kuala Krau mengatakan bagaimana seorang pemimpin PAS pusat iaitu Mazlan Aliman yang juga merupakan Pengerusi kepada NGO anak ataupun generasi kedua FELDA dikatakan telah meracuni dan mempengaruhi anak-anak peneroka FELDA ataupun generasi kedua FELDA untuk membenci kerajaan melalui ceramah-ceramah dan juga buku yang diterbitkan iaitu ‘FELDA Dulu Tolong Sekarang Ah Long’. Jadi saya ingin bertanya Yang Berhormat Permatang Pauh adakah generasi kedua FELDA ini begitu kurang cerdik sehingga boleh dipengaruhi oleh seorang aktivis dan juga sebuah buku ataupun memang sebenarnya mereka menyedari kepincangan dan penyelewengan yang telah dilakukan oleh pengurusan FELDA ke atas mereka.
Minta penjelasan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Ini memang kalau wakil-wakil rakyat UMNO apabila berucap biar rakyat itu sedar sedikit semua dihasut. Kalau mahasiswa sedar sedikit ini semua dihasut. Dia dulu tidak apa sekarang semua kena hasut.
Bagilah ruang sedikit, takkanlah rakyat FELDA generasi kedua ini ada peguam, ada akauntan yang cukup terlatih, dia hendak suarakan hak dan kepentingan tidak terbela, pengkorporatan untuk memperkaya beberapa kerat. Berilah ruang apa salahnya.
Takkan semua orang kalau beda pendapat penghasut belaka. Jadi sebab itu saya sebut di sini FELDA kerana memang panjang dibicarakan. Baik disentuh di dalam titah Tuanku dan juga oleh pencadang usul dari Kuala Krau. Syarikat untung berbilion ringgit.
Tujuannya ialah menjamin keselesaan hidup. Pemantauan tentang perjalanan syarikat tidak ada kerana ini satu korporat entiti dan dia buat belanja banyak mana sekali pun. Tidak ada pertanggungjawaban dari sudut ini terutama bagi kepentingan peneroka. Saya tahu juga bukan semua wakil rakyat UMNO yang bersetuju dengan cadangan ini kerana saya tahu dalam dialog mereka ada yang melahirkan rasa kesal kerana tidak ada kesediaan FELDA untuk membawa rombakan sedikit.
Tanam sendiri umpamanya, wang caruman peneroka di dalam tabung tanam semula RM17,000. Apa yang ditimbulkan masalah ini ialah halangan bagi yang sedia dan mendapatkan beberapa kemudahan sendiri dan juga apabila ada usaha menanam persendirian mereka dibayar hanya RM7,000 dari wang yang mereka carum di tabung tanam semula.
Jadi ada diskriminasi. Akan tetapi kalau FELDA yang mengendalikan, pulangan yang lebih baik, itu dapat kita mempertahankan. Dalam kes ini seperti mana fakta sendiri yang saya dapat di beberapa kawasan di Negeri Sembilan, peneroka yang tanam sendiri itu pulangannya lebih menggalakkan, lebih baik. Jadi patut kita beri kesempatan.
Saya masih ingat dan saya memang ucap terima kasih kerana orang-orang miskin di Pulau Pinang dahulu baru merdeka apabila buka rancangan tanah ramai berhijrah ke Pahang dan sedikit ke Negeri Sembilan.
Akan tetapi sekarang generasi kedua dia sudah anak Pahang, masuk ke generasi ketiga tetapi tidak boleh dilayan dengan mengetepikan perjanjian asal antara peneroka dan FELDA kerana apabila mereka berjaya, FELDA akan mengesyorkan kepada kerajaan negeri supaya dikeluarkan geran tanah.
Saya ke Jerantut baru-baru ini ada yang sudah sepuluh tahun selesai bayar tetapi geran tanah tidak diberikan. Sepuluh tahun selesai bayar semua hutang, langsai hutang tetapi geran tanah tidak diberikan dengan alasan, oh kalau diberi geran tanah akan dijual. Itu hak dia.
Kalau kita hendak menjaga kepentingan dia harus ada satu cara atau kaedah untuk mengawal kepentingan supaya tidak ditipu ataupun menjadi mangsa kepada syarikat-syarikat persendirian yang lain. Jadi sebab itu apabila mereka mengenakan peraturan baru menekan peneroka menandatangani perjanjian baru dan di dalam perjanjian baru itu peneroka menyerahkan tanah ladang mereka kepada FELDA dan mereka tidak dibenarkan menanam semula secara persendirian lagi.
Tekanan ini tidak adil. Pulangan dia buat sendiri lebih baik dari paksa buat perjanjian baru, kerana dia tidak ada modal dan ini keadaannya. Hantaran buah sawit pun begitu juga. Peneroka dikenakan tahanan sehingga 20% dari pendapatan dari setiap hantaran. Ini terlalu tinggi. Mana dia Menteri berkenaan, mana dia Pengerusi FELDA?
Dia bercakap bagi pihak korporat atau bagi pihak peneroka? Kalau bagi pihak peneroka dia patut sekurang kurangnya dengar. Adakah adil potongan itu 20% dalam keadaan dengan keuntungan berbilion-bilion ringgit oleh syarikat FELDA. Detail nya memang dia tahu.
Masalah perahan pun begitu juga. Tidak kurang perahan 22% kerana buah mengkal dan muda sudah ditolak tetapi hampir keseluruhan peneroka hanya mendapat perahan hingga ke tahap 19% sahaja. Setiap peneroka kehilangan tidak kurang daripada 3% sehingga 5%.
Kemudian tentulah isu perwarisan yang dibangkitkan dan ini isu besar kerana timbul apabila peneroka asal meninggal dunia, isteri atau anak yang tertua mungkin diletakkan sebagai pemilik dan empat atau lima orang anak yang lain tidak dibenarkan memiliki tanah itu. Ini dikatakan supaya jangan ada masalah fragmentation. Akan tetapi, negara dengan sistem yang canggih ini boleh menyelesaikan masalah ini.
Jangan mengetepikan hak anak-anak yang lain. Selain daripada itu, tentulah ada masalah generasi kedua. Generasi kedua ini disebut masalah sosial, masalah dadah dan sebagainya. Mengapa tidak ada penekanan menjamin mutu pendidikan lebih baik, gerakan dakwah yang lebih berkesan, sistem sosial dan jaringan golongan muda yang lebih baik? Ini harus ditangani kerana ini satu gejala sosial buruk yang merebak di kawasan FELDA yang harus ditangani dengan baik.
Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz [Sri Gading]: [Masuk ke Dewan]
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Saya hendak tunggu Yang Berhormat Sri Gading. Jadi Tuan Yang di-Pertua, saya ucapkan terima kasih sekali lagi kerana ruang diberikan untuk saya menyampaikan Ucapan Menjunjung Kasih Atas Titah Yang di-Pertuan Agong.
Saya rumuskan keperluan kita melihat kelima-lima pertikaian ekonomi supaya kita dapat membetulkan kelemahan-kelemahan yang ada. Akan tetapi, saya ingin tekankan supaya jangan dianggap ini serangan agak peribadi tetapi saya tekankan bahawa Titah Diraja ini harus kembali sebagai Titah Diraja yang dipersembahkan oleh Perdana Menteri dan tidak dijadikan sebagai Titah Diraja yang dimasukkan ayat-ayat memuji Perdana Menteri.
Perkara ini belum pernah berlaku walaupun Yang Berhormat Sri Gading tidak mahu akui, dia sudah berapa penggal, dengar berapa puluh Titah Diraja. Tidak ada Titah Diraja yang diperalatkan sebegini rupa. Senyum sahaja tidak cukup Yang Berhormat Sri Gading.
Beberapa Ahli: [Ketawa]
Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Saya akhiri dengan mengukir kenyataan pendeta Za’ba, tokoh pendeta Melayu terulung yang mula menulis pada tahun 1919 dan tahun 1920. Kata Za’ba, “Apa erti perubahan, pembangunan, kecelikan daripada kepercayaan yang bodoh?”
Kita tahu siapa. “Melemahkan akal kepada kepercayaan yang cerdik, membebaskan fikiran”. Itu seorang tokoh pemikir Melayu menulis pada tahun 1920. Tidak boleh kita kongkong dan belenggu pemikiran orang. Merdeka 52 tahun, media jadi alat murahan. [Tepuk] Tidak boleh ada pandangan berbeda. Apa erti merdeka kata Za’ba kalau tidak membebaskan fikiran.
Dengar! Tidak setuju tidak mengapa, jangan halang, jangan ugut, jangan pukul orang seperti yang berlaku di Kampung Baru baru-baru ini. Ada perhimpunan aman. Pukul! Itu kenyataan pertama Za’ba pada tahun 1920.
Akan tetapi peringatannya tatkala melawan penjajah Inggeris peringkat awal, seorang tokoh yang cukup berani tetapi peringatannya konsisten sepanjang zaman. Kita mesti ada semangat pembaharuan berterusan. Kita mesti menolak, menentang, merubah kezaliman pemerintahan berdasarkan hawa nafsu. Kita tahu siapa. Kezaliman pemerintahan berdasarkan hawa nafsu, tidak mengikut rules of law, tidak ikut. Guna kuasa.
Tidak peduli tentang peraturan dan hukum. Brute force, tyranny of the majority. Itu pun majoriti yang diambil tidak semestinya secara telus. Tidak bolehkah Malaysia setelah 52 berganjak sedikit, hormat sedikit perbezaan pendapat, hak asasi?
Jangan hina orang. Islam itu hebat, ketinggian Islam itu bukan kerana ia pandang rendah kepada orang lain. Rasulullah S.A.W [bercakap dalam bahasa Arab] itu kerana rahmat kepada sekalian alam, bukan kerana menghina, berbicara dengan angkuh agamaagama lain.
Apabila saya pertahankan umpamanya hak menggunakan kalimat Allah itu bukan bermakna saya ini pro Kristian. Saya juga bersandarkan fatwa Sheikh Yusuf Al- Qaradawi. Hendak berbeza pendapat, beza pendapat dengan dia tetapi kita patut lihat ini sebagai perbezaan pendapat kalau ya pun. Akan tetapi, bolehkah kita hendak pertahankan dasar Kerajaan UMNO Barisan Nasional?
Dia hendak pertahankan Allah, tetapi Sabah, Sarawak, Pulau Pinang, Wilayah boleh pula. Ternyata tidak konsisten dan tidak ikhlas. Itu sebab, hentikanlah cara kita menggunakan kuasa rakus, gunakan umpamanya ucapan dan kuasa, hina dan aibkan orang. Cuma, apabila kita kritik juga difitnah. Itu sebab saya pada hari ini dalam soal ekonomi sengaja saya pilih mengambil waktu hanya membaca angka dan data yang agak membosankan.
Akan tetapi, saya rasa cukup pada tahap ini. Saya tidak tahu sama ada Menteri MITI tadi dengar tentang ASEAN Secretariat Database yang saya kemukakan, yang dia pertikaikan semalam. Boleh jadi dia dengar ringgit dengan USD. Saya terima baiklah. Akan tetapi, harus ada keinginan untuk bawa perubahan terakhir ini.
Saya hairan. Ada Ahli Yang Berhormat kata kawan dahulu, kawan lama, tidak apalah, kawan atau lawan itu tidak boleh zalim. Kawan atau lawan itu pun kita tidak boleh gunakan oleh kerana kita ada kuasa, kita boleh buat sewenangwenangnya.
Kita mesti tunduk kepada hukum. Tidak boleh umpamanya fikir, oleh kerana kita ada kuasa, kita boleh aibkan orang sedemikian rupa dan kita rasa kita boleh lepas dengan cara itu semata-mata dengan brute force. Jadi, mudah-mudahan kita diberikan kekuatan kerana kata Za’ba sekali lagi, “Berubah dari kezaliman pemerintahan berdasarkan hawa nafsu”.
Kalau diambil commission, tidak siasat. Kalau ada kes pembunuhan, boleh cover up. Kalau ada tindakan umpamanya, tengok. Kalau ada kekuatan hendak beli, beli orang. Kalau tidak, ugut. Itu dikatakan kezaliman pemerintahan berdasarkan hawa nafsu. Kepada apa tanya Za’ba. Kezaliman hawa nafsu itu diganti dengan apa? Kepada kesolehan. Mestilah kepada adab dan soleh. Mudah-mudahan Allah memberikan kekuatan, terima kasih. [Tepuk]
Parlimen 17/03/2010
No comments:
Post a Comment