Sunday, August 8, 2010

AMK turun bantah kenyataan Dr Chua Selasa ini

TEMERLOH: Angkatan Muda Keadilan (AMK) akan turun dengan ribuan pemuda Selasa ini di hadapan pejabat MCA bagi membantah kenyataan presidennya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang dianggap menghina Islam baru-baru ini.

Exco AMK Badrul Hisham Shaharin mengumumkan demikian ketika berceramah di rumah Haji Suhaimi Said, di Batu 4, semalam.

“Kita bantah dan bidas kenyataan Dr Chua dan kita anggap dia jahil Islam dan inilah akibatnya berkawan dengan Umno selama 60 tahun pun tak faham Islanm,” katanya.

Chua pada Konvensyen Tahunan ke-33 MCA Kedah di Alor Star, semalam telah memberi tanggapan negatif kononnya negara-negara Islam itu “tidak progresif, korup, miskin dan terkebelakang”

Sehubungan itu, beliau membidas kedua-dua Umno dan PAS kerana menggunakan agama bagi meraih sokongan di kalangan masyarakat Melayu.

Badrul Hisham yang dikenali dengan panggilan Cikgu Bard, berkata apabila kenyataan secelupar itu, beliau hairan ke mana perginya Perkasa dan Ezam yang selama ini dianggap begitu ekstrim semangat perkauman Melayu masing-masing .

“Kita ingat apabila Dr Chua bercakap begitu akan bangunlah Umno membantah... tapi tidak, semuanya diam membisu dan pengecut. Di mana Ibrahim Ali dan Perkasa? Di mana Ezam?,” soalnya.

Pada majlis tersebut, Exco Kerajaan Selangor Elizabeth Wong, Adun Kuala Semantan Syed Hamid Syed Mohamad dan Ketua Cabang PKR Temerloh Ahmad Nizam Hamid turut berceramah.

Dalam ceramah dihadiri kira-kira 700 orang itu, Cikgu Bard turut memberi amaran kepada Ezam Mohd Noor supaya tidak menghentam peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim, atau beliau akan dedahkan keburukan peribadi Ezam sendiri.

“Saya tahu apa yang ada dalam kain Ezam, jika beliau memainkan isu peribadi Anwar demi untuk memuaskan nafsu politiknya, awas saya juga boleh lakukan perkara yang sama dan boleh dedahkan keaiban peribadinya kerana saya sangat rapat dengan Ezam sebelum ini,”

Cikgu Bard turut menyoal di mana Ezam menyimpan fail-fail yang melibatkan penyelewengan Datuk Seri Khir Toyo dan Datuk Seri Noh Omar dan sekarang boleh bersekedudukan dengan mereka menyerang Anwar.

“Saya juga menganggap Ezam ini muka yang tak malu. Dulu dia dipenjarakan kerana mendedahkan salah laku dan penyelewengan Rafidah Aziz dan Rahim Tamby Chik. Bagaimana sekarang Ezam boleh bersatu dan duduk sepentas dengan keduanya,” soalnya.




No comments:

Post a Comment