Saya cukup merasa terpanggil apabila membaca artikel bertajuk “Mengembalikan kegemilangan masjid sebagai pusat penyebaran ilmu” (http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Mengembalikankegemilanganmasjidsebagaipusatpenyebaranilmu/Article/index_html) tulisan kolumnis Dr Zaini Ujang di muka surat 29 akhbar Berita Harian bertarikh 20/08/2010 (Jumaat) .
Memang sepatutnya begitulah, masjid boleh dijadikan tempat penyebaran ilmu yang boleh membawa kepada kemajuan rohani dan material umat.
Antara lain penulis berkenaan menulis: “Setiap kali Ramadan, masjid di seluruh dunia bertukar suasana. Meriah dan penuh dengan acara. Selain majlis berbuka puasa dan solat tarawih, masjid juga menjadi kunjungan untuk bertadarus al-Quran, tazkirah dan qiamulail.”
Penulis mungkin pernah membaca sejarah Islam bahawa kegemilangan ilmu pada zaman kegemilangan Islam silam adalah bermula daripada masjid. Ertinya, masjid seharusnya bukan sahaja dimakmurkan sebagai tempat ibadah khususiah kepada Allah SWT., malah mestilah dikembangkan keilmuan melalui pengajian-pengajian dengan sistematik dan terkawal.
Bagaimanapun, masjid yang berada di bawah negeri pemerintahan Umno/BN pada masa ini tidak mudah untuk dibudayakan dengan pengajian ilmu.
Sebagai contoh, masjid-masjid di negeri Pahang pada bulan Ramadhan ini tazkirah seolah-olah ‘dihalang’, meskipun kita tahu bahawa kuliah itu adalah untuk menceritakan tentang kebenaran.
Mungkin kenyataan ini ada yang mengatakannya sebagai prejudis, tetapi memang sesetengah masjid di negeri ini mendapat arahan bertulis daripada pihak berkuasa supaya mengadakan Solat Tarawikh dengan jumlah 20 rokaat.
Apa maksudnya itu jika tidak bermaksud untuk menghalang tazkirah?
Jadi, hanya AJK dan pegawai masjid yang berani sahaja yang membenarkan diadakan tazkirah di masjid mereka.
Pada satu ketika dulu masjid-masjid di negeri Pahang ini telah ‘dirampas’ kuasa pentadbirannya apabila Ahli-ahli jawatankuasa (AJK) ditentukan oleh Jabatan Agama Islam Pahang. Ertinya, ahli kariah tidak berkuasa lagi melantik AJK masjid mereka.
AJK lantikan imam itu pula sudahtentu ditampilkan daripada Umno. Dan jangan terperanjat, sebahagian daripada mereka sebenarnya amat asing dan bukan ahli masjid pun.
Mungkin tujuan lantikan itu adalah untuk membendung supaya tidak menular pengaruh pensyarah yang dirasakan tidak pro-Umno dalam kuliah-kuliah yang disampaikan. Sejak itu banyak kuliah di masjid-masjid di negeri ini berkubur.
Saya masih ingat, pada satu ketika apabila mahu diadakan forum perdana di Masjid Peramu, Kuantan terdapat anggota polis dan FRU yang cuba menghalang majlis berkenaan berlangsung.
Berbalik kepada isu pengajian di masjid ini, sepatutnya pihak berkuasa sedar bahawa kegawatan sosial dan akhlak yang berlaku pada hari ini sememangnya memerlukan satu penekanan dan fokus khusus. Mungkin pada satu sudut penguatkuasaan amat penting. Dan pada satu sudut yang lain pula, ilmu dan tarbiyah juga perlu diterus disemaikan.
Kita ambil satu contoh kes yang sedang hangat diperkatakan sekarang iaitu isu buang bayi. Sepatutnya jika tazkirah dimasjid dibenarkan dengan sokongan semua pihak berserta pelbagai kemudahan, sekurang-kurangnya masalah penyakit sosial itu dapat difokuskan dengan cara pendidikan ilmu, kesedaran dan ugutan.
Seperti yang kita ketahui, lazimnya pada bulan Ramadhan ini ramai umat Islam yang bertanding ke masjid berbanding pada waktu-waktu lain. Dengan demikian diharap dapatlah dimanfaatkan supaya mereka yang hadir dapat juga berperanan membendung gejala buang bayi ini.
Rencana yang ditulis oleh Dr Zaini Ujang saya anggap amat baik dan jika dapat dibaca sama oleh pemimpin-pemimpin Umno, ia tentulah lebih baik lagi. Jika semuanya terbuka, kita harap sebahagian penyakit-penyakit sosial dapat dibendung dan dikurangkan melalui pendidikan, kesedaran dan ilmu yang disampaikan menerusi tazkirah di masjid-masjid.
No comments:
Post a Comment