Monday, August 2, 2010

Penduduk rayu kerajaan segera lulus tanah

MARAN: Negeri Pahang meskipun dianggap berpotensi untuk menjadi pusat aktiviti pertanian terbesar negara kerana keluasan tanahnya, namun soal pemilikan atau kelulusan permohonan tanah masih merupakan isu besar.

Bayangkan, ada kes rakyat negeri ini telah meneroka dan memajukan tanah sekian lama sehingga 30 ke 40 tahun, namun tiada penyelesaian dibuat atau permohonan ditolak tanpa alasan dan sebagainya.

Ini membuatkan banyak kes-kes permohonan tanah yang sekian lama diusahakan, tertunggak dan terbengkalai sehingga menjadi rungutan ramai.

Salah satu daripadanya ialah di Ulu Gumbai, Kampung Batu 13, Chenor yang diusahakan sejak daripada tahun 1970-an namun sehingga kini masih belum diluluskan walaupun dijanjikan dengan penyelesaian pada tiap-tiap kali pilihan raya umum.

Tanah berstatus milik kerajaan itu telah diusahakan secara berkelompok oleh 194 peserta yang terdiri daripada penduduk tempatan dengan tanaman buah-buahan dusun, getah dan kelapa sawit seluas tiga ekar seorang.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak pemohon tanah berkenaan, Mohd Nor Keria, sudah lima kali pengusaha membuat permohonan di Pejabat Tanah dan Daerah Maran sehinggalah pada tahun 2005 Exco Kerajaan Negeri Pahang yang juga Adun Chenor Datuk Tan Aminuddin Ishak, mengadakan dialog dengan peserta dan memberi jaminan masalah tanah tersebut akan diluluskan.

Tambah Mohd Nor, hasil daripada dialog tersebut penduduk telah membuat permohonan rasmi dan membayar tidak kurang RM1,000 bagi setiap lot iaitu seluas tiga ekar seorang namun tiada jawapan kelulusan diberikan.

“Pada 2006 diadakan pula dialog dengan Felcra, juga tidak berhasil. Akhirnya pada 2007 penduduk menyerahkan memorandum kepada Pegawai Daerah Maran bagi mempertimbangkan kelulusan yang telah diusahakan berpuluh tahun itu, namun keputusannya tetap belum ada.”

“Alangkah kecewanya kami. Bagi saya birokrasi melampau pejabat tanah dan mungkin pertimbangan politik menyebabkan tanah-tanah yang sudah dijayakan sejak sekian lama itu terlalu lambat untuk meluluskannya.”

“Ini untuk kepentingan rakyat. Sepatutnya kerajaan kena sedar bahawa di situlah tempat orang kampung memperoleh pendapatan untuk hidup. Kita hairan, jika sekiranya pihak kerajaan mempercepatkan proses kelulusan, kerajaan juga yang dapat menambah hasil melalui premium dan cukai tanah,” ujarnya.

Mohd Nor selanjutnya mendesak Kerajaan Negeri Pahang memberi fokus untuk meluluskan permohonan tanah kepada rakyat luar bandar dalam masa tiga tahun dengan melakukan perubahan dalam sistem dan sikap pegawai kerajaan yang terlibat sendiri.

“Dalam sistem sekarang terlalu banyak karenah birokrasi yang terpaksa ditempuh sehingga menjadi lembab. Ini ditambah lagi tiada akses kepada kemudahan dan di peringkat bawah pula pemberian tanah kadangkala berdasarkan kepentingan politik menyebabkan berlaku ketidakadilan,” jelasnya.

Katanya, perubahan perlu agar permasalahan yang berpanjangan selama setengah abad dapat dirungkai sesuai dengan usia kemerdekaan negara di samping mempraktikkan slogan rakyat didahulukan.

Seorang lagi pengusaha di tanah kelompok berkenaan, Yaakob Sulaiman, 70, kecewa tanah sawit dan dusun durian diusahakan sejak 22 tahun lalu sehingga kini masih gagal mendapat geran.

Menurutnya, dalam tempoh tersebut beliau kerap berulang alik ke Pejabat Tanah Daerah Maran dan seingatnya sudah lima kali menghantar permohonan.

“Saya hairan kenapa yang susah sangat nak diluluskan, pada hal orang pejabat tanah pun kerap datang makan durian ke sini. Jadi memang rasa tak seronok sangat mengusahakan tanah yang belum dapat hak milik sebab bimbang bila-bila masa boleh dirampas.”

Yaakob yang mendakwa memperolehi antara RM5 ribu hingga RM10 ribu setiap musim durian itu, berharap sebelum beliau ‘pergi’ biarlah tanah yang diusahakannya sejak waktu mudanya itu dapat diwariskan kepada anak-anak.
Pesara tentera, Saari Mat Salleh, 57, berkata beliau telah mengusahakan tanaman getah dan buah-buahan dusun seperti durian, rambutan, duku, cempedak dan petai sejak tahun 1996 dan kecewa sehingga kini tanah tersebut masih gagal mendapat geran.

“Saya bekerja tentera tidak ada pencen jadi harapkan dusun inilah yang menjadi sumber pendapatan. Tanah di sini ialah kampung lama, datuk nenek kami berasal dari sini. Di sini bukannya ada perancangan bagi projek dan rizab kerajaan, jadi kenapa yang susah sangat.

“Saya masih ingat YB berjanji ketika berdialog dengan kami di Balai Raya Kampung Batu 13 pada tahun 2005 yang janji nak luluskan sebelum pilihan raya 2008. Tapi sampai sekarang semuanya senyap sahaja. Jadi nak tunggu janji berapa kali pilihan raya lagi?,” soalnya.

Seorang lagi pengusaha tanah berkelompok berkenaan, Mohd Nor Abdullah, 40, berkata beliau mengusahakan tanah tersebut sejak tahun 1980-an iaitu ketika masih bujang dan kini sudah memiliki anak lima.

“Saya dah banyak kali berulang-alik naik turun ke Pejabat Tanah Maran, permohonan berulang kali dibuat tapi jawapannya masih berdolak-dalik.

“Kenapa susah sangat nak luluskan permohonan tanah kami... kami ni anak jati Pahang, malah ayah saya pengasas Kampung Kelit ini. Kalau tak luluskan, susahlah... samalah macam kami ini merempat di tempat sendiri,” ujarnya.

Bagi Mohd Nor, perisytiharan kerajaan daerah Maran sebagai daerah pertanian yang beridentitikan buah-buahan dusun memang tepat. Namun sehingga kini agensi-agensi kerajaan masih gagal merealisasikan daerah ini sebagai pengeluar utama buah-buahan tempatan itu.

“Jadi apa salahnya jika peranan pengeluar itu dipikul sama oleh anak tempatan, sebab kami dah biasa. Kerajaan boleh membantu secara sistematik dan penduduk pula boleh mengusahakannya. Hasrat kerajaan boleh tercapai asalkan pemimpin tidak menjadikan geran tanah sebagai umpan politik,” katanya.


Caption:

1. Inilah rajah pelan tanah kelompok Ulu Gumbai.
2.Yaakob
2. Saari
3. Mohd Nor











No comments:

Post a Comment