Saturday, August 21, 2010

Anwar mungkin ke penjara: Wan Azizah

Hati isteri mana yang boleh tenang jika suami tercinta menjadi ‘buruan’ lawan politiknya sepanjang masa sejak 12 tahun lalu. Namun berat mata memandang, berat lagi mahu memikul.

Bayangkan, ada yang berpendapat kes mahkamah yang ada dikatakan hanya sebagai satu ‘helah’ untuk menyumbat suaminya semula ke penjara demi untuk menutup mulutnya atau cubaan menghalangnya mengepalai gelombang kebangkitan rakyat.

Mungkin itu hanya satu andaian, akan tetapi sekurang-kurangnya itulah pandangan dan pengamatan sesetengah pihak lebih-lebih lagi bagi bahu yang memikul.

Semua itu dihadapi dan dilalui dengan tabah serta tenang oleh Presiden Pari Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail tentang apa yang berlaku terhadap suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Usaha untuk menghalang Pakatan Rakyat (PR) ke Putrajaya bermacam-macam, antaranya ialah mengaibkan Anwar. Sebab itu saya anggap kes yang berjalan sekarang sekadar ulang tayang. Sudah sepuluh tahun Anwar diaibkan, dia dah masuk penjara dan pernah dibelasah setengah mati. Sekarang kes yang serupa sengaja diketengahkan semula iaitu menjelang pilihan raya kecil Permatang Pauh dulu.”

Wan Azizah berkata demikian ketika ditemui Siasah selepas merasmikan program Himpunan Orang Asli Pahang Zon Tengah anjuran PKR di Temerloh baru-baru ini.

Selamatkan Pahang cuba mendapatkan pandangannya dalam kes kontroversi melibatkan tuduhan liwat Anwar yang dikatakan sedang menjadi perhatian dunia kerana dilihat sebagai ‘perbicaraan politik’ yang menentukan masa depan politik Ketua Umum PKR.

“Tapi cuba tengok kes ini dah mula ditertawakan dunia. Mula-mula pihak pembela tak boleh dapatkan salinan laporan pengadu dan sekarang timbul pula cerita penuduh (Saiful) ada hubungan dengan pegawai pendakwa. Jadi tanyalah dengan mana-mana lawyer, dari segi undang-undang kes ini sepatutnya stripe off .

“Barisan peguam bela mendapat khidmat pakar dari Australia yang mahir mengenai DNA dan berpengalaman luas di peringkat antarabangsa tetapi dia tidak mendapat apa-apa bahan daripada pihak pendakwa. Jadi bagaimana dia nak consult apa?,” soalnya.

Wan Azizah menjelaskan, jika dalam amalan perbicaraan biasa, pendakwa terpaksa menunjukkan bahan bukti. Dalam hal hubungan intim antara pengadu dengan pendakwa pula, beliau menganggapnya sebagai tidak beretika dan tidak sepatutnya berlaku kerana boleh menimbulkan banyak keraguan. Katanya, siapakah yang boleh menjamin laporan polis itu tidak akan dipinda, sedangkan dia mempunyai akses kepada laporan tersebut.

Tegasnya lagi, di peringkat antarabangsa, institusi kehakiman Malaysia mulai dilihat merosot. Apa lagi pemimpin tertinggi kerajaan sendiri bertindak menyerang ketua pembangkang itu secara personal. Umpamanya mengatakan Anwar membayar untuk muncul dalam CNN. Tetapi sebaliknya yang terdedah ialah Datuk Seri Najib yang membayar supaya artikelnya tersiar dalam akhbar di Amerika.

Berdasarkan rentetan apa yang berlaku, apakah akhirnya Anwar akan diseret ke penjara?

“Saya rasa begitu... dan pada akhirnya memang kita serahkan segala urusan ini kepada Allah. Sebab nyawa kita pun di tangan Tuhan. Mereka hanya boleh merancang, tetapi kita yakin Allah juga sebaik-baik perancang.”

Wan Azizah juga melihat strategi media arus perdana memain dan mempropagandakan isu Selangor ialah bagi merampas negeri itu sebelum pilihan raya umum (PRU) sebagaimana dilakukan terhadap kerajaan negeri Perak.

“Kita jangan lupa Selangor merupakan sebuah negeri paling kaya di negara ini. Kita tahu mereka tak jangka negeri ini jatuh ke tengan PR pada PRU lepas. Jadi tidak hairanlah mereka meletakkan sasaran untuk merampasnya kembali dengan apa cara sekali pun. Ini diikrarkan sendiri oleh Najib selaku Pengerusi Umno Selangor pada Jun lalu.

“Memang saya akui tiap-tiap wakil rakyat PR pernah dan sedang ‘didekati’ oleh pihak tertentu supaya mereka melompat. Usaha ini berterusan dengan ugut, beli untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan. Tetapi berdasarkan perkembangan yang saya ikuti dengan rapat, kejatuhan kerajaan Pakatan tidak akan berlaku. Malah bagi mereka yang berada di Selangor pada masa ini, tidak terkesan pun dengan propaganda dan gerak saraf yang dimainkan Umno/BN,”katanya.

Bagi Wan Azizah, PRU ke 13 akan datang menjanjikan persaingan sengit walaupun kedua-dua pihak BN dan PR yakin masing-masing boleh membentuk kerajaan kerana suasana politik ini umpama pendulum.

“Pada 1999 orang Melayu menolak Umno/BN tetapi bukan Melayu menyebelahi parti itu. Tetapi pada 2004, atas isu Perdana Menteri baru dan Mr. Clean Melayu dan bukan Melayu kembali kepada BN. Tetapi pada 2008 pula terbit Makkal Sakti, penyelewengan dan sebagainya sehingga menyebabkan bukan Melayu dengan majoriti besar menolak BN.

“Selepas dua tahun ini, kenapa Umno banyak memainkan isu perkauman? sudah tentu kerana pakar strategi mereka mahu membendung orang Melayu daripada menyeberang kepada PR. Kerana, mereka juga percaya seperti yang saya katakan tadi bahawa politik ini umpama pendulum.”

Wan Azizah mengakui, kemungkinan orang-orang Melayu yang hanya bergantung maklumat dengan media arus perdana yang dikongkong pemerintah, sedikit sebanyak akan termakan juga dengan kempen-kempen agresif berbentuk perkauman ini.

Bagaimanapun, beliau menyeru aktivis PR agar tidak perlu cemas kerana akhirnya kebenaran akan mengatasi kebatilan.

Wan Azizah mengambil contoh bagaimana masyarakat Orang Asli yang selama ini dianggap bahan untuk memenangkan BN dalam PRU, pun sudah boleh berubah.

“Setelah 52 tahun merdeka, keadaan hidup Orang Asli, penempatan, pendidikan, kesihatan dan ekonomi mereka masih jauh ketinggalan dan tidak terbela. Bahkan tanah adat dan kawasan rayau mereka tidak digazet dan semakin banyak tanah dan hutan kawasan mereka yang diceroboh sehingga menyukarkan Orang Asli mencari makan, meskipun mereka merupakan penyokong tegar Umno/BN selama ini,” ujarnya.

Wan Azizah berkata, baru-baru ini Orang Asli di Selangor berjaya mendapatkan pampasan melalui mahkamah daripada Kerajaan Malaysia sebanyak RM16 juta setelah tanah yang mereka miliki turun temurun telah 16 tahun digunakan menjadi lebuh raya.

“Itupun setelah Selangor dikuasai oleh Kerajaan Pakatan Rakyat (PR),”katanya.

“Saya yakin dengan perkembangan terakhir, Orang Asli akan berubah daripada menyokong BN kepada menyokong PR. Jika Orang Asli yang selama ini dikaitkan begitu liat untuk berubah pun daripada menyokong BN boleh menukar anjakan politik mereka kepada PR, saya penuh yakin bangsa-bangsa lain termasuk orang Melayu pun pasti akan menurut langkah yang sama.”

Mengenai lagak pemimpin Umno hari ini yang tiba-tiba ‘lembik tengkuk’ bercakap tentang perpaduan Melayu sehingga begitu galak dan bernafsu mengajak PAS bersatu, Wan Azizah menganggapnya sebagai perangkap politik stail lama parti itu yang sedang terdesak.

“Seperti juga kata Tok Guru Nik Aziz, Umno ini bila dalam keadaan terdesak barulah dia cari PAS. Ini bukan kali pertama, cuba tengok sejarah selepas pilihan raya 1969, 1999 dan 2008. Tapi cuba tengok pada masa mereka kuat iaitu pada 1982 dan 2004, ada timbul isu perpaduan Melayu?

“Saya juga lihat ini satu helah untuk memecahbelah, meragukan dan cuba untuk melagakan sesama parti dalam Pakatan, PKR, DAP dan PAS ragu meragui antara satu sama lain,” jelasnya.

Untuk isu perpaduan yang cuba dimainkan Umno ini, Wan Azizah sempat meninggalkan dua rangkap pantun yang menarik:

Semasa Umno berada gagah,
PAS dianggap seperti sampah;
Bila Umno sudah lemah,
Baru teringat perpaduan ummah.

1 Malaysia perpaduan Melayu,
Kami ingat perpaduan negara;
Rakyat Malaysia jangan tertipu.
Umno/BN lupakan saja.




3 comments:

  1. Wan Azizah mudah mengelabah
    Bila Anuar meliwat lagi
    Sanggup cakap pedaah
    Asal laki Perdana Menteri

    ReplyDelete
  2. Asal dah nama Umno/apco, otak mesti lucah, fitnah sana fitnah sini. asal lawan politiknya ditumbuk dibelasah sampai setengah mati. itu arwah altantuya sapa mahu bertanggungjawab?

    ReplyDelete
  3. Wahai Nona Azizah,...
    Dulu Anuar dalam UMNO
    Habis PAS/DAP dihentam belaka
    Bila Anuar keluar UMNO
    UMNO pulak dikatakan celaka
    Dulu Anuar Ketua Pemuda
    Semuanya INDAH belaka
    Bila kawan dengan PAS jadi mengada-ngada
    Habis UMNO diporak peranda
    Insan ini kah yang di idamkan olih pakatan rakyat PM mereka. Renung-renungkanlah wahai PR

    ReplyDelete