Barangkali pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memberi RM350 duit raya kepada setiap peneroka disambut amat gembira oleh komuniti itu yang minda mereka dijajah Umno selama ini.
Tanpa menyedari bahawa wang tersebut merupakan wang tabungan mereka sendiri yang dipotong Felda, bagi mereka, ini sudah tentu menggambarkan betapa baiknya hatibudi Umno dan Felda, iaitu estet terbesar dunia yang terbina hasil titik peluh mereka.
Apa lagi, ini dapat menangkis bahawa Felda (akan) bankrap (jika tidak diurus dengan baik) yang dituduh kononnya dakyah pihak pemecah belah.
Kita menjangkakan, umpan RM350 ini akan menyebabkan ada peneroka berminda Umno karat akan berdemonstrasi bagi menunjukkan bahawa Felda adalah yang terbaik dan tidak perlukan teguran mana-mana pihak tentang kewangannya, hatta daripada kalangan peneroka sendiri.
Mudahnya untuk mengabui mata orang Melayu. Patutlah ada cerita legenda Melayu tentang Pak Kadok: “menang sorak kampung tergadai”.
"Mereka cuba memberi gambaran bahawa Felda melayan peneroka dengan baik. Padahal itu adalah duit hasil usaha peneroka yang mereka ambik dan dikembalikan atas nama 'duit raya'," kata Presiden Persatuan Anak-anak Peneroka (Anak) Mazlan Aliman ketika diminta pendapatnya mengenai pemberian tersebut.
Kita percaya, bagi peneroka yang berminda Umno, pemberian ini boleh melupakan ketidakpuasan hati mereka mengenai gred buah sawit kilang Felda. Ladang mereka yang diuruskan secara tidak sempurna oleh Felda Plantations pun akan diabaikan.
Masalah pinjaman perumahan yang dikenakan interest pun dah lupa. Masalah anak-anak dan cucu mereka yang tiada tempat tinggal pun mereka tak kisah lagi. Jenayah berleluasa di Felda? Peduli apa!
Potongan wang tabung tanam semula (TTS) yang tiga kali ganda lebih mahal pun sudah tidak menjadi kerisauan kepada mereka. Buruh luar yang bernasib lebih baik daripada anak-anak mereka kerana dapat bekerja di ladang pun, mereka tak endah.
Cuba tanya mereka, tahukah mereka bahawa gaji Pengerusi Felda yang bukan peneroka dan bukan anak peneroka bahkan tiada kena mengena, menjangkau hampir RM2 juta setahun?
Jangan berhujah tentang hak dan keadilan, semua itu dipandang sepi.
Akhirnya, mereka akan katakan “Feldalah yang memberi kita semua kenikmatan ini. Tanpa Felda hidup kita entah melarat di mana. Bersyukurlah kepada Felda... dia dah beri kita segala-galanya”.
Dan jadilah mereka seperti kuli estet dulu, kini dan selamanya sebagaimana yang dikehendaki Umno.
No comments:
Post a Comment