Friday, August 27, 2010

Harga barang: PR hantar memo kepada menteri

BERA: Bertindak daripada aduan rakyat yang pada ketika ini dibebani dengan kenaikan melambung harga barangan keperluan harian, Pakatan Rakyat (PR) Pahang telah menyerahkan memorandum kepada kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK ), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipejabat pusat ahli parlimennya, disini , semalam (26 Ogos).

Memorandum enam perkara itu diserahkan sendiri oleh Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man kepada Setiausaha Sulit Menteri, Tahzir Husein. Hadir sama pimpinan PR Pahang serta para penyokong.

Memorandum bertajuk Isu Kenaikan Harga Barangan Dan kawalan Kepentingan Kepenggunaan Bagi Pembelaan Rakyat melahirkan rasa kesal atas tindakan kerajaan memotong subsidi barang dan kenaikan harga minyak sehingga menyebabkan berlakunya kenaikan harga barangan di pasaran.

Antara enam cadangan yang dikemukakan PR ialah menuntut kerajaan mengembalikan semula subsidi barangan yang telah dipotong serta menurunkan harga barangan asas (kawalan) bagi kemudahan rakyat.

Kerajaan juga didesak mengkaji semula polisi pemberian (AP) bagi pengimportan barangan keperluan asas supaya ianya tidak dimonopoli pihak tertentu sahaja sehingga mencacatkan pasaran.

Kerajaan melalui KPDNKK juga didesak meningkatkan kecekapan pengagihan bekalan barangan keperluan serta meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi membenteras peniaga yang tidak bertanggungjawab.


No comments:

Post a Comment