‘Benih’ api perkauman yang dimainkan Umno dan sekutunya sejak berlalu pilihan raya umum (PRU) 2008 mulai membuahkan hasilnya apabila kini satu demi satu institusi menyahut seruan tersebut dengan menambah kehangatan.
Terbaru, media melaporkan, Pengetua SMK Tunku Abdul Rahman, dari Kulai Johor, Siti Inshah Mansor didakwa menghamburkan ucapan rasis secara terbuka kepada pelajar pada 12 Ogos lalu.
Beliau didakwa menyatakan bahawa pelajar Cina "tidak diperlukan" dan perlu "pulang" ke China manakala pelajar India patut membuang ikatan tali di pergelangan tangan mereka.
Beliau juga didakwa berkata hanya anjing yang memakai tali seperti itu.
Perbuatannya tentulah serius, sebab itulah mendapat respons Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga mengarahkan sebuah pasukan petugas ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan tersebut bagi mendapatkan fakta berkaitan dan merancang tindakan lanjut ekoran emosi pelbagai pihak semakin bergelora.
Bagi kita pula, pengetua tersebut mungkin bersalah jika memang berniat dengan sengaja menghina warganegara lain dalam ucapannya.
Namun jika pemimpin Umno dan sekutu-sekutunya sendiri tidak lebih dahulu berbuat demikian, beranikah seorang pengetua wanita itu melakukannya?
Semua orang tahu, bahawa mainan isu perpaduam kaum adalah agenda Umno. Semua orang tahu bahawa isu tersebut dipolitikkan sebagai tindak balas dan curahan rasa dendam kepada golongan bukan Melayu di negara ini yang rata-rata menolak Umno/BN pada PRU yang lalu.
Semua orang maklum bahawa Umno kehilangan dua pertiga majoriti di parlimen dan kehilangan lima negeri pada PRU lalu adalah gara-gara orang Cina dan India yang 60 ke 80% menolak BN. Hanya pengundi Melayu yang berganjak sedikit mengalih sokongan kepada Pakatan Rakyat antara 2 ke 6% daripada keputusan yang dibuat pada PRU 2004.
Sejak itulah pemimpin Umno memainkan isu perkauman termasuk cuba memerangkap PAS dalam isu perpaduan Melayu.
Tetapi orang Umno mudah lupa, bahawa Cina dan India-lah pada PRU 1999 yang menyelamatkan Umno/BN apabila kira-kira 65% orang Melayu menolak parti itu pada PRU tersebut.
Sementara itu kita melihat ucapan pengetua berkenaan amat tidak wajar dan buta sejarah, kerana bangsa Cina di Malaysia sudahpun diiktiraf sebagai warganegara sebagai mana persetujuan yang dibuat Umno, MCA dan MIC semasa
menuntut merdeka daripada penjajah Inggeris dulu.
Maknanya, Cina MCA dan India MIC juga turut membantu Melayu Umno untuk mendapatkan tandatangan perisytiharan kemerdekaan daripada Britain ketika itu.
Sepatutnya jika Umno tidak bersetuju dengan Cina dan India menjadi warganegara sebagai salah satu syarat kemerdekan, Umno sepatutnya memperjuangkannya pada masa itu. Umno sepatutnya berhempas pulas menggunakan pelbagai saluran bagi memastikan hanya orang Melayu sebagai warga kelas satu negara ini.
Sekarang apa sudah jadi?
Hari ini Umno mendabik dada ‘menghunus keris’ mengangkat ketuanan Melayu dan melabelkan bukan Melayu sebagai itu dan ini. Tidakkah ini permainan politik murahan?
Berbalik kepada isu ucapan perkauman pengetua tadi, ia sememangnya tidak wajar sama sekali. Namun kita harus sedar dengan pepatah “bagaimana acuan begitulah kuihnya”.
Maka jika pemimpin Umno atau sekutunya saban hari membuat kenyataan perkauman, akhbar-akhbar dan telivisyen Umno juga sering mencanangkan isu perkauman, maka siapakah yang bersalah dalam hal ini?
Peliknya, pihak kerajaan pula sepanjang masa menyarankan kehidupan harmoni pelbagai kaum. Konsep 1Malaysia sudah tentu sebuah cita-cita impian Najib Tun Razak mahukan rakyat pelbagai kaum boleh hidup harmoni. Namun pada masa yang sama, sebahagian pihak Umno pula seolah-olah inginkan suasana tegang berpanjangan.
Berdasarkan pengalaman lepas-lepas, jika api perkauman ditiupkan oleh Umno, MCA dan MIC, pemimpin PAS-lah yang paling gusar kerana selepas itu akan berlaku operasi penangkapan ke atas mereka.
Bagaimanapun kali ini kita harap tidaklah sehingga terjadi begitu.
No comments:
Post a Comment