Friday, August 20, 2010

Daerah Dato Nan dilanda banjir kilat

BENTONG: Daerah ini, yang mana Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob menjadi Ketua Bahagian Umno dan Adun, dilanda banjir lagi setelah hujan lebat pagi semalam menyebabkan beberapa rumah di kawasan rendah dan berhampiran sungai di dua kampung iaitu Kampung Lebu dan Felda Lurah Bilut dinaiki air.

Tahun ini sahaja tidak kurang empat kali daerah ini dilanda banjir serupa apabila ditimpa hujan lebat.

Anehnya, hanya Bentong yang dilanda banjir dan ternyata disebabkan pembangunan yang tidak teratur serta masalah perparitan yang tidak sempurna.

Banjir tersebut telah menyebabkan laluan di persimpangan Sungai Marong dekat sini dinaiki air sedalam 0.3 meter menyebabkan berlaku kesesakan jalan raya pada awal pagi iaitu ketika kebanyakan penduduk menggunakan laluan itu untuk ke tempat kerja dan sekolah.

Dalam masa sama, laluan di Kilometer 12 Jalan Karak-Manchis dekat Telemong turut dinaiki air sedalam satu 0.6 meter hingga menyebabkan jalan ditutup kepada lalu-lintas selama empat jam bermula 7.30 pagi hingga 10.30 pagi semalam.

Jalan berhampiran Sungai Perdak dekat Telemong juga turut dinaiki air serta menjejaskan perjalanan lalu-lintas terutamanya di sekitar Jalan Karak-Manchis.

Menurut penduduk, Sungai Lebu yang makin cetek dan dipenuhi sampah sarap kayu menyebabkan paras air naik mendadak.

Menurutnya, pihak berwajib diminta mengambil tindakan membersihkan dan mendalamkan sungai supaya ia tidak berulang lagi pada masa akan datang.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Rosli Abdul Rahman berkata, jalan yang dinaiki air ialah Kilometer 12 Jalan Karak- Manchis bermula jam 7.30 pagi hingga 10.30 pagi tadi (semalam).

Menurutnya, jalan ditutup kepada semua kenderaan memandangkan kedalaman air lebih kurang 0.6 meter dan dibuka semula kepada lalu-lintas kira-kira jam 10.30 pagi semalam.

“Terdapat beberapa buah rumah penduduk yang terletak di tepi sungai dinaiki air namun tiada keluarga yang dipindahkan.

“Memandangkan cuaca agak tidak menentu, penduduk di kawasan berhampiran sungai dinasihatkan berwaspada dan jangan membenarkan anak-anak bermain air sungai bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, masyarakat yang tinggal di kawasan mudah dinaiki air dinasihatkan agar mematuhi arahan dari pihak berkuasa untuk berpindah sekiranya keadaan menjadi bertambah teruk.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Kesihatan, Datuk Hoh Khai Mun berkata, masalah banjir kilat di persimpangan Sungai Marong dekat sini berpunca dari masalah sistem perparitan yang tersumbat dan tidak mampu lagi menampung aliran air di kawasan ini.

Menurutnya, sejumlah RM500,000 diperlukan untuk menaik taraf sistem perparitan di kawasan ini terutama sekali melibatkan penggantian longkang sedalam 0.6 meter kepada 1.5 meter bagi perancangan jangka panjang menangani masalah ini.

“Ini kali kedua kawasan ini dilanda banjir kilat dalam menyebabkan aliran trafik sedikit terjejas.

“Namun sebagai perancangan jangka pendek, Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah diarahkan untuk menjalankan kerja pembersihan bagi membaiki longkang yang tersumbat,” katanya.


~ Sumber: Sinar Harian


No comments:

Post a Comment