Sunday, August 15, 2010

Felda Bankrap? Amanah yang diselewengkan...

Felda Bankrap?


Amanah yang diselewengkan

Rintihan yang dikesampinkan

Warisan yang dipunahkan


Harimau Mati Meninggalkan Belang

Peneroka Mati Dilonggokkan Hutan

Menteri yang diamanahkan menerajui Felda telah membentuk kroni, jika dahulu Felda berada di bawah Kementerian Kemajuan Tanah dan Wilayah, kini ia dikuasai oleh Perdana Menteri sepenuhnya. "Sendawa" kekenyanganlah mereka meratah hasil titik peluh golongan bawahan yang lemah. Tanah 10 ekar dimajukan, tuan tanah "diperhambakan", hasilnya diniagakan. Dasar korporat membawa petaka, Felda bertukar menjadi BANK yang menawarkan pelbagai skim dengan kadar faedah yang tinggi dan tanah kebun dijadikan cagaran. Matlamat asalnya nak tolong, nampak keuntungan tinggi menggunung kini menjadi "Along!"

Mulai tahun 1990, pembukaan penempatan baru untuk peneroka telah dihentikan. Ia diambil alih oleh Felda Plantation Sdn Bhd, anak syarikat Felda yang berkonsepkan estet. Peserta yang kebanyakannya adalah anak peneroka hanyalah buruh yang diupah sedangkan kebajikan mereka tidak terbela. Kerajaan Negeri beri tanah manakala Felda mengaut keuntungan berlipat ganda. Felda sudah bertukar menjadi sebuah entiti perniagaan dan bukan lagi institusi kerajaan yang memberikan perkhidmatandan bantu kepada rakyat.

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) telah memfailkan laporan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya pada 15hb Julai 2010 bersama bukti yang didakwa menunjukkan adanya cubaan menutup penyelewengan Felda. Presiden ANAK, Mazlan Aliman, berkata antara bukti yang dikemukakan adalah penyelewengan skim Bantuan Tanam Semula Risda/MPOB, sistem grading di kilang kelapa sawit, dakwaan salah urus di Felda Sungai Buaya, Gedangsa, Cahaya Baru dan Lurah Bilut.

ANAK menampilkan dokumen yang mendakwa wujudnya penyelewengan wang peneroka yang mana sebelum ini telah memfailkan hampir lapan puluh laporan Polis di Temerloh, Kota Tinggi, Bera, Trolak, Segamat dan lain-lain. ANAK mencabar Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berdebat mengenai isu-isu Felda. Mazlan berkata cabaran beliau untuk berdebat diputuskan selepas Ahmad Maslan berhasrat untuk menyaman akhbar Suara Keadilan - yang melaporkan "Felda Bankrap". Mazlan berkata tindakan undang-undang tersebut dilihat sebagai satu "cubaan untuk melindungi sesuatu". "Kita akan dedahkan fakta sebenar yang berlaku di Felda," katanya. Sebaliknya Datuk Ahmad Maslan menawarkan dialog. Demi untuk mengharapkan penyelesaian dan tidak dianggap angkuh maka ANAK bersetuju dengan tawaran tersebut tetapi dengan syarat ianya mestilah diadakan secara terbuka supaya lebih ramai warga Felda boleh terlibat sama. Tabung tanam semula, perumahan generasi kedua, potongan bulanan yang tidak munasabah, diskriminasi bantuan, gejala sosial yang berleluasa, pengurusan Technoplant yang lemah adalah antara isu-isu yang ingin dibangkitkan. Jika pihak Kerajaan masih berdolak-dalik bermakna adalah sesuatu yang ingin disembunyikan dari pengetahuan umum.


(Dipetik dari risalah yang diterbitkan oleh Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK)).

No comments:

Post a Comment