Tanggal 23 Mei 1974 lalu genap 44 tahun peristiwa
pengeboman 68 jentera pembinaan Jalan Raya Timur Barat.
Sempena peristiwa itu, apa kata kita imbas kembali
kisah serta pengorbanan kakitangan JKR. Moga-moga jasa #unsunghero seperti Tok
Wan dan rakan-rakan terus dikenang dan dirahmati allah.#alfatihah
Lebuhraya Timur Barat yang menghubungkan Gerik, Perak
dengan Jeli, Kelantan sudah 36 tahun dibuka kepada lalu lintas.
Bagi kebanyakan kita, lebuh raya sepanjang 125
kilometer yang beroperasi mulai Julai 1982 ini hanyalah sekadar laluan yang
memendekkan perjalanan dari Utara ke pantai Timur, khususnya Kelantan.
Tetapi lebih daripada itu, ia adalah lambang kegigihan
dan pengorbanan generasi dahulu untuk keselesaan generasi masa kini dan akan
datang. Pembinaannya diwarnai dengan air mata, penderitaan, kesusahan dan
cabaran dengan pengganas komunis sentiasa memberi ancaman.
Lebuh raya ini membolehkan pemandu dari Perlis, Kedah,
Pulau Pinang dan Perak Utara menuju ke Kelantan tanpa perlu turun ke Selatan
melintasi beberapa negeri untuk sampai ke destinasi. Mereka hanya perlu
memasuki Gerik dan menggunakan lebuh raya ini untuk ke sana, begitu juga
sebaliknya. Jarak perjalanan menjadi lebih dekat dan banyak masa dijimatkan.
Pembinaan Lebuhraya Timur Barat mempunyai strategi
serampang dua mata. Pertama, memberi kemudahan dan keselesaan kepada pengguna
memendekkan jarak perjalanan serta menjimatkan masa. Kedua, untuk mengekang
kegiatan pengganas komunis khususnya di kawasan Gerik.
Menelusuri lebuh raya ini akan membangkitkan kenangan
pahit yang tercatat dalam lipatan sejarah betapa air mata tumpah dan jerih
perih yang terpaksa dilalui oleh para pekerja dan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang
diamanahkan oleh kerajaan melaksanakan pembinaan lebuh raya tersebut.
ANCAMAN
Ketika ancaman komunis antara tahun 1967 hingga mereka
meletakkan senjata di bawah Perjanjian Haadyai pada 2 Disember 1989, Gerik
adalah kawasan hitam. Kawasan keselamatan (security area) ini sentiasa dikawal
dan diawasi oleh pasukan keselamatan demi melindungi penduduk daripada ancaman
komunis.
Dalam usaha memerangi pengganas komunis, khususnya di
kawasan Gerik dan sekitar seperti Keroh (Pengkalan Hulu) dan Baling, perdana
menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra, mencetuskan idea pembinaan Lebuhraya
Timur Barat pada 1967.
Matlamat pembinaannya adalah menjadikan lebuh raya itu
`lebuh raya pertahanan’, sebagai salah satu strategi melumpuhkan pergerakan
komunis.
Ini sejajar dengan usaha kerajaan ketika itu
memperkenalkan Program Keselamatan dan Pembangunan (Kesban) yang memberi
penekanan kepada hal ehwal ketenteraan dan awam. Melalui program ini kerajaan
merancang pelbagai strategi memerangi komunis dengan melaksanakan projek-projek
pembangunan khususnya di kawasan luar bandar. Antaranya pembinaan jalan,
sekolah, hospital, klinik kesihatan serta kemudahan awam seperti elektrik dan
bekalan air.
Pembinaan Lebuhraya Timur Barat yang bermatlamat
menghapuskan rangkaian hubungan komunis termasuk dalam skop ini. Apabila
kawasan belantara di sepanjang lebuh raya yang dicadangkan itu dibersihkan,
tempat persembunyian dan laluan komunis akan terjejas. Ini memudahkan operasi
tentera menggempur serta memusnahkan kedudukan mereka, di samping memutuskan
laluan mereka melarikan diri ke Thailand.
Kerja-kerja pembinaan bermula pada 1970 di bawah
kendalian JKR. Pastinya ia tugas yang sukar dan mencabar kerana kedudukan muka
bumi yang berbukit bukau, bergunung-ganang, berlurah dan berbatu batan
merentasi laluan pembinaan yang dicadang, selain hutan belantara yang tebal.
Lebuh raya ini melalui dua banjaran utama itu Banjaran
Bintang dan Banjaran Titiwangsa.
Komunis adalah ancaman utama projek pembinaan ini.
Mereka memberi tentangan, mengganggu dan mensabotaj dalam usaha menggagalkan
projek berkenaan. Mereka juga mendatangkan kemudaratan, kemusnahan dan
kesusahan kepada para pekerja serta membinasakan peralatan yang digunakan.
Untuk melindungi pekerja dan peralatan, pihak tentera
mengadakan kawalan ketat di lokasi pembinaan. Pos tentera diwujudkan pada
setiap kilometer laluan pembinaan. Pembinaan lebuh raya dijalankan serentak
dari arah Gerik dan dari Jeli.
TERKORBAN
Pada peringkat awal, pembinaan dijalankan dalam keadaan
serba kekurangan. Pekerja dan peralatan yang digunakan tidak mencukupi. Hanya
pada awal 1973 peralatan dan pekerja sepenuhnya diperoleh bagi membolehkan
pembinaan berjalan lancar.
Dua buah Kem Pangkalan (Base Camps) diwujudkan, sebuah
di Gerik dan sebuah lagi di Jeli. Di kem inilah keseluruhan tenaga kerja dan
kaum keluarga mereka yang terlibat dalam pembinaan lebuh raya itu ditempatkan.
Kem Pangkalan di Gerik masih wujud. Sebahagian daripadanya masih berpenghuni
tetapi ada bangunan ditinggalkan usang tidak didiami.
Tugas penerokaan awal amatlah sukar, dimulai dengan
pembinaan laluan ke kawasan pembinaan, diikuti dengan menebang dan membersihkan
hutan. Apabila kerja-kerja pembinaan bertambah rancak dan jarak perjalanan
antara kem pangkalan ke lokasi pembinaan semakin jauh, kem-kem baru dibina
berhampiran kawasan pembinaan.
Dalam susah payah inilah juga komunis terus memberi
ancaman, mensabotaj dan menyerang hendap. Kawalan keselamatan diperketat dan
operasi memburu komunis terus menerus dilancarkan menerusi `Ops Pagar’ yang
dijalankan sepanjang tempoh pembinaan lebuh raya ini.
Dalam serangan komunis pada 23 Mei 1974 sebanyak 63
jentolak diletup dan dimusnahkan. Serangan bermula dari pukul 8 malam sehingga
pagi.
Kemusnahan ini bukan sahaja menyebabkan kerugian tetapi
menyebabkan kerja-kerja pembinaan tergendala seketika.
Lebih menyedihkan, dalam satu lagi serangan pada 27
Ogos 1974, tiga pekerja JKR terkorban dan ada yang tercedera. Serangan hendap
ini berlaku ketika para pekerja yang menaiki lori dari Kem Pangkalan di Gerik
dalam perjalanan ke Banding, dengan diiringi oleh trak tentera.
Mereka yang terkorban hanya dikenali sebagai Ismail,
Husin dan Ali.
Peristiwa menyayat hati ini menggambarkan betapa air
mata, duka dan ancaman menjadi sebahagian daripada kisah di sebalik pembinaan
lebuh raya ini. Jumlah ini tidak termasuk mereka yang terkorban kerana
kemalangan semasa bekerja. Sesungguhnya inilah pengorbanan tidak ternilai yang
telah mereka sumbangkan demi keselesaan dan kemudahan generasi masa kini dan
akan datang.
KOS
Kesukaran pembinaan lantaran hutan belantara, rupa bumi
yang berbukit bukau serta batu batan dan lembah, ditambah ancaman komunis
menjadikan tempoh pembinaan menjangkau selama 12 tahun.
Kosnya juga meningkat daripada bajet awal sebanyak RM85
juta. Lebuh raya sepanjang 125 kilometer antara Gerik dengan Jeli ini akhirnya
disiapkan dengan kos RM396 juta dan dibuka kepada lalu lintas mulai 1 Julai
1982.
Memandangkan lebuh raya ini dalam kawasan keselamatan,
pihak tentera terus mengawal laluan keluar-masuk lebuh raya ini selepas dibuka.
Pengguna hanya dibenarkan melalui lebuh raya ini pada waktu siang atas faktor
keselamatan. Tiada kenderaan dibenarkan melalui lebuh raya ini selepas pukul 6
petang dari kedua-dua belah hala Gerik dan Jeli.
Jika dari arah Gerik, pos kawalan tentera pertama
terletak di Kem Sungai Rui. Apabila sampai di pos ini, selepas pukul enam,
pengawal tentera akan bertanya arah tujuan. Jika hendak ke Felda Bersia (lebih
kurang tiga kilometer dari pos ini), pemandu dibenarkan masuk. Jika hendak ke
Jeli mereka akan diminta berpatah balik.
Jika pemandu membuat helah, mereka tidak akan terlepas
kerana ada satu lagi pos kawalan keselamatan selepas simpang Felda Bersia.
Tiada siapa dibenarkan melintasi sekatan ini yang ditutup sepenuhnya selepas
pukul enam petang. Kawalan tentera ini akhirnya dihentikan pada 1989 berikutan
termetrainya perjanjian damai di Haadyai dan anggota Parti Komunis Malaya (PKM)
meletakkan senjata dan menyerah diri.
MEMPESONAKAN
Merentasi Lebuhraya Timur Barat memang menyejukkan mata
dengan pemandangan hijau di sekeliling serta melalui lereng-lereng bukit.
Terdapat lima jambatan di sepanjang lebuh raya ini iaitu Jambatan Sungai Rui
(256 meter), Jambatan Tasik Temenggor (sebelah barat sepanjang 880 meter),
Jambatan Tasik Temenggor (sebelah timur sepanjang 640 meter), Jambatan Hulu
Sungai Pergau sepanjang 159 meter dan Jambatan Hilir Sungai Pergau sepanjang
158 meter.
Selain itu terdapat lima kawasan Rawat dan Rehat
(R&R) di sepanjang lebuh raya iaitu di Perah (Gerik), Pulau Banding,
Air Banun, Titiwangsa (1,050 meter di atas paras laut) dan Tasik Pergau.
Pemandangan yang mempesonakan sudah pastinya di Tasik
Temenggor Banding (Tasik Banding), tasik buatan manusia yang luas terbentang
dan airnya yang hijau jernih, terbentuk hasil pembinaan Empangan Temenggor.
Tasik ini juga kini menjadi tempat memancing dan pelbagai aktiviti sukan air
yang popular.
Tidak jauh dari Tasik Banding iaitu di Kem Sri Banding,
terletak satu dataran dikenali sebagai Dataran Juang milik Tentera Darat. Di
dataran ini diabadikan nama-nama 116 anggota tentera yang terkorban sepanjang
konfrantasi dengan komunis antara tahun 1968 hingga 1989. Selain itu dicatatkan
juga keberanian beberapa anggota tentera yang tidak menghiraukan keselamatan
diri menentang komunis habis-habisan hingga gugur sebagai bunga bangsa.
GAJAH
Mereka yang melalui lebuh raya ini juga perlu awas
dengan kehadiran gajah liar, tambahan di waktu malam. Jika terserempak dengn
kumpulan gajah ini biarkan saja mereka berlalu sebelum meneruskan perjalanan.
Jangan sekali-kali membunyikan hon kerana ini akan mengejutkan gajah-gajah
tersebut yang mengakibatkan mereka menyerang pemandu.
Ada pada waktu-waktu tertentu kumpulan gajah ini akan tidur
di atas jalan tar untuk memanaskan badan mereka. Haba panas yang terperangkap
di dalam batu tar di siang hari digunakan sepenuhnya oleh gajah pada waktu
malam.
Pembinaan Lebuhraya Timur Barat ini adalah lambang
kegigihan dan pengorbanan generasi dahulu, khususnya pihak JKR dan para pekerja
yang tabah meneruskan pembinaan sekalipun berdepan cabaran kerja yang amat
sukar dan berisiko tinggi.
Titisan air mata mereka dahulu membawa kesenangan
kepada generasi masa kini. Bukan sahaja perjalanan antara pantai Barat dan
pantai Timur semakin dekat, ia juga berjaya mengekang kegiatan pengganas
komunis. Mungkin generasi sekarang tidak akan dapat menghayati atau memahami erti
pengorbanan ini. Bagi mereka lebuh raya tersebut hanyalah laluan yang dibina
bagi memudahkan perjalanan mereka dengan selesa dan pantas.
Penderitaan dan pengorbanan para pekerja di sebalik
pembinaan Lebuhraya Timur Barat ini diabadikan dalam bentuk sebuah tugu
peringatan berhampiran Kem Sri Banding. Di lokasi inilah komunis melancarkan
serang hendap yang memusnahkan 63 jentolak dan membunuh tiga pekerja JKR.
MENYAYAT HATI
Catatan pada tugu peringatan tersebut sangat menyayat
hati, sangat mengusik kalbu. Juga terdapat papan tanda mengandungi
gambar-gambar dan penerangan ringkas mengenai serangan komunis berkenaan serta
proses pembinaan lebuh raya berhampiran tugu tersebut.
Diperturunkan tulisan pada batu ingatan tersebut yang
bertajuk; `Pengorbanan Dalam Kenangan Jalan Raya Timur Barat (1970-1982)’.
“Jalan Raya Timur Barat (Gerik-Jeli) telah dibuka pada
lalu lintas pada 1 Julai 1982. Banyak nyawa telah terkorban semasa kerja
pembinaan dilaksanakan mulai tahun 1970. Ada yang terkorban semasa kemalangan
di tempat kerja dan ada yang diserang oleh pengganas komunis.
“Di lokasi ini 63 buah mesin jentolak tanah telah
diletupkan oleh pengganas komunis pada 23 Mei 1974. Di lokasi ini juga tiga
nyawa pekerja JKR telah terkorban dan beberapa lagi cedera dalam serangan
pengganas pada 27 Ogos 1974. Beberapa serangan lain juga telah berlaku di
sepanjang jalan raya yang melibatkan pekerja JKR dan anggota pasukan
keselamatan. Kita memperingati semua yang telah berkorban nyawa bagi menjayakan
pembinaan Jalan Raya Timur Barat ini. Sila sedekahkan Al-fatehah kepada
orang-orang yang terkorban di sini.”
Sejajar dengan Rancangan Pembangunan Rangkaian
Lebuhraya Malaysia 1993, Lebuhraya Timur Barat disambung selari dengan
pembinaan Lebuhraya Butterworth-Kulim. Titik penghujung lebuh raya tersebut di
persimpangan Sungai Seluang menjadi titik permulaan Lebuhraya
Butterworth-Kulim.
Bahagian Kulim-Baling dibina dahulu diikuti bahagian
akhir dari Titi Karangan ke Gerik di mana lebuh raya sambungan itu bertemu
dengan Lebuhraya Timur Barat yang asal. Pembinaan bahagian akhir ini bermula
pada 2001 dan siap pada 2005. Jarak antara Kulim dengan Gerik ialah 125
kilometer melalui lebuh raya sambungan ini.
Sumber: MedSos
No comments:
Post a Comment