ROMPIN: Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan
Ahmad Shah mahu Kerajaan Negeri Pahang mengutamakan kebajikan rakyat, khususnya
perumahan.
Memetik sumber Bernama, dalam majlis berbuka puasa
bersama rakyat di Masjid Kampung Leban Chondong di sini semalam, baginda bertitah
aspek perumahan khususnya yang melibatkan rumah mampu milik penting untuk
membantu mereka yang baharu hendak memulakan kehidupan.
"Pihak kerajaan juga perlu memperhalusi masalah
berkenaan bekalan air bersih dan elektrik di seluruh kawasan. Saya amat
mementingkan hal-hal seperti ini kerana ia membabitkan kebajikan rakyat,"
titah baginda.
Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan
Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Muhammad Safian Ismail, Turut
hadir Ahli Parlimen Rompin Datuk Seri Hasan Ariffin, Adun Tioman Datuk Seri
Mohd Johari Hussain, Adun Muadzam Shah Razali Kassim dan Adun Bukit Ibam, Datuk
Shamsiah Arshad.
Pada majlis itu, Tengku Abdullah turut berkenan
menyampaikan sumbangan kepada 120 penduduk tempatan yang kurang berkemampuan
dan kanak-kanak.
Tengku Abdullah juga mengingatkan rakyat agar sentiasa
bersyukur dapat berada dalam sebuah negara yang harmoni sehingga membolehkan
mereka beribadah dalam suasana aman.
Sehubungan itu, baginda berharap umat Islam dapat
mengambil kesempatan untuk mengimarahkan masjid dan surau di negeri ini dan
memperbanyakkan amalan sunat seperti membaca al-Quran khususnya pada 10 malam
terakhir Ramadan.
"Saya juga berharap semua pihak tidak akan
melupakan kewajipan untuk membayar zakat dan semoga semua amal jariah yang
dilakukan mendapat keberkatan di dunia dan akhirat," titah baginda.
No comments:
Post a Comment