Monday, May 21, 2018

Tempat solat di bazar Ramadan gembirakan peniaga, pengunjung

BANDAR JENGKA:  Setelah bertahun-tahun tidak diselesaikan akhirnya sebuah surau untuk kemudahan para peniaga serta pengunjung bazar Ramadhan Bandar Pusat Jengka  menunaikan solat, dibuka.

Kemudahan tersebut dibina hasil usaha dan kerjasama Adun Jengka yang baru dipilih, Ustaz Shahril Azman dari PAS dengan Pengurusan KRT Bandar Pusat Jengka dengan penyediaan dua ruang solat iaitu untuk muslimin dan muslimat.

Surau sementara tersebut diubah suai daripada Pusat Aktiviti Kawasan Rukun Tetangga Nadi Kota demi kemudahan para peniaga dan pengunjung bazaar menunaikan solat sepanjang Ramadhan.



Sementara itu, rata-rata peniaga dan pengunjung bazar yang ditemui melahirkan kegembiraan dan menyambut baik pembukaan surau tersebut sebagai inisiatif memudahkan peniaga beribadah.

Sebelum ini peniaga yang ingin menunaikan solat  terpaksa pergi ke lokasi yang agak jauh sehingga menyukarkan para peniaga dan juga orang ramai yang berkunjung ke situ.

Dalam pada itu, Shahril Azman turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak KRT berkenaan yang memberi ruang tempat untuk menjadikan surau sementara di bulan yang mulia ini.

“Semoga dapat memberikan manfaat kepada semua apatah lagi di bulan yang mulia ini supaya tidak mudah alpa,” ujarnya.

Shahril dipilih sebagai Adun Jengka pada PRU 14 9 Mei lalu mengalahkan penyandang Datuk Wan Salman juga seorang lagi calon dari Pan Jalani Ludin.

Dun Jengka pernah berada di tangan PAS sebelum ini iaitu pada PRU 1999 melalui Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengalahkan Exco Pahang ketika itu Datuk Zainal Hasan.

No comments:

Post a Comment