Pelantikan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebagai Menteri
Besar Pahang yang baru, diharap semua pihak agar dapat memajukan Pahang Barat,
ataupun ulu Pahang, yang sejak sekian lama ketinggalan berbanding sebelah timur
khususnya Kuantan.
Wan Rosdy yang merupakan Adun Jelai sejak empat penggal
yang lalu dilantik dalam Majlis Pengurniaan Surat Cara Lantikan dan Mengangkat
Sumpah Menteri Besar dan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Pahang di
Istana Abu Bakar, petang semalam menggantikan Datuk Seri Adnan Yaakob.
Istiadat disempurnakan Pemangku Raja Pahang Tengku
Abdullah Sultan Ahmad Shah dan turut berkenan berangkat ialah Tengku Puan
Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Muda Pahang Tengku
Abdul Rahman.
Kuala Lipis merupakan ibu negeri Pahang yang terdahulu,
namun selepas berpindah ke Kuantan pada 1955, daerah tersebut seolah-olah ‘sunyi’
daripada pembangunan pesat atau terlalu lambat maju.
Salah satu yang sering kali menjadi rungutan penduduk
dan pengguna jalan Jerantut-Benta iaitu antara laluan tertua di Malaysia yang
bengkang bengkok. Begitu juga dengan jalan Jerantut - Lipis melalui jalan Ulu
Tembeling yang sempit, bengkang-bengkok dan berbukit serta jalan Jerantut-Maran
melalui Simpang Jengka 8 yang terbengkalai. Keadaan ini menyukarkan penduduk di
sebelah Pahang Barat untuk berurusan ke ibu negeri.
Kuala Lipis dan Raub memang ketinggalan walaupun
menjadi laluan utama anak-anak Kelantan berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Kota
Bharu. Bentong pula meskipun bersempadan dengan ibu kota Kuala Lumpur, namun
seolah-olah kemajuan kota metropolitan itu tidak melimpah ke daerah tersebut
kecuali mereka datang untuk makan angin ke Genting Highlands atau Janda Baik.
Jerantut juga jauh ketinggalan kendatipun menjadi
laluan pelancong ke Taman Negara.
Selain Cameron Highlands, dari segi pertanian tidaklah
semaju mana di Pahang Barat. Jika dulu ada agensi pusat IADP untuk memajukan pertanian,
kini agensi tersebut sudah tiada.
Justeru pelantikan Wan Rosdy diharap dapat memulihkan
Pahang Barat agar setara dengan kemajuan di sebelah timur. Beliau tentu lebih
nampak apa yang perlu dibangunkan.
No comments:
Post a Comment