Ceramah di Kuala Krau malam tadi agak panas apabila
pemidatonya begitu berani mendedahkan bahawa ada orang politik berpengaruh yang
mengusahakan tanaman secara haram di atas tanah kerajaan. Audiennya tidak ramai
namun isu yang dibawanya tetap menyentuh kalbu.
Antara yang disebutnya ialah di Kuala Mai, belakang Kampung
Chengkenik malah tanah rizab kerbau pun katanya diceroboh dan diusahakan
tanaman komersil.
“Sudahlah begitu, projek pula diusahakan bersama dengan
Toke Yap,” katanya lantang.
Penceramah berkenaan memberi peringatan, bahawa betapa
susahnya anak watan untuk memohon tanah dengan pelbagai sekatan, syarat dan
birokrasi sedangkan orang politik berkenaan dengan mudah sekali memanipulasi
peluang yang terhidang.
“Kenapa tidak diagihkan kepada rakyat yang
memerlukan.... kamu tu dah kaya raya”.
Fenomena tanah yang ada di negeri Pahang dimonopoli
oleh orang politik tertentu bukanlah cerita baru. Begitu mudah mereka
memperolehnya. Sepatah kata penceramah tadi, “cubalah rakyat kerdil yang
membuka tanah untuk ikhtiar sesuap nasi, kadang-kadang belum sempat dituai
hasil sudahpun dimusnahkan oleh pejabat tanah. Namun orang politik sepertinya dengan
wewenangnya boleh terus kekal mengaut hasil tanpa sebarang rasa khuatir.
Memang sesekali ada rakyat yang mendesing telinga mendengarnya,
namun suhu kepanasan itu turun sedikit demi sedikit ditelan masa apabila tidak
ada sebarang ikhtiar memperbaikinya.
Nasib generasi kedua di kampung-kampung mahupun di
tanah-tanah rancangan Felda, tidak mudah untuk mendapatkan sekeping tanah.
Umpamanya di sebuah kampung si ayah memiliki tanah seluas setengah ekar dengan
lima orang anak. Sesetengah kes, di situlah tempat anak-anaknya terutamanya
yang sudah berkahwin mendirikan kediaman untuk berteduh. Terpaksa
bersempit-sempit di atas sekeping tanah pusaka. Sedangkan orang politik
bermaharajalela boleh mengusahakan tanah kerajaan.
Di sinilah memerlukan kerajaan baru yang prihatin bagi
membela hak rakyat!
No comments:
Post a Comment