Sudah agak lama juga tidak terdengar kes ‘konfrontasi’
antara pihak sekolah melibatkan guru, dengan pihak pelajar atau ibu bapa.
Dulu sesekali kita ada terdengar kes murid tercedera
akibat dipukul guru. Terkadang kita terdengar pula bagaimana pihak guru diugut
atau dihadapkan ke mahkamah kerana menghukum anak-anak mereka yang dipandang
secara bersangatan.
Pendek kata, sesuatu kes melibatkan dua pihak itu
menjadi hangat terutamanya apabila disensasikan oleh media. Kebiasaannya, akan
ada pula di kalangan masyarakat menyokong satu pihak manakala kelompok yang
lain pula menyokong pihak yang satu lagi. Begitulah seterusnya.
Kelmarin terjadi lagi satu tragedi yang agak
menggemparkan apabila media melaporkan seorang murid perempuan dalam tahun dua di
sebuah sekolah di daerah Bentong telah terkoyak telinganya sehingga tercedera
akibat ditarik oleh gurunya.
Menurut laporan, (http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/murid-terkoyak-telinga-ditarik-guru-1.680283)
pelajar malang berusia lapan tahun itu yang sedang menduduki peperiksaan telah pergi
ke tandas akibat sakit perut. Kerana dikatakan terlalu lama berada di dalam
tandas seorang guru bertindak menarik telinga murid berkenaan hingga luka.
Difahamkan, akibat insiden itu pada Selasa minggu lalu
itu, ibu bapa murid berkenaan kemudiannya terpaksa membawa pelajar mendapatkan
rawatan hospital.
Polis pula telah membuka siasatan kes ini mengikut
Seksyen 323 Kanun Keseksaan berdasarkan siasatan kanak-kanak berkenaan yang
koyak belakang telinganya.
Apa pun yang terjadi di sebaliknya, kita tidak berminat
untuk menghukum dalam kes ini siapa benar siapa salah. Biarlah siasatan
diteruskan.
Dalam kes ini, dirasakan guru berkenaan tidak berhasrat
untuk mencederakan muridnya. Begitu juga pelajar berkenaan rasanya tidak pula
beranggapan dia melanggar peraturan sekolah. Maknanya kedua-dua pihak tidak
menjangkakan ‘sebab dan akibat’ peristiwa malang itu berlaku.
Doa kita agar insiden kecil itu tidak melarat dan akan
berakhir dengan baik. Harapan kita biarlah suasana ini dijernihkan kembali. Kita
tidak mahu pusat pendidikan, yang selama ini dianggap sebagai kilang menjana
masa depan seseorang kanak-kanak, dicemari dengan adegan saman menyaman, dendam
mendendami dan sebagainya.
Kita juga tidak mahu ada pihak yang mahu menjadi juara
dengan tampil mengambil kesempatan sehingga mengusutkan lagi keadaan.
Keadaan telinga seorang murid yang koyak dipercayai
akibat ditarik oleh seorang guru di Bentong, Pahang, baru-baru ini.
No comments:
Post a Comment