Thursday, May 10, 2018

Teori RAHMAN jadi kenyataan!

Pada tahun-tahun 1980-an dahulu muncul satu teori yang sangat terkenal iaitu RAHMAN yang membawa maksud nama-nama Perdana Menteri di Malaysia.

Teori ini meramal siapakah bakal Perdana Menteri Malaysia dari masa ke semasa. Mengikut teori ini, terdapat 6 Perdana Menteri mengikut huruf hadapan RAHMAN iaitu:

R – Tuanku Abdul Rahman
A – Tun Abdul Razak
H – Tun Hussein Onn
M – Tun Mahathir
A – Tun Abdullah Ahmad Badawi
N – Datuk Seri Najib
Teori ini berakhir dengan huruf N iaitu Najib.

Pada mulanya tiada siapa yang mempedulikan teori ini kerana ia mungkin secara kebetulan. Namun setelah diumumkan keseluruhan keputusan PRU 14 awal pagi ini (lebih kurang 4.30 pagi), teori tersebut ditularkan semula di media-media sosial. 


Terbukti seolah-olah teori ini ada kebenarannya di mana Perdana Menteri Najib Tun Razak yang menjadi Perdana Menteri atas tiket BN sejak tahun 2009 telah kecundang  apabila gabungan parti tersebut tewas kepada Pakatan Harapan (PH) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamed. PH akan membentuk kerajaan baharu  selepas memenangi 121 kerusi parlimen (PKR -104, DAP-9, Warisan-8)  berbanding 79 kerusi yang diperolehi BN.

Kekalahan Najib ini sekali gus menamatkan riwayat pemerintahan BN setelah berkuasa selama 63 tahun (1955 – 2018) dan kebetulan akronim "N" adalah yang terakhir dalam teori RAHMAN.

Siapa yang mencipta teori RAHMAN ini? Menurut penulis veteran yang terkenal Subky Latiff, teori itu mula-mula dikemukakan oleh bekas ahli parlimen Kepala Batas sebelum Abdullah iaitu  Saupi Ibrahim.

Katanya, tulisan yang dihasilkan oleh bekas duta itu dalam umur persaraannya, kata Subky, diterbitkan di sebuah akhbar harian dengan gaya popular.

Teori itu rancak diperkatakan pada 1990-an apabila Anwar, sebagai timbalan perdana menteri, dijangka menggantikan Dr Mahathir. Tetapi akhirnya A itu untuk Abdullah.

Kita masih ingat, kumpulan A-Arqam (kini sudah diharamkan) pada satu ketika dulu pernah menggunakan teori RAHMAN dengan menamakan akronim “A” itu sebagai Ashaari, iaitu pemimpin mereka.

Apa-apapun yang berlaku, sebenarnya teori RAHMAN ini terjadi secara kebetulan sahaja dan mempercayainya bulat-bulat adalah tahyul.

No comments:

Post a Comment