Wednesday, May 9, 2018

Seruan daripada Pesuruhjaya PAS Pahang

Mengundilah kerana Allah swt.

Puji dan Syukur kehadrat Allah, Rabb Yang Mentadbir Sekelian Alam, Selawat dan salam atas junjungan Nabi saw, para ahli keluarganya, para sahabatnya serta mereka yang beriman dan beramal soleh sepanjang zaman.

Mengundi adalah merupakan tanggungjawap semua, ia bertujuan untuk kita memilih pemimpin yang menentukan hala tuju sesebuah negara atau negeri, baik buruk sesebuah negara ianya bergantung kepada siapakah yang memimpin negara. 

Setiap kita pasti inginkan sebuah negara yang bukan sahaja aman serta harmoni malahan terlaksana didalamnya satu sistem yang bersifat adil dan sentiasa berkebajikan kepada rakyat tanpa mengira bangsa atau agama, juga bebas dari sebarang bentuk kezaliman, diskriminasi, rasuah dan sebagainya.

Aspirasi ini hanya akan terlaksana jika kita memilih pemimpin yang menjadikan Islam sebagai dasar perjuangannya, kerana Islam adalah agama yang bersifat 'Rahmatan Lil Alamin', mengundi PAS membawa maksud memilih untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara yang ditadbir oleh hukum Allah Yang Maha Adil, mudah2an ianya menjadi amal soleh kita.

InsyaAllah siapa sahaja akan terbela, kerana Islam itu sifatnya pembela, siapa sahaja akan diadili kerana Islam itu sifatnya adil, siapa sahaja akan mendapat kesejahteraan kerana Islam itu sifatnya sejahtera, inilah keyakinan PAS yang menjadikan Islam sebagai dasar perjuangannya.

Apa sahaja yang kita lakukan didunia pasti akan disoal dan dibalasi diAkhirat, tiada sesuatu akan terlepas dan dizalimi, setiap perbuatan baik akan dibalasi dengan kebaikan dan yang jahat pasti kejahatan pula sebagai balasannya, inilah manifesto Islam. 

Mengundilah dengan suluhan iman dan dengan panduan Al Qur'an dan Sunnah. Pilihlah pemimpin yang menjadikan Al Qur'an dan Sunnah sebagai pedomannya, kerana negara yang ditadbir oleh sistem Ilahi pasti akan diberikan kemakmuran dan keberkatan dari Allah swt.

*Ustaz Rosli Abdul Jabar*
_Pesuruhjaya PAS Pahang_

UNDILAH PAS

No comments:

Post a Comment