Tuesday, May 22, 2018

Tidak UG: PAS buat keputusan tepat

Daripada lebih 2 juta pengundi itu dipercayai yang tidak bersetuju dengan tahaluf siyasi dengan DAP

Oleh MUHAMAD MAT YAKIM

DALAM tempoh dua hari selepas PRU14, ramai orang tertanya-tanya: Adakah PAS akan bergabung dengan BN untuk membentuk Kerajaan Perpaduan di Kedah dan Perak?

Ini berikutan keputusan pilihan raya yang meletakkan politik di dua negeri itu dalam situasi tidak menentu.


Di Kedah, PH gagal mendapat 19 daripada 36 kerusi Dun minimum untuk membentuk kerajaan manakala di Perak, pakatan itu hanya mendapat 29 kerusi Dun berbanding minimum 30 kerusi majoriti mudah.

Dengan bekalan 15 kerusi Dun di Kedah, PAS dilihat mempunyai ruang untuk memujuk tiga Adun BN menyokong parti itu ‘merampas’ peluang membentuk kerajaan.

Namun mujur pimpinan PAS bertindak bijak. Meskipun parti itu boleh dikira sudah hampir ke pintu kuasa, mereka lebih rela untuk terus bergerak sebagai pembangkang daripada memilih jalan tidak bermaruah.

Bayangkan, apa pandangan rakyat dan bagaimana masa depan PAS jika keadaan menjadi sebaliknya?

Sekiranya mereka memilih jalan untuk menumbangkan kerajaan bermajoriti tipis di luar proses pilihan raya, imej sebagai parti yang memperjuangkan Islam sudah pasti terjejas teruk.

Kekal membangkang dengan kekuatan 15 kerusi di Dun Kedah dan hanya berbeza tiga kerusi dengan parti pemerintah sebenarnya telah membuka laluan yang selesa bagi PAS untuk hadapi PRU15.

Ini dengan syarat mereka harus menunjukkan prestasi sebagai pembangkang yang konstruktif dan berkesan dalam persidangan dewan selain pada masa yang sama proaktif dalam mengambil tahu masalah rakyat.

Di Perak, situasinya hampir serupa. PAS dengan tiga kerusi Dun berbanding 29 (PH) dan 27 (BN) tiba-tiba menjadi kuasa penentu (kingmaker).

Apa yang menarik dalam kes di Perak, pimpinan PAS bukan sahaja tidak mencadangkan kerjasama atau gabungan secara bilateral sama ada dengan PH atau BN sebaliknya membawa satu gagasan yang begitu ideal, Kerajaan Perpaduan Tanpa Pembangkang (KPTP) sebagai solusi.

Bagi tukang tulis, idea itu mungkin sukar untuk dilaksanakan dalam keadaan sekarang tatkala PH yang baru mendapat kuasa sedang ghairah mahu memerintah, namun gagasan itu harus dikaji dan mungkin ada keperluan untuk dilaksanakan pada masa akan datang.

Dari sudut yang lain, ada kemungkinan idea itu dikemukakan sebagai pendekatan berhemah oleh pimpinan PAS yang memahami bahawa kuasa melantik Menteri Besar adalah prerogatif Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Hakikatnya, dari sudut mana pun ia dilihat, pendekatan pimpinan PAS dalam menghadapi situasi di Kedah dan Perak telah membawa politik kita ke satu dimensi yang lebih maju dan menarik.

Ini yang membezakan PAS dengan parti-parti lain. Pimpinan PAS perlu sentiasa membuktikan mereka tidak kemaruk kuasa dan tidak pernah menjual agama untuk kepentingan politik sebagaimana yang ditohmahkan.

Pas bukan semata-mata parti politik tetapi juga adalah organisasi dakwah. Matlamat PAS sejak ditubuhkan pada 1951 adalah mahukan kuasa untuk melaksanakan pemerintahan Islam.

Justeru, kuasa harus diperoleh secara bermoral dan mengikut proses.

Kerana itu, PAS tidak boleh serupa dengan parti politik biasa yang dalam perjuangan mereka dilihat oleh sarjana Barat sebagai ‘more of the same’ iaitu ‘sama tapi tidak serupa’.

Dalam kata lain, perjuangan dan tindak tanduk setiap parti itu seakan sama, hanya parti yang berbeza.

Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin baru-baru ini menyatakan kemenangan PAS di 18 kerusi Parlimen dan 90 kerusi Dun pada PRU14 telah membuktikan aspek moral semakin jadi pilihan dalam pola pengundian orang Melayu.

Maksudnya, kelompok yang boleh dikategorikan sebagai mementingkan moral semakin ramai mengundi PAS.

Ini sekali gus telah membawa harapan yang cerah untuk PAS hadapi PRU15 yang mungkin tidak cerah lagi jika pimpinannya tersilap langkah di Kedah dan Perak baru-baru ini.

Dari sudut yang lain, pertambahan kerusi Dun yang dimenangi daripada 82 kerusi (PRU12) dan 85 kerusi (PRU13) kepada 90 kerusi pada PRU14 membuktikan PAS masih kuat walaupun bergerak secara bersendirian berbanding bersama PKR dan DAP pada dua pilihan raya lalu.

Begitu juga bagi kerusi Parlimen yang mana PAS mendapat 18 kerusi pada PRU14 berbanding 23 (PRU12) dan 21 (PRU13).

Meskipun dikatakan tidak lagi mendapat undi bukan Melayu pada pilihan raya ini berbanding dua pilihan raya lalu, PAS mendapat jumlah undi yang agak membanggakan iaitu kira-kira 17% atau lebih dua juta undi  pada PRU14.

Ini menunjukkan pertambahan yang ketara dipercayai daripada kalangan pengundi Melayu/ Islam yang ‘lari’ kerana tidak bersetuju dengan tahaluf siyasi parti itu bersama DAP sebelum ini dan pada PRU14, mereka telah ‘kembali’.

Mungkin ini kumpulan yang dikatakan oleh Dr Shamsul Amri sebagai telah meningkatkan undi untuk PAS daripada kelompok yang mengutamakan moral itu.

Siapa pun mereka, kumpulan itu adalah aset terpenting untuk PAS hadapi PRU15.

Kerana itu, hati mereka perlu dijaga dan sebarang tindak tanduk yang boleh mencetuskan isu moral harus dielakkan.

 * Penulis ialah Felo di Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi, Universiti Utara Malaysia

Sinar Harian 22 Mei 2018

No comments:

Post a Comment