BANDAR JENGKA: Tanah Rancangan Felda Jengka 14 di sini
telah sering kali digelar sebagai ‘Tongkiat Kedua’.
Ini berikutan wujudnya kedai judi nombor ekor haram
yang telah beroperasi secara sembunyi-sembunyi sejak beberapa tahun lalu dengan
berselindung di sebalik jualan perabut dan baja.
Hasil aduan orang ramai, pagi semalam Adun Jengka Ustaz
Shahril Azman AlHafiz telah turun padang meninjau sendiri masalah berkenaan.
Bersama dua pegawainya dengan kerjasama Pejabat Agama
Jengka dan pihak polis, telah membuat serbuan ke premis tersebut.
“Tiada tangkapan dibuat, namun amaran lisan telah
diberi. Pihak YB telah bertemu dengan pengurusan Felda Jengka 14 bagi
membincangkan langkah-langkah pencegahan pusat judi haram tersebut yang jelas merosakkan
orang-orang Melayu beragama Islam, tambahan di bulan Ramadan yang mulia ini,”
tulisnya dalam status facebooknya.
Tongkiat atau pekan Sungai Jerik yang terletak dalam
Dun Kuala Sentol, Maran yang terletak kira-kira 10 kilometer dari Bandar Jengka
merupakan pusat perniagaan lama dikuasai oleh kaum Cina.
Namun pekan tersebut menjadi maju berikutan menjadi
tumpuan membeli-belah daripada penduduk-penduduk Felda Gugusan Jengka dan Ulu
Jempol, Pahang.
Pekan kecil ini dikatakan menjadi terkenal dengan harga
barang-barangnya yang murah terutama barang alat ganti motosikal dan motokar.
Di sini juga dikatakan menjadi tumpuan remaja-remaja
Melayu untuk menghabiskan masa dengan aktiviti judi dalam pelbagai bentuk.
Kini aktiviti tersebut dikatakan telah tersebar hingga
ke Jengka 14 iaitu tanah rancangan yang paling hampir dengan Bandar Tun Razak
Jengka.
Ustaz Shahril (kanan sekali) bertindak menasihatkan
remaja sambil memberi amaran supaya menghentikan tabiat berjudi di Jengka 14
No comments:
Post a Comment